Menyatukan dua suara dari latar muzik berbeza, Puaskah merupakan kolaborasi pertama antara Ameerais (anggota kumpulan Forteen) dan Mariam (Top 5 rancangan realiti Calpis Soda One in a Million). Lagu ini adalah ciptaan penuh emosi oleh Iqie Hugh dan Shazriq, mengangkat kisah dua insan yang terperangkap antara janji masa lalu dan kenyataan masa kini.

Kerjasama ini tercetus atas inisiatif label Alternate Records & Talents, dan menurut Ameerais, pengalaman bekerjasama dengan Mariam sangat positif. “Mariam seorang rakan duet yang sangat rendah diri, senang diajak berbincang dan penuh semangat dalam setiap sesi rakaman,” kongsinya.

Mariam pula menganggap Puaskah lebih daripada sekadar lagu duet. “Kami berdua membawa pengalaman peribadi dalam menyampaikan emosi lagu ini. Ia menuntut dua perspektif yang berbeza tetapi saling melengkapi. Ameerais adalah pilihan paling tepat untuk itu,” ujarnya.

Keunikan lagu Puaskah terserlah melalui struktur liriknya yang disusun seperti dialog, memperlihatkan pertentangan antara dua hati yang pernah menyayangi. Pertukaran persoalan dan luahan rasa dalam liriknya menambah dimensi dramatik, menyampaikan rasa luka yang masih berbaki meskipun cinta sudah berlalu. Dipadukan dengan melodi yang menyentuh dan susunan muzik yang sinematik, Puaskah memiliki potensi kuat untuk menambat hati pendengar arus perdana mahupun peminat balada yang lebih emosional.

Proses rakaman vokal diselesaikan dalam masa kira-kira empat jam, menandakan keserasian vokal serta kefahaman mendalam terhadap tema lagu. Komposer turut memberi ruang kepada kedua-dua artis untuk mengekspresikan karakter vokal secara jujur dan autentik. “Fokus bukan hanya pada teknik, tetapi bagaimana menyampaikan rasa dengan jiwa. Itu yang menjadikan lagu ini sangat peribadi bagi saya,” kata Ameerais yang turut merakamkan penghargaan kepada guru vokalnya, Cikgu Azrin Noor.

Lebih daripada kisah cinta yang tidak kesampaian, Puaskah menyentuh tema yang lebih luas – pengkhianatan, kesedihan, penyesalan dan akhirnya, penerimaan. Bait utama lagu “Puaskah kau, puas kau buatku jatuh” berfungsi sebagai satu pengakuan yang mengajak pendengar menyelami konflik batin dua hati yang terlukakan, namun perlahan-lahan belajar melepaskan.

Kini boleh didengari di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, Puaskah juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama slot Akasia TV3, Bukan Ipar Sempurna memperkukuh lagi impak emosinya di kaca televisyen.

Untuk perkembangan lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial:
Facebook: Alternate Records & Talents
Instagram: @alternate.my_
TikTok: @alternate.rt_