Filem seram terbaharu, Munafik: Melawan Iblis, terus mencatat momentum positif apabila berjaya meraih kutipan mencecah RM2 juta dalam tempoh enam hari tayangan rasmi di pawagam seluruh Malaysia.
Sejak hari pertama ditayangkan, naskhah terbitan Unlimited Production dan Skop Productions ini menerima sambutan menggalakkan daripada peminat genre seram tempatan yang memenuhi dewan pawagam untuk menyaksikan sendiri versi remake tersebut di layar perak. Impak positif dan keterujaan yang tular di media sosial turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh sambutan hangat terhadap filem ini.
Mengulas mengenai kejayaan awal tersebut, Penerbit Eksekutif Munafik: Melawan Iblis, Datuk Dr. Yusof Haslam, meluahkan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan oleh penonton tempatan. Beliau menyifatkan pencapaian RM2 juta ini sebagai satu permulaan yang amat memberangsangkan dan menjadi pembakar semangat buat pihak produksi untuk terus mempergiatkan usaha promosi dan pemasaran ke peringkat yang lebih meluas. Ucapan penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh penonton yang memilih untuk menyokong karya ini di pawagam.
Diarahkan oleh sutradara prolifik Guntur Soeharjanto, filem ini menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Arya Saloka, Acha Septriasa, Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Widi Dwinanda, Annisa Hertami, Nova Eliza, Oce Permatasari, dan Elvira Devinamira. Selain gandingan Unlimited Production dan Skop Productions, penerbitan ini turut mendapat sokongan padu daripada Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions, dengan Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran rasmi di Malaysia.

Dari sudut penceritaan, Munafik: Melawan Iblis memaparkan pergelutan batin Ustaz Adam, seorang pengamal ruqyah yang hilang arah selepas berdepan tragedi kehilangan insan tersayang. Di sebalik elemen seram, gangguan mistik, dan pertembungan kuasa jahat, filem ini membawa penonton menyelami krisis keimanan seorang pembimbing agama yang diuji dengan kedukaan mendalam. Munafik: Melawan Iblis kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara, dan perkembangan terkininya boleh diikuti menerusi akaun rasmi film.munafik, Skop Productions, serta Astro Shaw.








