Konsert yang dinanti-nantikan, “A Night to Remember,” bakal kembali dengan edisi kedua pada 14 Disember 2024, bertempat di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor.
Dengan tema “Rock Nostalgia,” konsert ini berjanji untuk membawa para peminat menyelami semula zaman kegemilangan rock tanah air menerusi persembahan yang mendebarkan dari tiga nama besar industri muzik Malaysia—Ella, Kugiran Masdo, dan Exists. Malam yang penuh nostalgia ini dijangka menjadi acara yang tidak dapat dilupakan, mengimbau kembali era kegemilangan muzik rock yang masih meniti di bibir peminat hingga kini.
Peminat yang hadir akan disajikan dengan persembahan luar biasa dari Ratu Rock Ella, yang tidak asing lagi dengan lagu-lagu ikoniknya yang terus bertahan dalam ingatan ramai.
Selain itu, Kugiran Masdo, yang terkenal dengan alunan retro-pop, dan Exists, kumpulan legenda yang sinonim dengan balada dan rock, juga akan menggegarkan pentas dengan rangkaian lagu-lagu hits mereka.
Peminat bukan sahaja berpeluang untuk menyanyi bersama artis kegemaran mereka, malah mereka juga digalakkan untuk berpakaian seperti idola rock mereka bagi memeriahkan malam penuh memori ini.
Terdapat juga pertandingan media sosial yang menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.
Menurut Ketua Eksekutif Co:Action Events Sdn Bhd, David Emir Bareng, selaku penganjur, “Konsert ‘A Night to Remember’ menjadi satu acara yang dinanti-nantikan setiap tahun, khususnya buat peminat di Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.
Kami gembira dapat membawa barisan artis hebat ini bersama-sama dalam satu malam yang menjanjikan kenangan manis.
Terima kasih tidak terhingga kepada Tourism Johor, BestFM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), dan Damansara Assets Sdn Bhd atas sokongan padu mereka dalam menjayakan konsert ini.”
Keterujaan ini turut dikongsi oleh Pengarah Tourism Johor, Tuan Shahril Nizam Abdul Rahim, yang menyatakan, “Konsert ‘A Night to Remember’ bukan sekadar acara hiburan, malah ia juga membantu memperkukuhkan imej Johor sebagai destinasi pilihan untuk acara-acara bertaraf antarabangsa.
Sokongan kami terhadap inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam mempromosikan Johor sebagai hab kebudayaan, kesenian, dan pelancongan di rantau ini.” Penganjuran konsert ini dilihat sebagai salah satu cara untuk memeriahkan industri hiburan sambil mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan bagi acara-acara besar.
Ella, yang tidak sabar untuk beraksi di hadapan ribuan peminatnya, menyatakan, “Saya sangat gembira kerana dapat menutup tahun ini dengan satu persembahan istimewa bersama Ella’s Gang, khususnya dari selatan tanah air. Ini adalah satu peluang yang indah untuk kita mencipta kenangan bersama.
” Kugiran Masdo turut berkongsi kegembiraan mereka, dengan menyatakan bahawa mereka berbangga untuk berkongsi pentas dengan dua legenda rock tanah air. “Kami sangat teruja untuk bersama-sama dengan peminat dari Johor, Singapura, dan Indonesia, dan mencipta memori indah bersama,” kata mereka.
Exists, yang berasal dari Johor, juga tidak ketinggalan untuk menyatakan keterujaan mereka.
“Tema Rock Nostalgia ini sangat dekat di hati kami. Kembali ke Johor, di mana segala-galanya bermula, dan bertemu kembali dengan peminat setia adalah momen yang sangat bermakna buat kami. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan lebih daripada 4,000 pencinta muzik di konsert ‘A Night to Remember 2024’,” kongsi mereka.
Tiket untuk konsert ini kini boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my dengan harga bermula serendah RM99 hingga RM399. Menariknya, sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67, penganjur menawarkan diskaun istimewa sebanyak 6.7% bagi pembelian tiket bernilai RM169 dan ke atas.
Tawaran ini sah sehingga 31 Ogos 2024. Jangan lepaskan peluang untuk merasai malam yang epik ini bersama idola rock tanah air yang tiada tandingan.