Category: ATTRACTION

  • Al-Quran solusi untuk semua ummah

    Al-Quran solusi untuk semua ummah

    SHAH ALAM – Al-Quran tidak eksklusif kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ummah untuk memahami isi kandungannya, sekali gus menjadikan ia sebagai solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, umat Islam perlu berusaha menjadi seseorang yang berilmu dengan membaca, memahami dan menghayati al-Quran.

    Hussamuddin

    Hussamuddin

    “Bila saya mula mengkaji al-Quran, saya lihat untuk mengurus syarikat, keluarga, perniagaan dan juga krisis semua ada terkandung dalam ayat al-Quran.

    “Jadi, sekiranya umat Islam di seluruh dunia ini boleh pindahkan nilai yang ada pada al-Quran itu ke hati masing-masing di samping menjadikan ia sebagai operating system, maka kita boleh ubah dunia.

    “Kita tengok negara Islam pun duk bergaduh sesama sendiri. Berperang. Termasuk kita di Malaysia. Pemimpin sanggup jual bangsa, jual agama. Jadi, bila saya buat kajian rupanya manusia sudah hilang keikhlasan,” katanya pada sesi perkongsian misi berinteraksi dengan al-Quran yang berlangsung secara atas talian pada Jumaat.

    Beliau berkata demikian sempena program World #QuranHour dengan tema ‘Dunia Bersujud’, yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa ini.

    Dalam perkembangan sama, Hussamuddin berkata, World #QuranHour yang dianjurkan itu bukan sekadar melihat kepada satu jam untuk bersama al-Quran pada hari tersebut, sebaliknya merupakan satu titik permulaan kepada sebuah gelombang besar kerana objektif WUIF adalah My Quran Hour.

    “Maknanya setiap orang mesti berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi maksudnya baca, faham, hayati, amalkan dan sebarkan. Sekurang-kurangnya satu jam satu hari. Itu objektif kita,” ujarnya.

    Hussamuddin berkata, pihaknya juga telah melakukan kajian di mana setiap satu jam satu muka surat, ia hanya mengambil masa dua tahun setengah sahaja.

    “Bayangkan kita mula dari umur 6 tahun, kemudian pada umur 8 tahun kita dah faham dan khatam tadabbur quran. Ini secara tidak langsung akan membentuk operating system. Bentuk minda dan akhlak.

    “Justeru, bila jadi pemimpin, dia akan jadi pemimpin yang baik. Bila jadi pengurus pula, dia akan jadi pengurus yang baik,” katanya.

    Sehubungan itu, Hussamuddin menggesa agar semua pihak memainkan peranan masing-masing.

    “Mungkin kita kena fikir dan kaji semula. Sebagai orang yang mempunyai ilmu agama, ilmu al-Quran, seharusnya faham tugas masing-masing. Bukan untuk jadi pemimpin, sebaliknya melahirkan pemimpin,” ujar beliau.

    Sumber

  • Ibnu Yunus ilmuan genius dalam bidang astronomi

    Ibnu Yunus ilmuan genius dalam bidang astronomi

    SEBUT sahaja Ibnu Yunus, pasti ramai yang terpaku dengan kehebatan ilmuan Islam itu dalam bidang astronomi dan matematik. Kepakaran tokoh Arab Mesir berketurunan Yemen itu memang tidak boleh disangkal lagi, malah diperakui oleh ramai sarjana Islam dan Barat.

    Masakan tidak, nama Ibnu Yunus telah diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan. Penamaan itu dicetuskan oleh seorang profesor dalam bidang astronomi dan falsafah, Joannes Baptista Riccioli dari Bologna, Itali pada tahun 1651 dan kemudian disahkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1976.

    Menyingkap sisi peribadi pemilik nama Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi, beliau datang daripada keluarga yang bukan calang-calang. Datuknya merupakan seorang ulama. Begitu juga dengan bapanya.

    Hasil pembacaan Sinar Islam, kehidupan Ibnu Yunus sewaktu kecil tidak banyak yang diuar-uarkan. Menurut satu riwayat yang terkenal, Ibnu Yunus dilahirkan antara 950 dan 952 Masihi di Fustat, Mesir.

    Kemasyhurannya mula menonjol apabila tokoh itu menjalin hubungan rapat dengan Kerajaan Fatimiah di Mesir.

    Ia bermula pada era Khalifah al-Aziz (995 Masihi) yang mengetuai kerajaan tersebut pada ketika itu.

