Kebakaran di Maahad Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan kemudahan fizikal, malah turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada para pelajarnya. Susulan itu, Estika Medispa tampil menghulurkan bantuan dengan menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong keperluan segera pihak pengurusan serta pelajar yang terjejas. Menurut pengasasnya, Dr Haq, keadaan pelajar yang kehilangan tempat belajar dan keperluan asas dalam tempoh singkat mendorong pihaknya untuk bertindak segera. Beliau menyifatkan situasi tersebut amat menyentuh hati, terutama apabila para pelajar terpaksa berdepan kehilangan bukan sahaja dari segi kemudahan pembelajaran, malah rasa selamat dan kestabilan emosi. “Apabila sesuatu musibah berlaku dalam komuniti, kita semua mempunyai peranan untuk membantu,” katanya. Dr Haq turut memaklumkan bahawa bantuan yang diberikan merupakan langkah awal, dan pihak Estika kini sedang meneliti bentuk sokongan susulan yang lebih tersusun bagi membantu proses pemulihan Maahad Tahfiz berkenaan. Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar bantuan sekali sahaja, sebaliknya sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). “Bagi kami, CSR adalah tanggungjawab berterusan untuk memberi impak positif kepada masyarakat. Pemilihan komuniti yang dibantu pula bergantung kepada tahap keperluan serta kesan sesuatu kejadian terhadap kehidupan mereka. “Kes seperti ini jelas memerlukan tindakan segera, dan kami memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelasnya. Mengulas lanjut, Dr Haq berkata nilai empati dan rasa tanggungjawab menjadi teras dalam membangunkan jenama Estika, di samping memastikan kejayaan syarikat turut memberi manfaat kepada masyarakat. Tambahan lagi, syarikat swasta mempunyai kelebihan dari segi kepantasan bertindak serta sumber yang boleh digerakkan bagi membantu keperluan segera, termasuk sokongan jangka sederhana seperti pemulihan emosi dan penyediaan kemudahan asas. Beliau turut menyeru lebih banyak pihak tampil bersama menghulurkan bantuan kepada Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan institusi tersebut. Post navigation Global Semiconductor Leaders to Converge in Malaysia for SEMICON Southeast Asia 2026 Didie Shazry Tampil Dengan Nafas Baharu, Menghidupkan Semula Lagu Mendiang Lotter – “Yang Berlalu Tak Berulang”