Drama yang telah mencuri perhatian ramai, Bukan Sekadar Lafaz 2, kini kembali dengan lebih banyak cabaran emosi dan konflik yang menguji kekuatan perkahwinan Hud dan Syikin. Selepas kejayaan musim pertama, siri drama ini bakal kembali menemui penonton di slot Akasia TV3 mulai 27 Februari 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 malam. Selain itu, para penonton boleh menonton drama ini secara percuma di iQIYI pada pukul 8.00 malam. Di dalam musim kedua ini, Hud (Alif Satar) dan Syikin (Wanna Ali) berdepan dengan ujian berat dalam kehidupan perkahwinan mereka. Setelah empat tahun berkahwin, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata, yang membawa cabaran besar dalam hubungan mereka. Rawatan IVF yang beberapa kali gagal menyebabkan Syikin membuat keputusan drastik untuk mengambil anak angkat, Cempaka, demi melengkapkan keluarga kecil mereka. Namun, keputusan ini membawa lebih banyak ketegangan dalam rumah tangga mereka. Keadaan semakin genting apabila Aira (Isyariana), sepupu kepada Khalid yang juga merupakan peguam yang banyak membantu Hud dalam urusan perniagaan, hadir dalam hidup mereka. Dengan Syikin yang kini lebih sibuk menguruskan Cempaka, Hud mula merasa tersisih. Keadaan ini mencetuskan pergolakan yang lebih besar dalam perkahwinan mereka. Bersama dengan kehadiran konflik yang semakin meruncing, Bukan Sekadar Lafaz 2 bakal menggambarkan perjalanan penuh perasaan, kesalah fahaman, dan ketidakpastian yang menghantui rumah tangga Hud dan Syikin. Mampukah mereka mempertahankan perkahwinan ini, atau akankah keputusan yang lebih besar terpaksa dibuat? Semua persoalan ini bakal terjawab dalam episod-episod yang mendebarkan. Wanna Ali, yang kembali dengan watak Syikin, turut berkongsi cabarannya dalam menghayati watak tersebut. “Watak Syikin kali ini jauh lebih mencabar. Emosinya lebih berat dan saya perlu menghayati setiap perasaan yang dilaluinya. Cerita ini amat dekat dengan realiti kehidupan pasangan suami isteri di luar sana, dan saya percaya ia akan menyentuh hati ramai penonton,” ujar Wanna. Dengan jalan cerita yang lebih dramatik dan penuh kejutan, Bukan Sekadar Lafaz 2 menjanjikan pengalaman yang lebih mendalam dan penuh emosi untuk penonton sepanjang bulan Ramadan ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah penuh ranjau dan percintaan ini. Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2020, iQIYI telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan peningkatan pengguna lebih daripada 15 kali ganda. Menurut laporan tahun 2021, iQIYI dinobatkan sebagai platform penstriman nombor satu di Malaysia berdasarkan jumlah muat turun, jumlah pelanggan aktif bulanan, dan jumlah masa yang diluangkan di platform tersebut. Untuk maklumat terkini mengenai drama dan hiburan kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat @dramasangat. Jangan ketinggalan untuk mengikuti perjalanan Hud dan Syikin dalam Bukan Sekadar Lafaz 2! Post navigation Menggapai Kebahagiaan: Perjalanan Ummi Nazeera Melalui Luka Silam Adi Putra: Adakah Dia Seorang Yang Toksik? Amyra Rosli Pilih Mengundurkan Diri!