Malaysia pemain minyak sawit bertaraf dunia – MPOA

Malaysia pemain minyak sawit bertaraf dunia – MPOA

MINYAK sawit antara beberapa sektor cemerlang yang membolehkan Malaysia menjadi pemain bertaraf dunia dan ia perlu terus dilihat sebagai sektor ekonomi penting yang melengkapkan susunan ekonomi baharu, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Pengerusinya, Datuk Lee Yow Chor berkata, walaupun Malaysia kini merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di belakang Indonesia, pengurusan agronomi, pengetahuan penyelidikan dan pembangunan serta pemprosesan hilirannya masih dianggap sebagai lebih maju dan terbaik.

“Banyak syarikat sawit Malaysia telah dijemput untuk mewujudkan ladang kelapa sawit di pelbagai negara dan sebahagian daripada mereka telah menubuhkan kilang pemprosesan hiliran di negara-negara Barat yang sedang pesat membangun dan maju.

“Hari ini, dunia menekankan kepada ekonomi hijau dan keterjaminan makanan. Ini juga dua daripada lapan strategi ekonomi yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam gala MPOA di sini pada Selasa.

Yow Chor berkata, minyak sawit adalah sumber makanan semula jadi dan boleh diperbaharui, tenaga dan bahan kimia berikutan hidrokarbonnya daripada pelbagai rantaian.

Produk sampingannya seperti gentian tandan sawit kosong (EFB) dan cangkerang isirung boleh ditukar menjadi pulpa kertas, bekas makanan dan karbon teraktif.

Selain itu, katanya, biogas yang dijana daripada efluen di kilang sawit boleh ditukar kepada tenaga elektrik untuk kegunaan tempatan atau sambungan kepada grid elektrik negara.

“Semasa penanaman semula, batang pokok yang ditebang boleh ditukar menjadi panel kayu untuk perabot atau bahan binaan. Potensi hijau daripada sektor ini adalah berlipat ganda dan ada yang masih belum diterokai atau digunakan sepenuhnya.

“Dari segi keterjaminan makanan, Malaysia menghasilkan minyak sayuran yang mencukupi untuk kegunaan domestik.

“Malah, ia mengeksport 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawitnya ke negara-negara di seluruh dunia,” katanya.

Dalam era perubahan iklim dan tanah pertanian yang terhad hari ini, katanya keupayaan sara diri dan eksport bersih ini menjadi penstabil sosio-ekonomi yang penting dalam negara dan turut memberikan Malaysia sokongan yang kuat untuk menggalakkan hubungan pelbagai hala dengan negara lain.

Yow Chor mengesahkan komitmen MPOA untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan dalam sektor minyak sawit Malaysia bagi kebaikan dan kemajuannya.

Ditubuhkan pada 1999, MPOA adalah organisasi untuk penanam kelapa sawit, mewakili syarikat dengan lebih 300,000 hektar hingga pekebun kecil dengan 50 hektar. Secara keseluruhannya, mereka memiliki 1.8 juta hektar.

MPOA meraikan ulang tahunnya yang ke-25 pada tahun depan. – Bernama

Sumber