Logo rasmi filem Tahun Baharu Cina Golden Blessings berona emas dengan reben merah bertatahkan permata

Penerbit Malaysia dan Hong Kong berganding bahu menerbitkan filem komedi Tahun Baharu Cina, GOLDEN BLESSINGS, yang bakal menemui penonton di pawagam pada tahun 2027.

Filem ini diarahkan oleh pengarah dari Hong Kong, Mak Ho Pong, manakala idea asal dan skripnya dihasilkan oleh Edmond Wong, penulis skrip serta pencipta cerita asal di sebalik francais filem terkenal IP MAN. Edmond Wong turut menghasilkan skrip bersama Cheung Chun Ho.

Menggabungkan elemen percintaan, kekeluargaan, komedi dan pengembaraan memburu harta karun, GOLDEN BLESSINGS mengisahkan empat individu daripada latar kehidupan berbeza yang bertemu selepas memperoleh sebuah peta misteri harta karun.

Pemburuan harta karun tersebut kemudiannya bertukar menjadi satu pengembaraan yang huru-hara dan mencuit hati apabila pelbagai salah faham berlaku di sebuah hotel, selain kejutan yang menanti mereka sepanjang perjalanan.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal dari dua industri hiburan Asia, termasuk bintang Hong Kong seperti Owen Cheung, Benjamin Yuen, Ruco Chan, Mandy Wong, Kent Cheng, Emily Kwan, Ha Yu, Shirley Chan dan Stefan Wong. Pelakon Malaysia Andy Teh dan Miko Wong turut menyertai barisan pelakon filem tersebut.

Antara watak yang diketengahkan ialah Ruco Chan sebagai ketua dunia bawah tanah yang berpengaruh, Benjamin Yuen sebagai pengurus hotel dan Owen Cheung sebagai seorang bakat muda yang berpotensi besar.

Mandy Wong pula memainkan watak seorang penyelia, manakala Shirley Chan membawakan watak seorang pempengaruh terkenal. Pelakon Malaysia Andy Teh memegang watak pelagak ngeri seni mempertahankan diri, sementara Miko Wong membawakan watak seorang pewaris wanita kaya.

Sementara itu, Kent Cheng dan Emily Kwan memainkan watak pasangan suami isteri kaya, manakala Ha Yu membawakan watak seorang warga emas yang hidup bersendirian. Setiap watak mempunyai kisah dan konflik peribadi tersendiri sebelum akhirnya bertemu di hotel tersebut.

Dengan gaya komedi ringan yang menghiburkan, GOLDEN BLESSINGS menggabungkan elemen pengembaraan memburu harta karun, percintaan dan kekeluargaan dalam sebuah kisah yang penuh warna. Suasana Tahun Baharu Cina serta barisan pelakon daripada Malaysia dan Hong Kong turut menambahkan lagi daya tarikan filem ini untuk penonton seisi keluarga.

GOLDEN BLESSINGS diterbitkan oleh Enotech Films dan Mandarin Pictures Production, dengan kerjasama Astro Shaw, Sil-Metropole Organisation, Shanghai Pictures dan BaoZhijie Group. GSC Movies pula bertindak sebagai pengedar filem.

Filem ini turut mendapat sokongan rakan strategik Lexis Hibiscus Port Dickson dan BYD | DENZA, selain disokong oleh Cocofans bersama Giacomo Marketing, Iconz Design Consultancy, Blood Malaysia, M-Plan dan Oz MediSpa | OZHEAN Clinic.

GOLDEN BLESSINGS dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 4 Februari 2027, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2027.

Barisan pelakon dan penerbit filem Golden Blessings dari Malaysia dan Hong Kong pada sidang media rasmi