Sebuah kisah manipulasi, pengaruh, dan kepercayaan melampau bakal menghiasi skrin anda melalui Langit Ke Tujuh, sebuah drama bersiri 8 episod yang mengetengahkan realiti pahit kehidupan mereka yang terperangkap dalam jerat ajaran sesat. Dengan penceritaan yang mendalam serta elemen keagamaan, drama ini mengajak penonton untuk merenung sejauh mana kesetiaan kepada kepercayaan boleh membawa kepada kehancuran.
Diterbitkan oleh Luqsar Kreatif Sdn Bhd dan diarahkan oleh pengarah berkaliber Heykal Hanifah, Langit Ke Tujuh menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Zamarul Hisham, Nora Danish, Farahdhiya, Faezah Elai, Chacha Maembong, Nafiz Muaz, dan Datuk Fauziah Nawi. Drama ini, yang eksklusif di Tonton, bakal disiarkan bermula 23 Januari 2025, setiap Isnin dan Khamis.
Di tengah-tengah kisah ini ialah Ayah Abdul (lakonan Zamarul Hisham), seorang pemimpin karismatik yang mengetuai komuniti kepercayaan sesat, Tanah Surgo. Menggelarkan dirinya sebagai penyelamat, Ayah Abdul memanipulasi pengikutnya dengan janji-janji palsu menuju kebahagiaan abadi, menjadikan mereka taksub terhadap ajaran yang menyimpang dari agama sebenar.

Hidup bersama tiga isteri – Kalsom (Nora Danish), Zaynab (Farahdhiya), dan Suhana (Faezah Elai) – Ayah Abdul mendominasi komuniti itu. Namun, kemasukan seorang wanita muda bernama Zahara (Chacha Maembong) sebagai isteri keempat mencetuskan perubahan besar. Zahara, yang pada awalnya terpesona dengan ajaran Ayah Abdul, mula menyedari kebenaran setelah melihat sendiri kepincangan ajaran itu. Dia tekad untuk mendedahkan rahsia di sebalik Tanah Surgo, walaupun risikonya tinggi.
Dalam perkembangan lain, seorang pemuda bernama Yusuf (Nafiz Muaz) memasuki komuniti itu untuk bertemu ibunya, Mak Ina (Datuk Fauziah Nawi). Namun, Yusuf mula menyaksikan kejanggalan di Tanah Surgo, termasuk pengaruh Ayah Abdul yang semakin mencengkam ibunya. Yusuf berusaha menyelamatkan ibunya dari pengaruh ajaran tersebut sambil melawan kekuatan manipulasi Ayah Abdul.
Zamarul Hisham menyifatkan wataknya sebagai Ayah Abdul antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya. Menurutnya, “Setiap dialog yang melibatkan agama sangat mendalam, membuatkan saya perlu sentiasa berhati-hati. Saya banyak beristighfar dan melakukan solat taubat setiap kali selepas penggambaran. Drama ini membuka mata tentang betapa bahayanya agenda manipulasi dan kesesatan yang mampu merosakkan kehidupan manusia.”

Langit Ke Tujuh tidak hanya sebuah drama, tetapi juga sebuah penceritaan yang mengajar tentang bahaya taasub melampau, manipulasi, dan pengaruh sesat. Adakah Ayah Abdul akan berjaya mempertahankan ajarannya, atau kebenaran akhirnya akan terbongkar?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Langit Ke Tujuh, bermula 23 Januari 2025, hanya di Tonton. Strim episod baharu melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.
Untuk kemas kini terkini dan kandungan menarik, ikuti Tonton di media sosial di Facebook, Instagram, dan Twitter di @TontonMY.