    Pada zaman berkenaan, Ibnu Yunus diberikan tanggungjawab untuk menulis sebuah rajah penggerak cakerawala yang turut menjadi kegunaan Khalifah al-Aziz.

    Kehandalannya semakin terserlah apabila diberi amanah untuk membina satu pusat kajian bintang di kota Kaherah.

    Khidmat Ibnu Yunus dengan kerajaan berkenaan tidak terhenti setakat di situ sahaja. Ketika Khalifah al-Hakim menerajui kerajaan, beliau sempat mempersembahkan karyanya bertajuk Al-Zi Al-Hakimi Al-Kabir iaitu sebuah buku pegangan astronomi dengan jadual.

    IBNU YUNUS

    IBNU YUNUS

    Ada riwayat mengatakan, Ibnu Yunus telah mengabdikan dirinya selama 30 tahun dalam bidang astronomi untuk kedua-dua khalifah berkenaan.

    Sarjana Islam itu sememangnya terlalu hebat apabila dikatakan telah membuat lebih 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.

    Selain menguasai ilmu falak, Ibnu Yunus dipercayai mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Bahkan, beliau juga seorang yang kreatif dan produktif.

    Kaji pergerakan bulan, matahari

    Sesungguhnya, kemasyhuran Ibnu Yunus dalam bidang astronomi memang sukar disangkal. Pun demikian, beliau dilihat lebih menonjol dengan kajian tentang pergerakan bulan dan matahari.

    Apa tidaknya, lelaki intelektual itu berjaya memperoleh hasil penyelidikan yang banyak daripada kegiatannya di pusat penyelidikan yang dibangunkannya di Kaherah. Penemuan-penemuan tersebut telah digunakan untuk kajian perbandingan.

    Selain itu, Ibnu Yunus yang merupakan seorang penyair turut mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu. Hasil ciptaannya itu banyak menjelaskan persoalan-persoalan tentang pergerakan cakerawala. Beliaulah juga merupakan individu pertama yang mereka cipta batu jam.

    Menerusi karya tinggalannya Al-Ziji Al-Kabir, Ibnu Yunus memperkenalkan satu penemuan baharu berupa ayunan bandul. Alat itulah lazimnya digunakan untuk mengetahui detik-detik waktu ketika meneropong benda-benda di angkasa. Ia sama seperti ayunan bandul yang digunakan untuk jam dinding.

    Reka cipta itu dikatakan lebih awal berbanding yang dilakukan oleh sarjana Barat, Galileo Galilie (1564-1642 Masihi) iaitu kira-kira 600 tahun sebelum itu.

    Dalam karya Al-Ziji Al-Kabir itu juga, Ibnu Yunus melaporkan bahawa cerapan pertama yang dibuat oleh kaji bintang Islam adalah sejak abad ke-9 Masihi.

    NAMA Ibnu Yunus diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

    NAMA Ibnu Yunus diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

    Selain itu, kitab beliau yang turut dikenali dengan nama Hakemite Astronomical Table tersebar luas ke seluruh dunia. Maka, tidak hairanlah ia menjadi rujukan ramai pihak kerana diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

    Berdasarkan catatan sahih, rata-rata ilmuan dunia menyifatkan antara sumbangan terbesar Ibnu Yunus merujuk kepada kebijaksanaannya mengetengahkan tentang gerhana matahari dan bulan. Beliau dipercayai individu pertama di dunia yang berbuat demikian.

    Keupayaan itu dinukilkan beliau sendiri menerusi kitab at-Ta’dil al-Muhkam. Beliau juga telah menghuraikan tentang ukuran solat, daftar bayang-bayang dan azimut matahari.

    PROFIL

    Nama: Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi

    Gelaran: Ibnu Yunus

    Kepakaran: Astronomi dan matematik

    Tahun kelahiran: 950 atau 952 Masihi

    Tahun kematian: 1009 Masihi

    Karya agung:

    Al-Zi Al-Kabir yang memperkenalkan penemuan berupa ayunan bandul untuk mengetahui detik-detik waktu meneropong benda-benda di angkasa.

    – Kitab Al-Mikhail yang mengisahkan tentang matahari.

    Sumbangan:

    -Mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu.

    – Mereka cipta batu jam.

    Sumber

  • Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

    Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

    INISIATIF membangunkan penyelidikan sumber bahan boleh diperbaharui dan terurai secara biodegradasi amat diperlukan demi memelihara alam sekitar yang lebih lestari.

    Penyelidikan itu cukup signifikan ketika dunia berdepan ancaman impak plastik dan polistirena. Apalagi hasil toksik daripada bahan itu membahayakan kehidupan selain menyumbang kepada penipisan ozon.

