NASI KAHWIN HARI-HARI
Nasi Kahwin Hari-Hari yang diusahakan oleh Encik Rudi Farique telah menyajikan pelbagai hidangan menggunakan resepi turun temurun selama 40 tahun. Dibuka seawal 10 pagi dari hari Isnin hingga Sabtu. Mula bertapak di Bukit Bintang berdekatan dengan MRT sejak 2 tahun lalu.
Satu set lengkap makanan utara ala-ala hidangan kenduri kahwin dengan air yang berkonsepkan ‘free flow’ boleh didapati dengan hanya RM8.50. Dengan RM3.00 sahaja anda juga boleh menikmati ABC yang sangat enak.
JIJU’S CAFÉ
Jiju’s Café menyediakan pelbagai jenis manisan seperti tart, brownies, kek dan pastri yang memiliki visual yang sangat menarik seperti Pandan Gula Melaka, Biscoff dan Rose Lime. Bagi yang menggemari rasa yang unik, Rose Lime adalah jawapannya.
Jiju dan suaminya telah mengusahakan Jiju’s Café sejak tahun Mac 2013 lagi. Perniagaan nya yang bermula kerana hobi dan minat di rumah mereka (Seputeh) telah berkembang dengan sangat maju sehingga mereka dapat membuka sebuah restoran pada tahun 2019 yang bertempat di Putra Heights. Jiju’s Café dibuka setiap Selasa hingga Ahad dari jam seawal 10 pagi hingga 7 petang sahaja.
BERGER KTM JULIESUIP
Konsep perniagaan burger yang sangat unik ini telah menarik perhatian masyarakat setempat. Pemiliknya yang bernama Suip Ahmad ini terpaksa berniaga burger menggunakan motosikal setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan Suip Ahmad kehilangan kakinya. Walaupun keupayaan dirinya terbatas, keadaannya tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berniaga walaupun terpaksa bergerak ke mana-mana menggunakan kaki palsu.
Beliau juga menjadi semakin kreatif dalam perniagaannya dengan menawarkan menu eksotik seperti daging unta dan rusa. Double Trouble atau Triple Trouble telah mendapat tempat di hati ramai masyarakat. Suip Ahmad juga telah menaik tarafkan kualiti burger beliau dengan membuat sendiri perapan sos lada hitam dengan resepi istimewa. Sedar tidak sedar beliau telah berniaga selama 13 tahun dan masih giat meneruskan perniagaannya.
NASI KAK WA
Nasi Kak Wa diusahakan oleh Mohd Arpashaz Bin Abdul Rahim, dengan menggunakan nama isteri beliau. Kedai ini bertempat di Pantai Dalam dan sudah mula berniaga sejak 5 tahun dahulu. Mula beroperasi seawall jam 8 pagi. Menggunakan resepi istimewa untuk sambal cili ayam cincang dan nasi dagang menyebabkan gerai Nasi Kak Wa memiliki pelanggan setia mereka tersendiri. Turut menyediakan masakan Kelantan yang berlainan seperti Nasi Dagang Ikan Tongkol dan Daging Kerutuk. Semua juadah dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM5 sahaja.