Co-opbank Pertama (CBP) terus melakar sejarah baharu apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merasmikan bangunan ibu pejabat baharunya yang dikenali sebagai Wisma Co-opbank Pertama. Perasmian yang berlangsung di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Bharu ini turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-75 CBP yang diraikan pada 7 Jun 2025 lalu, sekaligus menjadi simbol penting kepada pencapaian dan kesinambungan kejayaan institusi kewangan koperasi itu.
Wisma Co-opbank Pertama setinggi 13 tingkat yang terletak di lokasi strategik ini bukan sekadar mercu tanda fizikal baharu, tetapi mencerminkan kekuatan dan visi masa depan CBP sebagai peneraju perbankan koperasi yang moden, inklusif dan mampan di Malaysia. Kejayaan ini menandakan komitmen berterusan CBP dalam memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor kewangan, sambil terus menawarkan perkhidmatan yang relevan kepada anggota dan pelanggan.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, dalam ucapannya menyatakan bahawa seiring perubahan zaman, CBP telah memperluaskan skop perniagaannya meliputi sektor pertanian sehingga pembangunan hartanah bagi memastikan manfaat berpanjangan kepada anggota. Beliau turut mengimbau detik penting dalam transformasi CBP apabila pada September 2014, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi kebenaran untuk CBP beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah co-opbank. Perubahan nama daripada Co-opbank Persatuan kepada Co-opbank Pertama Malaysia Berhad yang dibuat pada tahun 2018 terus memperkukuh jenama institusi ini sehingga kini.

Baharom turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SKM, serta seluruh anggota dan pelanggan yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan selama ini. Beliau menyifatkan perjalanan 75 tahun CBP bukan satu pencapaian mudah, sebaliknya lahir daripada semangat kolektif dan kerjasama berterusan pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairul Anuar Mohammad Anuar, menyifatkan tahun 2024 sebagai tempoh paling membanggakan apabila CBP mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah penubuhannya, iaitu sebanyak RM124.29 juta. Tambahan pula, CBP turut diiktiraf sebagai Koperasi Premier Malaysia selama empat tahun berturut-turut, dari tahun 2021 hingga 2024 satu pengiktirafan berprestij yang mengukuhkan lagi reputasi CBP di persada koperasi negara.
Majlis perasmian Wisma Co-opbank Pertama ini tidak hanya meraikan pembukaan bangunan baharu, tetapi juga menjadi refleksi perjalanan panjang yang membina asas kukuh kepada institusi kewangan koperasi yang kini bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan yang lebih progresif.