“KISAH PENUH KECEWA” – GABUNGAN EMOSI ERNIE ZAKRI & ANGGI MARITO RUNTUN JIWA DUA NEGARA

Dua bintang serumpun, Ernie Zakri dari Malaysia dan Anggi Marito dari Indonesia, menyatukan emosi dan vokal dalam kolaborasi balada terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa”, yang menyentuh hati pendengar di kedua-dua negara. Lagu ini pertama kali dipersembahkan secara langsung pada 31 Mei 2025 sempena Aura: Ernie Zakri Live in Concert di The Theatre at Mediacorp, Singapura menyaksikan gandingan sulung dua vokalis hebat ini di atas satu pentas.

Susulan kemunculan istimewa tersebut, Anggi Marito turut hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan promosi single tersebut serta menghadiri sesi makan malam eksklusif bersama peminat pada 4 Jun 2025 di Hameediyah Bukit Bintang. Dalam suasana penuh keakraban, peminat berpeluang menikmati pengalaman makan malam istimewa bersama Ernie dan Anggi, sekaligus mencipta memori bermakna bersama dua penyanyi kesayangan mereka. Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Hameediyah atas layanan mesra dan lokasi yang sempurna untuk acara tersebut.

Lagu “Kisah Penuh Kecewa” membawa naratif cinta yang tidak berakhir kerana ketiadaan rasa, sebaliknya kerana keputusan berat untuk berpisah. Walaupun berlatarkan kekecewaan, lagu ini menyuntik kekuatan untuk terus melangkah. Menurut Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), balada ini menyampaikan mesej tentang ketabahan selepas perpisahan yang menyakitkan.

“Walaupun temanya sedih, lagu ini memberi ruang untuk pendengar merasai kekuatan dalam meneruskan hidup. Ia tentang mencintai, melepaskan, dan tetap bertahan,” ujar Ernie.

Kolaborasi ini turut membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan. Gabungan vokal istimewa Ernie dan Anggi telah melahirkan sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh perasaan, tetapi juga mampu merentasi batas budaya dan negara. Lirik yang ‘straightforward’ dan susunan muzik yang merdu menjadikan lagu ini mudah dihayati oleh pendengar dari pelbagai lapisan usia.

“Saya yakin ramai akan dapat kaitkan diri mereka dengan lagu ini. Ia mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai orang,” tambah Ernie.

Bagi Anggi Marito, yang dikenali menerusi program Indonesian Idol musim ke-11 sebagai pemenang tempat ketiga, peluang bekerjasama dengan Ernie merupakan satu penghormatan besar. Anggi yang telah lama mengagumi kehebatan vokal Ernie menyifatkan penyanyi Malaysia itu sebagai inspirasi dalam menyampaikan emosi secara mendalam dan penuh penghayatan.

“Saya sangat mengagumi Kak Ernie. Suaranya bukan sahaja indah, tetapi penuh rasa. Setiap lagu yang dinyanyikannya terasa sampai terus ke hati. Dapat bekerjasama dengannya adalah impian jadi nyata,” kongsi Anggi penuh teruja.

“Kisah Penuh Kecewa” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital bermula 23 Mei 2025. Video muzik rasmi yang turut dilancarkan memvisualkan perjalanan emosi lagu ini, menambah kekuatan naratif menerusi persembahan visual dua penyanyi berbakat besar dari rantau Nusantara.