Kerajaan mahu usahawan, pemain industri bantu usahawan kecil

KERAJAAN mahu melihat para usahawan atau pemain-pemain industri yang berjaya menjadi Payung Rahmah dalam membantu peniaga-peniaga kecil pada masa akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, melalui usaha tersebut, usahawan-usahawan kecil yang dibantu itu juga diharap bakal menjadi ‘big players’ (pemain besar) dalam industri.

Ujar beliau, itu antara nilai konsep Payung Rahmah yang ditekankan untuk menggalakkan para usahawan tempatan membawa jenama ke peringkat antarabangsa.

“Di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami sedia bantu anda untuk mendaftarkan perniagaan anda, itu tekad kami kepada pelanggan-pelanggan kami iaitu anda (usahawan) semua.

“Yang penting adalah hasil akhir anda semua iaitu pelanggan kami yang akan membantu meningkatkan produktiviti industri kecil dan sederhana (IKS) dan jangan hanya pada hari ini terhenti kepada IKS sahaja.

“Kami ingin melihat anda semua menjadi ‘big players’, pemain-pemain industri yang berjaya dan juga menjadi Payung Rahmah yang akan memayungi pula pemain-pemain kecil yang memerlukan bimbingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan perasmian Majlis Penganugerahan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) di sini pada Khamis.

BISA memberi pengiktirafan kepada golongan usahawan dan syarikat yang telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi negara.

Penganugerahan BISA merangkumi pelbagai sektor perniagaan seperti perkhidmatan, peruncitan, kepenggunaan, pendidikan, teknologi, kreativiti, inovasi produk dan banyak lagi.

Lebih 30 pemenang BISA yang terdiri daripada usahawan tempatan bakal diumumkan pada malam gala penganugerahan di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City malam ini.


Kerajaan bakal rungkai kerenah birokasi yang menyusahkan pemain industri

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus membantu memperkasakan usahawan tempatan dengan merungkai kerenah birokasi yang selama ini menyusahkan pemain industri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan berganding bahu dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit melibatkan peniaga.

“Kadang-kadang kerenah birokrasi itu yang dianggap menyusahkan usahawan. Usahawan secara formalnya (berada) di bawah KUSKOP, tetapi kementerian ini juga terlibat dengan KPDN.

“Jadi, kalau perlu ada sesi lihat urus, usahawan boleh berjumpa dengan kami (untuk) berbincang sekiranya ada masalah dengan birokrasi.

“Setakat ini belum ada lagi yang saya dengar (aduan) secara serius. Sekiranya ada, jangan segan untuk datang ke KPDN, kami dengan KUSKOP akan terus membantu apa yang boleh,” katanya.

Salahuddin dalam pada itu turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang cenderung dalam bidang perniagaan.

Ujarnya, kerajaan akan memberikan peluang yang luas untuk pemain industri memainkan peranan mereka dalam menentukan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Saya harap usahawan akan dapat terus mencipta nama. Kerajaan akan berikan segala bentuk insentif.

“Kita tidak boleh menafikan peranan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mesti diberikan sokongan dan dukungan, di samping kita dapat kembali meyakinkan negara luar untuk datang dan menyuburkan kembali pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara,” katanya.

Sumber