KUALA LUMPUR, 17 OGOS 2026 – DHYAH PRODUCTION dengan kerjasama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES dengan berat hati memaklumkan bahawa Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada 19 September 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, terpaksa dibatalkan. Keputusan tersebut dibuat selepas pihak penganjur mengambil kira beberapa kendala teknikal dalaman serta keadaan semasa yang tidak memungkinkan konsert berkenaan diteruskan seperti yang dirancang. Wakil Penganjur DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan, berkata pihaknya amat kesal dengan pembatalan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh peminat, penaja, pihak pengurusan Radja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap penganjuran konsert berkenaan. “Kami memahami kekecewaan para peminat yang telah sekian lama menantikan kehadiran Radja di Kuala Lumpur. Keputusan ini dibuat dengan penuh berat hati selepas mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penganjuran. Kami amat menghargai segala sokongan, kepercayaan dan kefahaman yang telah diberikan kepada pihak kami,” katanya. Sehubungan dengan pembatalan tersebut, pihak penganjur akan menghubungi semua pembeli tiket menerusi e-mel bagi memaklumkan mengenai proses pemulangan wang atau refund. Proses pemulangan wang akan dilaksanakan melalui platform penjualan tiket rasmi di myticket.asia. Para pembeli tiket dinasihatkan untuk menyemak e-mel masing-masing dari semasa ke semasa serta memastikan bukti pembelian dan maklumat transaksi disimpan bagi memudahkan urusan pemulangan wang. DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peminat, penaja, rakan kerjasama, pihak pengurusan Radja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang proses penganjuran Konsert Revolusi Radja 25 Tahun. Pihak penganjur sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul susulan pembatalan tersebut. Post navigation Temasya Aneka Angkat Aneka Walk Sebagai Destinasi Gaya Hidup dan Hab Kebudayaan BINTANG SUARA MELILEA 2026 Buka Ruang Cungkil dan Perkasa Bakat Generasi Muda