ASTRO SHAW PERTEMUKAN SYAFIQ KYLE & BETO KUSYAIRY PERTAMA KALI DI LAYAR PERAK MENERUSI ‘HAK: TUNTUT ATAU TUNDUK’ YANG PENUH DEBARAN, KUASA DAN KELANGSUNGAN HIDUP

Written by

in

, ,

Astro Shaw terus memperkukuh reputasinya dalam menghasilkan naskhah berani dan relevan menerusi filem terbaharu berjudul HAK: Tuntut Atau Tunduk, sebuah drama aksi yang mengangkat realiti kehidupan moden termasuk tekanan ekonomi yang semakin meruncing, perjuangan untuk bertahan hidup serta dilema moral apabila berdepan situasi terdesak. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures, dengan kerjasama strategik Etika Sdn Bhd menerusi jenama 7UP dan Mirinda, dan kini sedang menjalani fasa produksi sebelum dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

Naskhah ini diarahkan oleh Ezrie Gazali, yang sebelum ini dikenali menerusi filem Abah Saya Uncle Mike, manakala skripnya ditulis oleh Alfie Palermo, penulis di sebalik siri premium One Cent Thief, berdasarkan idea asal Santharuban Thurai Sundaram. Menguatkan lagi tarikan filem ini ialah gandingan dua pelakon hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy, yang buat pertama kalinya digandingkan di layar perak, bersama barisan pelakon lain seperti Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Dato’ Fizz Fairuz.

Penggambaran filem ini dijalankan di lokasi sekitar pasar awam dan kawasan perumahan di Lembah Klang, memberikan sentuhan realistik yang dekat dengan kehidupan masyarakat harian. Pendekatan ini menjadikan HAK: Tuntut Atau Tunduk lebih daripada sekadar filem aksi, sebaliknya sebuah refleksi sosial tentang tekanan hidup, peluang ekonomi dan pilihan sukar yang sering dihadapi rakyat biasa.

Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kekuatan utama filem ini terletak pada pertembungan dua pelakon utama yang membawakan aksi penuh intensiti dalam naratif kejar-mengejar yang mendebarkan, selain sokongan pasukan kreatif berpengalaman. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Etika, 7UP dan Mirinda atas kepercayaan dalam menjayakan projek ini sejak awal pembangunannya.

Sementara itu, Santharuban Thurai Sundaram selaku penerbit eksekutif dan pencetus idea asal menjelaskan bahawa inspirasi filem ini lahir daripada pemerhatian terhadap perubahan landskap ekonomi semasa, termasuk isu pemilikan perniagaan dan peluang yang semakin berubah dalam masyarakat. Beliau berharap filem ini dapat membuka perbincangan lebih luas mengenai kepentingan rakyat tempatan merebut peluang serta membina kekuatan ekonomi sendiri.

Dari sudut jenama, Amy Gan selaku Naib Presiden Pemasaran Etika menekankan bahawa kolaborasi ini bukan sekadar penempatan produk, tetapi satu usaha untuk menggabungkan penceritaan dan realiti sosial secara lebih bermakna, sejajar dengan kehadiran jenama 7UP dan Mirinda dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia.

Filem ini mengisahkan Hakim (Syafiq Kyle), seorang pegawai operasi pasar awam yang terdesak mencari wang demi menyambut kelahiran anak sulungnya, sebelum hidupnya berubah apabila dia menemui sebuah beg berisi wang yang membawa kepada ancaman berbahaya. Dikejar pihak tidak dikenali yang mahu mendapatkan semula wang tersebut, Hakim terperangkap dalam konflik yang menguji moral, keselamatan dan keluarganya.

Dengan gabungan naratif yang kuat, pendekatan realistik serta barisan pelakon berkaliber, HAK: Tuntut Atau Tunduk dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinanti dan memberi impak besar kepada landskap filem aksi Malaysia.