    Merujuk kepada Malaysia khususnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan kira-kira lebih 37,800 tan sisa sampah dibuang setiap hari. Sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) sisa buangan dihasilkan bagi setiap individu.

    Daripada jumlah itu, sisa kertas mencatat pengeluaran terbanyak iaitu 17 peratus. Sumber buangan kedua terbesar pula ialah plastik iaitu sembilan peratus. Biarpun di tangga kedua, sisa plastik wajar dibimbangkan.

    Masakan tidak, plastik dan polistirena mengambil masa 500 tahun untuk mereput! Sifatnya yang tidak boleh terurai dan dibuang secara tidak terkawal ketika ini menimbulkan kebimbangan ramai.

    Prihatin permasalahan itulah yang mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) merintis kajian terhadap nanoselulosa biomas kelapa sawit yang dikenal pasti sebagai agen mesra alam.

    Penyelidikan berkenaan diketuai oleh Profesor Madya Dr Hidayah Ariffin bersama Profesor Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Liana Noor Megashah, Dr Mohd Nor Faiz Norrrahim dan Dr Tengku Arisyah Tengku Yasim Anuar.

    DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

    DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

    Keistimewaan

    Mula dijalankan sejak 2013 sehingga sekarang, kajian itu menerima pembiayaan berbentuk geran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, UPM dan Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), Jepun.

    Menariknya, fitur baharu berkaitan biojisim kelapa sawit tersebut turut menerima kerjasama daripada Kyushu Institute of Technology, Jepun sekali gus membanggakan negara.

    Jika sebelum ini sisa sawit hanya dipandang sebelah mata, malah barangkali ramai pekebun melupuskannya dengan cara membakarnya, kini sebahagian tempat tidak lagi mengamalkannya.

    Apa tidaknya, Dr Hidayah yang juga Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika Dan Produk Hutan (INTROP) UPM menjelaskan, nanoselulosa dihasilkan daripada mesokarp kelapa sawit, tandan buah kosong dan pelepah kelapa sawit ada ‘ajaibnya’.

    “Kesemua bahan itu kaya dengan selulosa. Nanoselulosa pula adalah selulosa yang mempunyai saiz diameter di bawah lingkungan 100 nanometer (nm) dengan sifat yang istimewa.

    “Hasil kajian kami mendapati nanoselulosa memiliki sifat yang kuat. Kehablurannya tinggi, permukaan luas dan diekstrak daripada sumber boleh diperbaharui serta biodegradasi,” bicaranya.

    Mengulas lanjut, sifat istimewa tersebut menjadikan nanoselulosa sangat sesuai digunakan untuk pelbagai industri termasuk plastik pembungkusan makanan mesra alam.

    Nanoselulosa boleh dijadikan sebagai bahan tambahan untuk produk plastik, bahan komposit, makanan, kosmetik serta farmaseutikal bagi meningkatkan ciri produk yang dihasilkan, kata Dr Hidayah.

    “Oleh yang demikian, fitur baharu tersebut dapat menggantikan penggunaan bahan kimia yang sedia ada dalam meningkatkan kualiti sesuatu bahan,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

    SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

    SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

    Nanoselulosa yang digunakan sebagai bahan aditif kerana mempunyai sifat kekuatan yang sangat baik boleh ditambah ke dalam mana-mana produk bersifat industri komersial.

    Terang Dr Hidayah, fungsinya boleh meningkatkan sifat bahan tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kekuatan mekanikal, kelikatan, sifat terma dan penghabluran.

    Nilai komersial

    “Sebagai contoh berdasarkan penemuan semasa, penambahan satu peratus nanoselulosa kepada polipropilena (polimer termoplastik) meningkatkan kekuatan mekanikal kepada 33 peratus berbanding dengan polipropilena yang asli.

    “Sementara itu, penambahan tiga peratus nanoselulosa kepada polietilena (komoditi termoplastik) juga menunjukkan peningkatan terhadap kekuatan lenturan kepada hampir 200 peratus,” ujarnya lagi.

    Seperkara tentang metode penghasilan produk, Dr Hidayah berkata, nanoselulosa daripada selulosa melalui kaedah pemprosesan mekanikal berteknologi tinggi.

    Melalui teknologi itu, nanoselulosa daripada pulpa biomas sawit dapat dihasilkan secara cepat, mudah dan bebas penggunaan bahan kimia.

    “Saiz nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah ini adalah dalam lingkungan 10 sehingga 50 nanometer (nm) yang mana setanding dengan nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah lain sedia ada,” ujarnya.

