[Barisan hadapan] Di hadapan Tetamu Kehormat, YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah [tengah], Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia [kiri], dan Ir. Zulkifli Bin Tamby Chik, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp [kanan], bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh usaha kitar semula komuniti di Kedah menerusi Projek SAVE.

[Barisan belakang dari kiri]: Raja Nurmaria Murni, Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan bagi Malaysia dan Singapura, Nestlé Malaysia; Zaki Abdul Aziz Daud, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd (EISB); Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Perbandaran Kulim; dan Lesley Lim, Pengarah Urusan ESH Resource.

Nestlé Malaysia terus memperkukuh komitmennya ke arah masa depan bebas sisa menerusi peluasan Projek SAVE (Segregate, Avoid, Value, Educate) di Kedah, hasil kerjasama strategik bersama SWCorp. Inisiatif yang diketengahkan menerusi program komuniti Karnival Kitar itu membuktikan bagaimana pelaksanaan model Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) Sukarela mampu memberi impak positif kepada alam sekitar sambil memperkasakan penyertaan komuniti dalam amalan kitar semula.

Dilancarkan sejak 2020, Projek SAVE merupakan antara program kitar semula sukarela terbesar di Malaysia yang memberi tumpuan kepada amalan pengasingan sisa di punca (SAS) melalui kutipan bahan kitar semula kering dari rumah ke rumah. Dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, konsesi pengurusan sisa dan pengitar semula swasta, program ini kini melibatkan kira-kira 260,000 isi rumah di sembilan bandar raya di seluruh negara.

Pada tahun 2025 sahaja, Projek SAVE berjaya mengalihkan sekitar 15,000 tan sisa pepejal, termasuk 10,000 tan plastik, daripada berakhir di tapak pelupusan atau lautan. Di Kedah, program ini diperluaskan ke Kulim melalui projek rintis bersama SWCorp, E-Idaman dan ESH Resource. Sejak pelancarannya, projek perintis tersebut telah berjaya mengumpul hampir 100,000 kilogram bahan kitar semula, termasuk 28,000 kilogram plastik menerusi sistem kutipan mingguan khusus.

YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah [ketiga dari kanan] bersama Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia [paling kanan] dan Zaki Abdul Aziz Daud, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd (EISB) [kedua dari kanan] ketika mengadakan lawatan di Karnival Kitar di SMK Taman Selasih, Kulim, yang mengetengahkan pencapaian Program Kitar Semula Kulim di bawah Projek SAVE serta pelbagai aktiviti interaktif yang mempromosikan kelestarian alam sekitar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, kejayaan usaha kitar semula bergantung kepada gabungan sistem yang berkesan dan perubahan tingkah laku di peringkat isi rumah. Beliau menegaskan bahawa amalan kecil seperti mengasingkan sisa di rumah mampu mencetuskan impak besar apabila dijadikan sebahagian daripada rutin harian masyarakat.

Kerjasama memperluaskan Projek SAVE di Kulim turut diperkukuh menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nestlé Malaysia dan SWCorp sempena acara Karnival Kitar, yang disaksikan oleh YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.

Murid-murid SK Ayer Merah di Karnival Kitar, mempelajari mengenai Program Kitar Semula Kulim di bawah Projek SAVE, inisiatif kutipan bahan kitar semula dari rumah ke rumah oleh Nestlé Malaysia yang merangkumi sembilan bandar di seluruh negara dan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 100,000 kilogram bahan kitar semula di Kulim sahaja setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Tuan Khalid Bin Mohammed, menekankan kepentingan sistem kutipan yang tersusun serta kerjasama erat antara pihak berkuasa, rakan operasi dan komuniti bagi memastikan program kitar semula dapat dilaksanakan secara mampan dalam jangka panjang.

Berlangsung di SMK Taman Selasih, Karnival Kitar menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi reruai interaktif, program pendidikan dan aktiviti kesedaran yang bertujuan meningkatkan pemahaman tentang kepentingan pengurusan sisa dan menghargai sumbangan komuniti terhadap kelestarian alam sekitar.