Musim Aidilfitri tahun ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran “Eh Ah! Raya”, single raya terbaharu daripada Farahdhiya yang membawa mesej kebersamaan dan kegembiraan. Dengan tempo rancak dan korus yang mudah diingati, lagu ini menggambarkan suasana Syawal yang sinonim dengan persiapan raya, juadah di atas meja serta detik berharga berkumpul bersama keluarga dan insan tersayang.
Keistimewaan “Eh Ah! Raya” terletak pada kejujuran penyampaiannya. Lirik yang ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri mencerminkan personalitinya yang ceria, sedikit ‘playful’ dan penuh semangat kekeluargaan. Lagu ini bukan sekadar hiburan bermusim, sebaliknya membawa nilai emosi yang dekat dengan realiti sambutan Aidilfitri masyarakat Malaysia.

Dari sudut muzik, gabungan elemen tradisional seperti rebana dengan pop moden menjadikan “Eh Ah! Raya” segar dan relevan. Susunan muzik yang kemas serta sentuhan vokal latar dan suara kanak-kanak memberi dimensi hangat dan ceria, seolah-olah membawa pendengar kembali ke suasana rumah di pagi raya. Tidak hairanlah lagu ini dilihat berpotensi besar untuk diputarkan bukan sahaja di radio dan platform digital, malah sebagai iringan pelbagai kempen, acara dan kandungan media sosial sepanjang musim perayaan.
Pelancaran muzik video rasmi yang menampilkan konsep penuh warna dan elemen tradisi raya turut melengkapkan pengalaman visual dan audio buat peminat. Dengan karya ini, Farahdhiya sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk terus relevan dan kreatif dalam industri muzik tempatan, sambil menghadiahkan sebuah lagu raya yang mampu menyatukan generasi dalam satu irama ceria — Eh Ah! Raya!
