Feby Putri Raih Sambutan Hangat Melalui Konsert FEBY PUTRI VOL 2 di Zepp Kuala Lumpur

Kali pertama penyanyi Indonesia Feby Putri menjejakkan kaki ke Malaysia adalah pada Mac 2023 melalui konsert “Feby Putri Live in Kuala Lumpur”. Momen istimewa tersebut bukan sahaja menandakan kali pertama Feby Putri terbang keluar dari negara asalnya, tetapi juga membuka lembaran baru dalam kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Melihat kepada sambutan hangat yang diterima oleh penyanyi yang memiliki nama penuh Feby Putri Nilam Cahyani ini, pihak Miebird Projects sekali lagi membawa Feby Putri untuk mengadakan konsert keduanya. Kali ini, konsert tersebut diberi judul “KONSERT FEBY PUTRI VOL 2: DETIK.MENIT.JAM”, LIVE IN KUALA LUMPUR.

Konsert kedua ini diadakan pada 27 Julai 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur. Acara yang bermula pada pukul 8.00 malam itu dimulakan dengan persembahan pembuka dari Megat Fazly yang membawakan empat buah lagu, memanaskan suasana dan menaikkan semangat penonton.

“Selepas melihat sambutan hangat yang diberikan oleh para peminat terhadap Feby Putri tahun lalu, pihak Miebird Projects rasa terpanggil untuk menyatukan semula Feby dan para peminat di sini melalui KONSERT FEBY PUTRI VOL 2: DETIK.MENIT.JAM, LIVE IN KUALA LUMPUR,” kata Azmi Zainal Abidin, Pengarah Urusan Miebird Projects.

“Sekali lagi, kami merasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para peminat. Konsert kali kedua ini juga turut sold out!” tambahnya dengan penuh kegembiraan.

Feby Putri turut berkongsi rasa terharunya. “Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan pada konsert terdahulu. Dan kali kedua ini, saya amat gembira dengan kehadiran sekitar 2,400 peminat yang hadir memberikan sokongan,” kata Feby dengan penuh emosi. Pada malam tersebut, Feby Putri menghiburkan penonton dengan menyanyikan sekitar 16 buah lagu, memastikan setiap detik, menit, dan jam dipenuhi dengan kenangan manis bagi semua yang hadir.

Dengan kehadiran peminat yang begitu menggalakkan, konsert ini bukan sahaja menjadi bukti populariti Feby Putri yang semakin meningkat, tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan erat antara penyanyi berbakat ini dengan para peminatnya di Malaysia.

INFORMASI :

KONSERT FEBY PUTRI VOL 2, ‘‘DETIK.MENIT.JAM“, LIVE IN KUALA LUMPUR.

TARIKH/ MASA/LOKASI: 

  •    27 JULAI 2024 / SABTU
  •    8:00 malam
  •    ZEPP KUALA LUMPUR

OPENING ACT: MEGAT FAZLY

Tajuk lagu: 

  1.   BINTANG BERKELIPAN
  2.   MINTA MAAF LAGI
  3.   TATKALA RINDU
  4.   BERSERI

SENARAI LAGU FEBY PUTRI:

  1.   TANPA PAMRIH
  2.   ALIH
  3.   ANDAI KATA
  4.   SENDIRI DULU
  5.   BAGAI BULAN BINTANG
  6.   DIRI
  7.   DERA
  8.   KEMBALI PULANG
  9.   USIK
  10.  CAHAYA
  11.  HALU
  12.  TANGAN-TANGAN UCAP PERPISAHAN
  13.  LIAR ANGIN
  14.  DETIK MENIT JAM
  15.  RANTAU
  16.  RUNTUH