MSH Empire tampil memberikan penjelasan menyeluruh berhubung isu yang hangat diperkatakan di media sosial melibatkan produk Minyak Herba Nilam, penjenamaan beg kuning Nilam HQ, serta kerjasama terdahulu bersama pasangan Azlan Komeng dan Norhaslinda Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nilam.
Pada 23 Disember 2024, saudari Norsufia Johari (Cik Pia) telah memperkenalkan produk Minyak 1001 Khasiat Dayak Kalimantan kepada pasangan Azlan dan Nilam sebagai satu usaha membantu mereka menjana pendapatan. Sehari kemudian, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memasarkan produk tersebut melalui platform TikTok Shop menggunakan nama serta pembungkusan berjenama Nilam HQ, termasuk beg berwarna kuning. Cadangan untuk menukar nama produk kepada Minyak Herba Nilam datang daripada pihak Nilam sendiri, dan pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakannya dengan syarat penjualan diteruskan sementara proses penukaran label dilakukan. Perlu ditegaskan, formulasi asal produk masih kekal, hanya nama dan penjenamaan yang diubah.
Pada Februari 2025, Nilam memaklumkan bahawa akaun TikTok beliau telah disekat. Cik Pia telah dihantar untuk membantu menyelesaikan isu tersebut, namun Nilam kemudiannya menyatakan hasrat untuk tidak lagi bekerjasama dengan syarikat kerana ingin memfokuskan kepada pembangunan jenama miliknya sendiri. Pada 12 Mac 2025, Nilam telah memaklumkan pembatalan laman web berkaitan dan turut menyampaikan permohonan maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Sejak itu, hanya Azlan yang masih meneruskan hubungan komunikasi dengan pihak syarikat.
Sepanjang tempoh kerjasama berlangsung, semua komisen dan hasil jualan yang sah telah dibayar sepenuhnya ke akaun bank milik Norhaslinda Abdullah. Malah, pihak syarikat turut membantu dalam urusan pembelian sebuah kenderaan atas nama individu yang sama. Bagaimanapun, kemelut peribadi antara Azlan dan Nilam yang kemudiannya tular di media sosial telah menyebabkan keyakinan pengguna terhadap produk terjejas, termasuk ajakan untuk memboikot Minyak Herba Nilam. Pada 1 Mei 2025, Nilam memuat naik satu video memaklumkan bahawa beliau telah menutup Nilam HQ dan tidak lagi menjual produk tersebut, sebaliknya memperkenalkan jenama baharu di bawah syarikat Nilam Empire.

Sehubungan dengan itu, pada 5 Jun 2025, MSH Empire secara rasmi mengumumkan penjenamaan semula produk kepada nama Minyak Herba S-HERB, manakala beg kuning turut ditukar nama kepada SP-HERB. Satu kenyataan media telah dikeluarkan pada 14 Jun untuk mengelakkan kekeliruan dan mengekalkan profesionalisme dalam operasi perniagaan.
Pihak syarikat ingin menegaskan bahawa produk dan formulasi asal adalah hak milik eksklusif MSH Empire, dan penjenamaan Nilam HQ juga adalah milik syarikat sepenuhnya. Semua kandungan video yang dimuat naik semasa tempoh kerjasama adalah dihasilkan secara rasmi, dan pihak syarikat tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kandungan lama yang masih dikongsi oleh pihak ketiga atau affiliates. Sebagai langkah pemulihan keyakinan pengguna, Cik Pia turut diarahkan memuat naik penjelasan rasmi di TikTok berkenaan status pemilikan produk ini. Pihak kami juga memandang serius notis yang dikeluarkan oleh Nilam pada 25 Mei 2025 yang meminta agar semua bahan promosi diturunkan. Kami percaya kenyataan tersebut tidak berasas kerana segala hak milik dan penjenamaan berada di bawah kendalian sah syarikat kami.
Bagi melindungi reputasi syarikat dan jenama produk, MSH Empire telah melantik Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates untuk mewakili dalam tindakan guaman fitnah terhadap pasangan terbabit. Surat tuntutan telah dihantar pada 15 Julai 2025 dan tindakan saman akan difailkan sekiranya semua tuntutan tidak dipenuhi.
MSH Empire akan terus komited memastikan kualiti Minyak Herba S-HERB sentiasa berada pada tahap terbaik dan akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak jenama serta kepentingan pengguna di seluruh negara.