Dukes Pikat Hati Pendengar Melalui Single ‘Benci Jadi Cinta’

Kumpulan indie rock yang semakin mendapat perhatian, Dukes, baru-baru ini melancarkan single terbaru mereka, Benci Jadi Cinta. Lagu ini adalah hasil kerjasama bersama Alternate Records dan penerbit terkenal, Jipie. Mengisahkan perjalanan cinta yang bermula dengan kebencian dan berakhir dengan kisah cinta yang mendalam, Benci Jadi Cinta menyentuh tema universal yang mudah dirasai oleh pendengar, sekaligus memberi impak yang mendalam.

Lagu ini bukan sahaja memperkenalkan karya terbaru dari Dukes, tetapi juga berfungsi sebagai runut bunyi untuk drama revolusi digital TV3, Benci Jadi Cinta. Drama bersiri vertikal pertama yang boleh ditonton terus di platform TikTok ini memulakan tayangannya pada 9 Disember 2024. Dengan setiap episod berdurasi hanya dua minit, drama ini bakal menemui penonton setiap hari pada jam 12.00 tengah hari di saluran TikTok Drama Sangat. Dibintangi oleh Syahmie Thsaqeef dan Harissa Adlynn, drama ini menggabungkan jalan cerita segar dengan romansa yang memikat, sesuai dengan citarasa generasi muda masa kini.

Menurut Dukes, mereka merasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan Jipie yang bukan sahaja sebagai penerbit, tetapi juga sebagai mentor yang sabar dalam memberikan bimbingan sepanjang proses rakaman. Pengalaman bekerja dengan Jipie sangat berharga kerana beliau memahami visi muzik mereka dengan jelas, serta memberi arahan yang memudahkan mereka mengatasi pelbagai cabaran sepanjang rakaman lagu ini.

“Proses untuk menghasilkan Benci Jadi Cinta tidak mudah, kerana lagu ini mempunyai tempo yang lebih pantas berbanding lagu kami sebelum ini, Laila. Selain itu, lagu ini juga lebih kompleks dengan lapisan muzik yang lebih mendalam seperti backing vocals dan permainan gitar yang mencabar. Namun, hasilnya adalah sebuah lagu yang unik, menggabungkan elemen muzik klasik dan moden dengan rentak yang ceria,” kata Dukes.

Jipie, yang sudah terkenal dengan pengalaman luas dalam industri muzik, mengulas kerjasamanya dengan Dukes. “Saya sangat terkesan dengan semangat dan bakat besar yang dimiliki oleh Dukes. Walaupun proses penghasilan lagu ini agak mencabar, kami berjaya menyelesaikannya dalam masa tiga hari sahaja. Saya berharap lagu ini diterima dengan baik, terutama oleh generasi muda yang aktif di media sosial,” katanya.

Lagu Benci Jadi Cinta merupakan lagu OST pertama untuk Dukes, menjadikannya satu pencapaian yang amat membanggakan bagi mereka. Mereka berharap lagu ini dapat memberi impak positif kepada industri muzik tempatan dan menginspirasi lebih ramai anak muda untuk mendalami muzik rock.

Kini, Benci Jadi Cinta boleh didengari melalui platform penstriman seperti iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Dukes berharap para peminat akan terus menyokong dan menikmati lagu ini seperti mana mereka menikmati proses penciptaannya.

Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai Dukes dan persembahan mereka di media sosial. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Alternate Records & Talents, anda boleh mengikuti mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).