Sebuah lagi detik membanggakan buat negara tercipta apabila MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak berjaya meraih Anugerah Emas atau Golden Diploma Award dalam kategori ‘middle class’ di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025 yang berlangsung selama dua hari pada 20 dan 21 Jun di Republik Czech.
Pengumuman kemenangan gemilang itu disampaikan secara rasmi pada jam 8 malam waktu tempatan, bersamaan jam 2 pagi waktu Malaysia pada 21 Jun 2025 dalam sebuah majlis penganugerahan di Hotel Olsanka Prague. MAWO berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah yang bertanding dalam kategori yang sama, dan mencatat markah tertinggi daripada juri profesional berdasarkan prestasi persembahan, ketepatan teknikal serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.

Festival berprestij ini menghimpunkan 13 kumpulan orkestra dari 11 buah negara, menyaksikan pelbagai karya muzik klasik dan kontemporari dipersembahkan oleh barisan orkestra bertaraf dunia. Malaysia merupakan satu-satunya wakil dari benua Asia yang bertanding dalam festival ini, menjadikan kejayaan MAWO lebih bermakna dan signifikan. Terdapat tiga kategori utama yang dipertandingkan iaitu lower class, middle class dan higher class, yang mana pengkelasan dibuat berdasarkan tahap kesukaran muzik dan kemahiran pemain.
Keunggulan MAWO dalam kategori pertengahan ini memperlihatkan potensi besar pelajar-pelajar luar bandar, khususnya dari sistem pendidikan berteraskan Ulul Albab, dalam menguasai bidang kesenian dan budaya di samping kecemerlangan akademik. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa gabungan antara pendidikan holistik, latihan berterusan dan sokongan institusi seperti FELDA mampu melahirkan generasi muda berdaya saing dan bertaraf global.

Lebih membanggakan, pencapaian ini juga menyerlahkan dedikasi dan komitmen tinggi para pelajar, guru serta jurulatih muzik yang telah mencurahkan tenaga dan masa demi menjayakan misi di pentas antarabangsa. Selain daripada memperkenalkan nama Malaysia kepada dunia, MAWO turut membawa semangat juang warga FELDA yang sentiasa optimis dan berani menyahut cabaran.
MAWO dijadualkan pulang ke tanah air pada 23 Jun 2025, sekitar jam 2 petang. Kepulangan mereka bukan sahaja bakal disambut penuh bangga oleh pihak pengurusan MRSM dan FELDA, malah akan dikenang sebagai satu titik tolak baharu dalam sejarah pembangunan seni muzik orkestra dalam kalangan pelajar luar bandar.
Dengan kejayaan ini, MAWO telah membuktikan bahawa tiada sempadan untuk anak muda Malaysia bersinar di pentas dunia. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh generasi muda bahawa dengan usaha, disiplin dan semangat yang tinggi, apa sahaja impian mampu dicapai.