    Ditanya mengenai faktor utama pemilihan sumber semula jadi berkenaan, ketua penyelidik itu menjelaskan bahawa nanoselulosa telah pun disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah penyelidikan strategik.

    PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

    PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

    Pengkomersialan bahan tersebut dipercayai dapat meningkatkan ekonomi negara dalam pelbagai aspek seperti penghasilan plastik, pembungkusan, komposit, makanan, kosmetik dan bidang kesihatan.

    “Kami percaya penggunaan bahan mentah daripada sisa buangan itu akan memberikan nilai tambah kelapa sawit, bahkan teknologi terkini dibangunkan membolehkan lebih banyak bahan diproses pada masa sama,” katanya.

    Lagi menarik mengenai potensi nanoselulosa, Dr Hidayah menerangkan, produk baharu itu boleh digunakan dalam beberapa aplikasi lain iaitu bahan pembuatan bahagian kenderaan, pemprosesan kertas, cat, pelapis dan penyelidikan yang berkaitan.

    Padanlah sasaran pengguna inovasi itu ialah syarikat pembuatan bahan plastik, pembinaan, industri kertas, industri cat, penjagaan kesihatan, produk farmaseutikal, aerogel dan penyelidik institusi pengajian tinggi.

    Sumber

  • UPSI rakan sinergi Rumah Ngaji Perak, penyertaan dijangka lebih meriah

    UPSI rakan sinergi Rumah Ngaji Perak, penyertaan dijangka lebih meriah

    IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim akan menjadi rakan sinergi Rumah Ngaji Negeri Perak sempena World #QuranHour pada 26 April ini.

    Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, pada tahun ini sebanyak dua lokasi utama penganjuran program iaitu di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam UPSI dan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini.

    Menurutnya, selain dua lokasi utama tersebut, kesemua 93 Rumah Ngaji di Perak akan turut bersama-sama menyertai World #QuranHour kali ini yang akan dilaksanakan secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Bagi lokasi utama World #QuranHour di negeri ini, kita menyasarkan penyertaan daripada komuniti daerah Muallim, mahasiswa dan seluruh warga UPSI serta Rumah Ngaji berhampiran.

    “Di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Pusat Latihan PGA, Ulu Kinta pula, antara yang akan terlibat termasuklah Perpustakaan Negeri Perak, Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat), Persatuan Keluarga Polis (Perkep) serta Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri),” katanya kepada Sinar Ahad.

    Menurutnya, terdapat beberapa hotspot di negeri ini yang turut sama menyertai World #QuranHour, antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pusat Koreksional Kamunting Taiping, Masjid Negeri Perak, hospital dan beberapa sekolah terpilih.

    NOOR MAZLINA

    NOOR MAZLINA

    Noor Mazlina berkata, antara tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Aezer Zubin.

    Jelasnya, penganjuran World #QuranHour tahun ini dijangka berlangsung lebih meriah memandangkan dua tahun tidak dapat diadakan secara bersemuka.

    Katanya, sambutan dan penyertaan orang ramai juga akan bertambah memandangkan masyarakat sangat merindui program interaksi dengan al-Quran ini.“Mutakhir ini, masyarakat sudah mula sedar tentang penghayatan al-Quran. Saya berpandangan sedemikian kerana saya melihat sejak 2019-2022, penubuhan Rumah Ngaji di Perak semakin bertambah.

    Sebahagian urusetia yang membantu menjayakan program World #QuranHour di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam UPSI yang menjadi lokasi utama pada tahun ini.

    Sebahagian urusetia yang membantu menjayakan program World #QuranHour di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam UPSI yang menjadi lokasi utama pada tahun ini.

    “Ini menunjukkan masyarakat semakin berminat untuk membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran. Ini selaras dengan matlamat penubuhan Rumah Ngaji yang kita laksanakan. Semoga masyarakat istiqamah bersama al-Quran,” ujarnya.

    Noor Mazlina berkata, bagi memperluaskan promosi World #QuranHour itu, pelbagai medium digunakan untuk mengajak orang ramai turut serta pada 26 April ini seperti menggunakan aplikasi WhatsApp, media sosial dan sebagainya.

    Sumber

  • Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

    Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

    SEBAGAI manusia yang dijadikan ALLAH SWT dalam pelbagai kaum, agama dan budaya di muka bumi ini, kita dianjurkan supaya menyantuni perbezaan tersebut.

    ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

    Ayat itu jelas menjadi panduan kepada kita untuk menyantuni perbezaan tersebut.

    Bahkan, ia juga sebagai tanda keagungan ALLAH SWT yang menjadikan makhluknya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Orang yang paling mulia di sisi ALLAH adalah ketakwaannya.

    Jika diperhalusi, akhir-akhir ini, kita menyaksikan pelbagai isu yang sensitif diketengahkan kerana perbezaan dalam masyakarat Malaysia. Situasi itu dilihat ibarat api dalam sekam, jika dibiarkan akan semakin membarah.

    Mengulas mengenai fenomena itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Amanie Advisor Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, cabaran berbentuk kebencian, permusuhan dan perkauman dalam masyarakat boleh mengundang bahaya dan sangat berisiko tinggi.

    MOHD DAUD

    MOHD DAUD

    “Di Malaysia, kita perlu mendalami, memperhalusi dan lebih mempercayai kepada konsep mendekati antara sama lain. Memang ada perbezaan dari segi kaum dan agama, tetapi itu bukanlah ruang atau peluang untuk membesar-besarkan keadaan.

    “Kita perlu berani, mampu dan bersedia untuk bersama memahami perbezaan tersebut. ALLAH boleh menjadikan satu umat, satu warna kulit dan satu bahasa. Namun, ALLAH SWT menjadikan kita dalam pelbagai kaum dan etnik. Ini menunjukkan kebesaran ALLAH SWT agar kita mengambil peluang untuk saling mengenali dan saling menyantuni sesama kita,” katanya ketika ditanya pandangannya tentang kempen Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmony baru-baru ini.

    Beliau ditemui selepas memberi ucaptama pada Majlis Minum Petang Hidayah Centre Foundation di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di ibu negara pada 18 Januari lalu. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Slyvester.

    Pada majlis yang bertemakan Sampaikan Islam & Santuni Mualaf itu, seramai 50 penyumbang dana daripada agensi kerajaan, swasta dan individu telah diraikan.

    Ujar Ahli Lembaga Pemegang Amanah Hidayah Centre itu lagi, untuk hidup bersama dan berintegriti secara harmoni bukan mudah. Justeru, menjadi fitrah makhluk di dunia untuk mencari jalan menghilangkan permusuhan dan kebencian yang melibatkan variasi bangsa dan agama.

    Sumber

  • 5 taktik jahat penjenayah – Sinar Harian

    5 taktik jahat penjenayah – Sinar Harian

    BERITA kecurian kenderaan bukan satu perkara asing di Malaysia. Boleh dikatakan hampir setiap hari, jenayah berkenaan terpampang di dada akhbar dan menerusi media sosial.

    Kes sebegitu sudah pastinya memberi impak besar kepada mangsa. Terdapat kes yang mana kenderaan mereka rosak teruk gara-gara ‘dimusnahkan’ si penjenayah yang mahu merompak isi barangan berharga yang disimpan mangsa.

    Lebih memilukan apabila kenderaan kesayangan ‘ghaib’ terus atau hilang tanpa jejak. Sememangnya, perompak zaman sekarang terlalu ‘cerdik’ dalam menyusun strategi jahat.

    




SENGAJA mencetuskan perlanggaran juga merupakan taktik yang kerap dilakukan.

    SENGAJA mencetuskan perlanggaran juga merupakan taktik yang kerap dilakukan.

    Menjawab soalan mengapa kenderaan mahal mahupun berjenama murah tetap menjadi sasaran penjenayah, sangat mudah. Sudah pastinya, komponen, alat ganti termasuk aksesori tertentu dijual kepada pihak ketiga pada harga yang sangat tinggi.

    Malaysia sangat malang apabila berada pada kedudukan ketiga terburuk di ASEAN dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam seperti direkodkan Persatuan Insurans Am Malaysia pada tahun 2018.

    Bagi memastikan pengguna kenderaan di negara ini lebih berwaspada, pada minggu ini, Sinar Turbo akan berkongsi taktik dan teknik penjenayah mencuri kenderaan supaya kita sentiasa berjaga-jaga.

    Sebenarnya masih banyak lagi kaedah lain yang dipraktikkan, namun perkongsiaan pada kali ini menjurus kepada trend jenayah semasa.

    1. Nombor pendaftaran kenderaan dicabut

    Taktik yang mana penjenayah akan mencabut nombor pendaftaran kenderaan sama ada di hadapan atau di belakang.

    Tatkala mangsa mula memandu, si pelaku akan mengekori lalu memotong kenderaan sambil menunjukkan nombor pendaftaran kereta yang tercabut. Hal itu dilakukan dengan harapan mangsa berhenti.

    Ketika itulah, mereka akan buat ‘kerja’ dan terus merompak. Mangsa yang cuba melawan, barangkali akan dicederakan. Berdasarkan rekod, ramai pemandu wanita yang menjadi ‘korban’ kepada taktik berkenaan.

    2. Geng topeng

    Geng bertopeng selalunya akan meletakkan kenderaan berdekatan dengan kenderaan mangsa.

    Penjenayah dengan pantas akan menghampiri dan mengugut mangsa dengan kekerasan seperti dengan tutur kata yang menakutkan atau dengan mengeluarkan senjata dengan harapan kunci kereta diserahkan kepadanya.

    Apa lagi, barang-barang berharga seperti komputer riba atau wang menjadi sasaran. Selepas merompak, penjenayah dengan pantas akan meninggalkan lokasi.

    4. Pecah dan lari

    Strategi kotor penjenayah yang biasa dilakukan di lampu isyarat jalan.

    Modus operandi penjenayah akan menjurus kepada perlakuan memecahkan tingkap kenderaan sebelah pemandu. Seperti biasa, sasarannya ialah wanita.

    Tabiat golongan Hawa yang gemar meletak beg tangan atau beg komputer riba secara terbuka telah merangsang perompak untuk melakukan jenayah.

    5. Menyelinap dari pintu belakang kereta

    Kekerapan berlaku kepada pemandu yang memandu bersendirian.

    Penjenayah akan menyelinap menerusi pintu belakang kereta mangsa sebaik sahaja kenderaan diparkir.

    Mangsa biasanya menyangka kereta mereka telah berkunci, namun hakikatnya, mungkin tidak perasan bahawa terdapat satu pintu masih terbuka di bahagian belakang.

    Ketika meninggalkan kenderaan, pada masa itulah penjenayah akan melakukan kerja merompak atau melarikan terus kenderaan.

    Selain itu, terdapat strategi ‘busuk’ penjenayah apabila mereka menyamar menjadi wakil daripada pihak bank.

    Dengan nada mengugut, mereka akan merampas kenderaan mangsa.

    Sengaja cetuskan perlanggaranTaktik kotor yang masih dilakukan. Penjenayah dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa dan kononnya tercetuslah kemalangan.

    Apabila mangsa menghentikan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku, pada saat itulah penjenayah akan mengambil kesempatan merompak ataupun melarikan kenderaan mangsa.

    Dalam keadaan terkejut, sudah pasti sesiapa pun tidak mampu berbuat apa-apa. Mahu menjerit pun, sudah terlambat.

    Difahamkan, penjahat akan memilih pemandu wanita atau pemandu yang baru mendapat lesen P atau L.

    Sumber

  • Penting baca, faham dan amal al-Quran dalam kehidupan

    Penting baca, faham dan amal al-Quran dalam kehidupan

    SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyokong penuh program World #QuranHour bertemakan ‘Dunia Bersujud’ yang akan berlangsung pada Selasa ini.

    Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program tersebut dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan.

    “Al-Quran boleh memberi nasihat dan teguran paling berkesan untuk menjadikan kita sentiasa memikirkan tentang kebaikan. Tanpa al-Quran, kita mungkin tidak mendapat panduan untuk menjadi lebih baik dan contoh teladan kepada orang lain.

    “Justeru, untuk membumikan ayat al-Quran, pendekatan tadabbur boleh diketengahkan dalam masyarakat melalui pertandingan, selain membaca dan menghafaz al-Quran,” katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menguar-uarkan World #QuranHour kepada semua agensi di bawahnya termasuklah 89 masjid, 123 surau Jumaat, 612 surau dan 75 Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ).

    “Semua premis tersebut menekankan untuk mencintai al-Quran dan menjadikan ia sebagai asas dalam proses kemenjadian masyarakat,” katanya.

    Mohd Ajib

    Mohd Ajib

    Ditanya pandangan mengenai surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan pada program #QuranHour tahun ini, beliau berkata, ia membawa mesej penting untuk masyarakat bersujud, tunduk dan patuh kepada ALLAH SWT.

    “Kita perlu menjadi orang bertanggungjawab untuk melaksanakan semua yang disarankan oleh ALLAH SWT agar kita menjadi insan lebih baik.

    “Kemenjadian manusia mencapai kecemerlangan, ia bergantung kepada keizinan ALLAH yang Maha Mengetahui. Kadang-kadang kejayaan merupakan ujian, di mana hanya orang beriman yang memahami sifat kehambaan kepada ALLAH.

    “Kita perlu memberi gambaran kepada orang lain bahawa semakin baik hubungan kita dengan ALLAH, sebenarnya ALLAH semakin dekat dengan kita,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Mohd Ajib menyeru kepada semua rakyat terutama masyarakat Islam memahami peranan masing-masing dalam mendepani pelbagai cabaran serta ujian di luar pengetahuan seperti Covid-19 dan banjir di luar musim.

    “Umat Islam perlu kembali mengkaji dan meneliti apa yang berlaku dan menjadi al-Quran sebagai panduan. Apabila faham, kita akan menjadi lebih baik dan mengajak orang lain untuk berbuat kebaikan.

    “Pada masa sama, apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT dan manusia diminta untuk berusaha sebaik mungkin,” katanya.

    JAWI sebagai rakan sinergi World #QuranHour turut menyediakan lokasi dan kemudahan khemah untuk tetamu di dataran Kompleks Pusat Islam, berhampiran TV Alhijrah, 26 April ini.

    Sumber

  • Topik Dajal bakal dikupas dalam rancangan Al-Qariah pada malam ini

    Topik Dajal bakal dikupas dalam rancangan Al-Qariah pada malam ini

    PROGRAM bual bicara Al-Qariah yang bersiaran di stesen TV Alhijrah bakal memperincikan tentang topik penting berkenaan tanda besar hari kiamat iaitu kemunculan Dajal al-masih pada malam ini yang memasuki episod 5.

    Umat Islam mengetahui bahawa Dajal bakal menjajah dunia dan pemikiran manusia pada satu hari nanti. Bilakah hari dan masanya, semuanya rahsia ALLAH SWT.

    Bagaimanapun, cerita tentang Dajal banyak bercampur dengan sumber yang tidak diketahui sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim yang mahu mempelajari tentangnya.

    Justeru, Bahagian Kandungan TV Alhijrah dalam satu kenyataan kepada Sinar Islam berkata, topik berkenaan akan dikupas lanjut oleh dua panel terkemuka, Datuk Badli Shah Alaudin dan Dr Sukki Othman pada 7.30 malam ini menerusi program yang semakin mendapat perhatian ramai, Al-Qariah.

    Sebenarnya, persoalan tentang kewujudan Dajal memang terbukti ada. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah RA menceritakan tentang doa yang diamalkan oleh baginda setiap hari selepas solat.

    Doa dimaksudkan adalah: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung pada-MU daripada azab kubur, aku berlindung pada-MU daripada buruknya fitnah al-masih al-Dajal, daripada fitnah hidup dan mati. Ya ALLAH, aku berlindung pada-MU daripada dosa serta hutang yang sukar untuk dibayar.

    “Hadis itu secara jelas memberi kita bukti untuk tidak lagi menyangkal kewujudan Dajal al-masih. Perkataan Dajal itu sendiri sebenarnya membawa makna ‘menutupi’ atau ‘melindungi’ dari segi bahasa. Jadi, perumpamaan Dajal jika dijadikan frasa penuh membawa maksud ‘seorang yang menutupi atau melindungi kebenaran dan kebatilan’.

    “Kebolehan utama Dajal adalah mencantikkan perkara elok supaya manusia tertarik kepadanya dan menggunakan tipu dayanya.

    “Sifat manusianya pula agak unik kerana ada tanda-tanda tertentu yang hanya dimiliki oleh Dajal pada tubuh badannya. Dajal dikatakan mempunyai tiga huruf yang berbentuk perkataan kafir di antara dua matanya dan semua manusia Mukmin akan mampu membaca huruf tersebut walaupun dia seorang yang buta huruf.

    “Rambutnya dikhabarkan kerinting dan kasar. Matanya pula buta di sebelah kanan dan bukannya hanya bermata satu sepertimana yang sering disebarkan selama ini,” jelas kenyataan berkenaan sambil menambah, makhluk itu dikatakan boleh menyerupai seorang manusia berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

    Kemunculan Dajal juga akan memperdaya manusia sehingga ramai yang terpesong dan terpengaruh dengan dakyahnya. Bahkan, sebahagian manusia terpedaya dengan menganggapnya Tuhan.

    Untuk kupasan lanjut mengenai Dajal, jangan lupa saksikan menerusi rancangan Al-Qariah di TV Alhijrah.

    Program yang bermula 3 Januari lalu membicarakan tentang tanda-tanda besar hari kiamat selama 16 episod sehingga 17 April 2020.

    Selepas menonton rancangan berkenaan, usah lepaskan peluang untuk menyertai kuiz dan memenangi hadiah menarik yang ditawarkan pihak penganjur.

    Caranya mudah sahaja iaitu dengan mengumpulkan soalan yang disiarkan pada setiap penghujung rancangan dalam setiap episod.

    Jawapan daripada 16 episod itu kemudian dihantar kepada pihak penganjur beserta dengan butiran lanjut.

    Sumber

  • Nissan ibarat pepatah berkerat rotan, berpatah arang dengan Renault

    Nissan ibarat pepatah berkerat rotan, berpatah arang dengan Renault

    EKSEKUTIF Nissan membuat rancangan kontingensi untuk berpecah dengan Renault, dilihat bagi tujuan mempercepatkan penjualan saham pengeluar kereta Perancis itu.

    EKSEKUTIF Nissan membuat rancangan kontingensi untuk berpecah dengan Renault, dilihat bagi tujuan mempercepatkan penjualan saham pengeluar kereta Perancis itu.

    EKORAN susulan insiden bekas peneraju Nissan Motor Co, Carlos Ghosn yang ditangkap di Tokyo, Jepun akibat salah laku kewangan, Nissan kini dikatakan merancang untuk menamatkan perkongsian dan membubarkan kerjasamanya dengan Renault.

    Menurut laporan Financial Times (FT), Nissan merancang untuk memisahkan sepenuhnya unit kejuruteraan dan pembuatan daripada pengeluar kereta Perancis itu selain mengusulkan perubahan pucuk pimpinan Nissan yang baharu.

    Ghosn yang disifatkan ‘pelarian’ dari Jepun kini dianggap sebagai satu batu loncatan untuk Nissan mempercepat perancangan agenda menamatkan kerjasama itu, apatah lagi pergeseran antara kedua-dua pengeluar tersebut kini hebat diperkatakan oleh ramai pihak.

    Sementara itu dalam satu kenyataan berbeza, Nissan menafikan laporan yang mendakwa mereka mahu ‘bercerai’ daripada ‘pakatan’ Renault-Nissan.

    Namun, Nissan tidak mungkin akan berpisah dengan tiga gabungannya iaitu Renault-Nissan-Mitsubishi kerana ia merupakan sumber kekuatan Nissan untuk berdaya saing dalam pasaran global.

    Malah, ketuanya yang baharu (Renault-Nissan-Mitsubishi), Jean-Dominique Senard berkata, tiga pengeluar itu tidak akan sesekali mati dengan begitu mudah.

    Menurut sumber yang rapat dengan isu berkenaan, dakwaan Nissan yang mahukan perpisahan tersebut mungkin berpunca daripada sekumpulan pegawai yang tidak berpuas hati terhadap keadaan semasa.

    Eksekutif Nissan yang membuat rancangan kontingensi untuk berpecah dengan Renault itu didakwa ingin mempercepat penjualan saham pengeluar kereta Perancis tersebut.

    “Untuk membina kembali kepercayaan antara kedua-dua belah pihak mungkin akan mengambil masa dan tidak mudah,” kata Nissan seperti dipetik menerusi FT.

    Sumber

  • Masjid Albukhary lokasi utama World #QuranHour di Kedah

    Masjid Albukhary lokasi utama World #QuranHour di Kedah

    Masjid Albukhary, Jalan Langgar dipilih sebagai lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Kedah pada 26 April ini.

    Masjid Albukhary, Jalan Langgar dipilih sebagai lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Kedah pada 26 April ini.

    ALOR SETAR – Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini dipilih sebagai lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Kedah pada 26 April ini.

    Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, World #QuranHour di negeri ini diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU).

    Menurutnya, Rumah Ngaji turut bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam, Pertubuhan Bekas Guru dan Pelajar, Persatuan Muslimat Masjid Sultanah Bahiyah dan sekolah dalam menjayakan program itu.

    Saloni Mustaffa

    Saloni Mustaffa

    “Selain perbadanan perpustakaan, universiti, sekolah, antara pihak turut terlibat termasuklah beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

    “Program World #QuranHour sememangnya semakin mendapat perhatian masyarakat di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

    Saloni menyifatkan program berkenaan sudah menjadi kebiasaan ataupun norma serta dekat dengan masyarakat setempat.

    World #QuranHour yang bakal diadakan pada Selasa ini bersamaan 24 Ramadan 1443H membawa tema ‘Dunia Bersujud’ dan memilih surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan.

    Sumber