Dokumen baharu MS diluluskan, pacu industri automotif

Dokumen baharu MS diluluskan, pacu industri automotif

SHAH ALAM – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluluskan senarai baharu dokumen Malaysia Standard (MS) yang dibangunkan Jabatan Standard Malaysia (JSM), baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan JSM pada Khamis, dokumen berkenaan dilulus berdasarkan Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549).

“Senarai dokumen yang diluluskan terdiri daripada empat MS baharu, sembilan disemak, dua dipinda secara teknikal serta pengeluaran 60 MS tanpa penggantian.

“Pembangunan MS tersebut telah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan yang diwakili jawatankuasa pembangunan standard termasuk orang awam melalui proses ulasan umum yang mana tiada bantahan diterima dalam masa 60 hari,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu JSM turut memaklumkan, dokumen MS dibangunkan bertujuan meningkatkan keselamatan, kualiti, perlindungan alam sekitar serta kesejahteraan awam.

Sehingga kini JSM telah membangunkan sebanyak 4,799 dokumen MS dan boleh didapati menerusi laman sesawang https://mysol.jsm.gov.my/.

JSM memaklumkan, daripada senarai itu, MS 2723:2022 iaitu ‘Palm methyl esters (PME) diesel vehicle-Laboratory and on-road test procedure’ berjaya dibangunkan bagi mewujudkan metodologi ujian kenderaan dengan menggunakan diesel PME dalam sektor automotif.

“MS ini menyatakan keperluan dan garis panduan prosedur ujian kenderaan diesel PME termasuk ujian makmal dan kenderaan atas jalan.

“Matlamat khusus pembangunan MS ini adalah untuk menganalisa dan mengesahkan kesan penggunaan diesel PME dalam sektor automotif, khususnya berkenaan dengan pelepasan ekzos berdasarkan prestasi pengendalian kenderaan.

“Inisiatif ini akan melengkapkan pendekatan strategik kerajaan ke arah perlindungan alam sekitar melalui mobiliti karbon rendah dan penggunaan tinggi diesel PME yang menyokong agenda pembangunan mampan,” menurut kenyataan itu.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber