LBS catat keuntungan RM409.02 juta

LBS catat keuntungan RM409.02 juta

SHAH ALAM – Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan sebanyak RM409.02 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2022 (Q1FYE2022).

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, keuntungan tersebut meningkat berbanding RM402.55 juta pada suku pertama 2021 (Q1FYE2021).

Tambahnya, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing sebanyak RM54.26 juta dan RM33.80 juta yang diterjemahkan daripada peningkatan tahun ke tahun dengan 2.14 peratus dan 2.7 peratus.

“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) mencatatkan sebanyak RM30.16 juta dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 20.0 peratus meskipun berhadapan dengan konflik peperangan Rusia dan Ukraine yang memberi kesan kepada peningkatan harga barangan mentah.

“Segmen pembangunan hartanah masih merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Syarikat. Rekod pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan kepada 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, iaitu RM393.48 juta, dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak satu peratus.

“Pendapatan yang stabil ini didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek-projek di Lembah Klang seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth.

“Syarikat turut mengumumkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang telah menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada pendapatan hasil Syarikat bagi Q1FYE2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Hock San berkata, sehingga 17 Mei 2022, LBS berjaya memperoleh jualan sebanyak RM593 juta dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM561 juta.

“Sehingga 30 April 2022, jualan tanpa bil mencatatkan sebanyak RM2.4 bilion, akan memberikan pulangan secara positif kepada syarikat untuk tempoh beberapa tahun ke hadapan,” ujarnya.

Mengulas keputusan tersebut, beliau berkata, LBS sangat teruja untuk memulakan tahun 2022 dengan semangat baharu tanpa dibayangi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Hock San memberitahu, LBS masih berhadapan dengan suku pertama yang mencabar berikutan kenaikan harga barangan mentah dan kekurangan tenaga pekerja sekali gus memberi kesan kepada sentimen pasaran dan industri semasa.

“Namun begitu, LBS akan terus konsisten dalam mengekalkan keputusan yang terbaik. Menerusi pengumuman terkini Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kadar dasar semalaman adalah dijangka.

“Ini merupakan sebahagian daripada urusan dalam perniagaan dan kami bersedia. Kami percaya bahawa produk kami, sejajar dengan permintaan pasaran harga rumah mampu milik dan berada di lokasi strategik yang mampu memenuhi permintaan daripada orang ramai.

“Ini ditambah dengan pengecualian duti setem Kerajaan ke atas pembelian hartanah pertama bernilai sehingga RM500,000 untuk warganegara Malaysia bagi perjanjian jual beli yang dilaksanakan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025,” jelasnya.

Beliau berkata, LBS akan terus membuat perancangan yang teliti berdasarkan prestasi kukuh tahun 2021. Peningkatan nilai pemegang kepentingan tetap menjadi keutamaan kami untuk mengekalkan kepercayaan pemegang saham terhadap usaha LBS.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber