Category: ATTRACTION

  • Honda RS150R dapat sentuhan premium

    Honda RS150R dapat sentuhan premium

    SEMANGAT untuk memastikan perjalanan jauh lebih mantap daripada biasa, telah mendorong Boon Siew Honda membuka lembaran baharu tahun 2020 dengan penampilan terkini Honda RS150R.

    Rekaan Honda RS150R telah dipertingkatkan dengan gaya lebih sporty ditambah dengan sentuhan premium.

    Sekilas pandang, motosikal terbabit nampak lebih ranggi selaras dengan konsep fender belakang jentera dua roda yang telah direka semula bagi menampilkan lampu brek yang lebih runcing sekali gus mempertingkatkan visual secara keseluruhan.

    Selain rekaan yang menonjol, Honda RS150R memberi penekanan kepada keselesaan penunggang apabila mempertingkatkan panel meter LCD digital baharu yang berteknologi tinggi.

    Fungsi terbaharu itu bertujuan untuk memudahkan penunggang melihat dengan jelas, terang dan lengkap informasi pada panel berkenaan.

    Ciri tersebut dikatakan menyerlahkan lagi ‘perwatakan’ RS150R yang lebih memberi fokus dan keutamaan kepada penunggang.

    RS150R menawarkan warna Trico Honda termasuk warna hitam, biru dan edisi Repsol.

    Jentera terkini keluaran Boon Siew itu kekal dijana dengan enjin 149.2cc empat valve DOHC 6 kelajuan yang menghasilkan 11.5kW pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 6,500rpm.

    Varian dan harga seperti berikut:

    Standard (Trico, Black, Blue)

    RM 8,199

    Repsol

    RM 8,499

    Sumber

  • Promosi Malaysia destinasi pelancongan mesra Muslim

    Promosi Malaysia destinasi pelancongan mesra Muslim

    ISLAMIC Tourism Centre (ITC) merupakan rakan sinergi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam menjayakan World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 26 April ini di lokasi perdana, studio TV Alhijrah, Kuala Lumpur.

    Program kali ke-7 itu mengangkat surah al-Sajdah sebagai surah pilihan bertujuan mengikut model Rasullullah SAW, sekali gus memperlihatkan penglibatan ITC bertepatan dengan fokus penganjuran program berkenaan khususnya dalam bidang pelancongan Islam.

    Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Diana Aziz dengan Ketua Pengarah ITC, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan untuk mengupas dengan lebih lanjut penglibatan agensi itu dalam program World #QuranHour serta usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

    SINAR HARIAN: Apakah yang mencetuskan kolaborasi antara ITC dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menjayakan World #QuranHour?

    MOHMED RAZIP: Al-Quran itu benar dan jelas. Alhamdulillah, World #QuranHour mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri dan terbukti mampu menarik minat orang Islam dari dalam dan luar negara mendekati, memahami dan mencintai al-Quran.

    Mohmed Razip Hasan

    Mohmed Razip Hasan

    Selain dari kejayaan sebagai sebuah program berciri Islamik, World #QuranHour juga sebuah platform yang ideal untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi bagi pelancong Muslim ekoran topik diketengahkan bersifat universal sekali gus ditonton oleh masyarakat yang ingin tahu tentang Islam dengan lebih mendalam. Ini adalah bersesuaian dengan peranan ITC untuk mendukung pelancongan Islam, hospitaliti mesra muslim serta menjadi pusat rujukan dalam industri ini. Oleh itu, kolaborasi ITC dan WUIF adalah tepat dan strategik.

    Bagaimana pandangan Datuk mengenai penganjuran program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal?

    Konsep baca, faham dan amal yang dibawa World #QuranHour merupakan satu usaha gigih untuk membantu umat Islam menghayati dan memahami isi kandungan kitab al-Quran sebagai petunjuk dalam membuat keputusan dalam kehidupan seharian, sama ada berkaitan bidang pekerjaan ataupun peribadi.

    Sebagai penaja World #QuranHour, apakah harapan Datuk untuk memberi dan menerima manfaat daripada program tersebut?

    Selaku rakan strategik World #QuranHour, ITC berharap agar program ini dapat mendidik masyarakat untuk meluangkan masa walaupun sedikit bersama al-Quran. Dengan perkembangan teknologi, al-Quran kini dapat dimiliki dalam pelbagai saiz dan bentuk, fizikal atau digital, menjadikannya semakin mudah diakses.

    Dengan tema ‘Dunia Bersujud’ untuk membina “Dunia Berbudi dan Penyayang”, para peserta dari seluruh dunia berpeluang mendalami bait–bait Surah Al-Sajdah dan bermuhasabah diri, merenungkan sikap dan sifat yang boleh diperbaiki untuk membina dunia yang harmoni menerusi sikap saling menghormati antara satu sama lain.

    Secara langsung juga telah mendidik masyarakat untuk berdisiplin dari segi minda dan ciri-ciri penting apabila pergi melancong dan menghayati ciptaan ALLAH. Inilah transformasi yang ITC ingin lihat.

    Bagaimana pihak ITC membantu dalam menguar-uarkan World #QuranHour?

    Sebagai rakan sinergi kepada pihak penganjur, ITC mengambil peranan untuk menghebahkan acara ini kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan, pejabat kedutaan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur untuk dipanjangkan kepada rangkaian mereka.

    Begitu juga dengan pejabat promosi Tourism Malaysia (TM) luar negara di ASEAN, Asia Timur, Eropah, Asia Selatan, Australia, Amerika dan Asia Barat serta perwakilan Malaysia di luar negara, rakan-rakan industri pelancongan, dan pusat-pusat pengajian tinggi. Selain itu, ITC turut membuat hebahan kepada para pengikut laman media sosial rasmi kami di Instagram, Facebook, LinkedIn dan Twitter.

    Tahun ini, Misi #QuranHour membawa Surah al-Sajdah yang mengajak umat Islam untuk sujud dan patuh kepada ALLAH SWT. Bagaimana nilai tersebut boleh digarap dalam bidang pelancongan?

    Surah al-Sajdah membawa tiga mesej utama yang boleh dijadikan iktibar iaitu keyakinan terhadap iman, bersujud kepada ALLAH dan menerapkan sifat merendah diri serta menghindari sombong. Sebagai umat Islam, kita perlulah yakin dengan kekuasaan ALLAH, tidak kira kesusahan yang menimpa. Apabila dikurniakan kesembuhan atau kebaikan, kita harus bersyukur dan mengelak dari bersifat sombong dengan memandang rendah orang lain yang dalam kesusahan.

    Mesej Surah al-Sajdah amat sesuai diamalkan di dalam konteks pembangunan industri pelancongan tanpa mempertimbangkan kemampanan alam sekitar, seni dan budaya setempat yang boleh membinasakan bumi ciptaan ALLAH. Sekiranya pembangunan ini dijalankan dengan sifat angkuh tanpa perancangan strategik untuk keuntungan bersifat sementara, keindahan yang dinikmati pada hari ini akan hilang dan tidak akan dapat dirasai oleh generasi akan datang.

    Apakah perancangan pihak ITC dalam kolaborasi bersama WUIF untuk program akan datang?

    Beberapa kolaborasi antara WUIF dan ITC sedang diusahakan untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan Islam di Malaysia, antaranya bengkel pelancongan dari perspektif al-Quran dan memperkenalkan lagi World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention sebagai acara yang mampu menarik perhatian umum dan para pelancong Islam ke Malaysia.

    Apakah maklum balas diterima oleh rakan sinergi dalam menjayakan program #QuranHour sebelum ini dan sekarang?

    Maklum balas yang diterima oleh rakan sinergi ITC untuk World #QuranHour amat positif. Rata-rata mereka tertarik dengan konsep World #QuranHour yang mampu menyatukan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang, ideologi, fahaman politik mahupun ras etnik.

    Apakah fokus ITC dalam mengungguli dunia pelancongan Islam?

    Malaysia telah disenarai pada kedudukan pertama dalam senarai negara yang menyokong ekonomi Islam global bernilai trilion dolar termasuk sektor Pelancongan Mesra Muslim (MFT) berdasarkan Laporan Ekonomi Negara Islam Global (SGIE) 2022 yang dikeluarkan firma antarabangsa kajian strategik DinarStandard, dengan kerjasama Salaam Gateway dan disokong oleh The Department of Economy and Tourism Dubai.

    ITC cenderung untuk meneruskan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara dengan ekosistem pelancongan Islam terbaik yang menjadi destinasi pilihan para pelancong beragama Islam..

    Saranan dan panduan Datuk kepada orang ramai yang kini teruja untuk melancong di dalam dan luar negara pada fasa endemik ini.

    Bagi yang sudah bersedia untuk melancong disaran buat kajian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti sebelum berlepas, ketika berada destinasi dan setelah tiba di tempat tinggal masing-masing.

    Sumber

  • ‘Lagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah

    ‘Lagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah

    USTAZ MUADZEEN antara insan terpilih yang dikurniakan kebolehan untuk 'melagukan' al-Quran dengan taranum yang indah.

    USTAZ MUADZEEN antara insan terpilih yang dikurniakan kebolehan untuk ‘melagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah.

    MEMBACA al-Quran dapat menenangkan jiwa kita. Masakan tidak, kalam ALLAH itu kitab suci yang mulia, mengandungi perkara benar dan rahmat yang besar.

    Bait-bait kalamullah itu sudah sedia indah, namun apabila kita melagukan dengan taranum, bertambah cantik lagi lontaran bacaan kita.

    Begitupun, usah sesekali cemari bacaan itu dengan melakukan kesilapan teknikal seperti salah tajwid dan seumpamanya.

    Demikian antara perkongsian qari, Ustaz Muadzeen Ackil dan qariah, Ustazah Lailasari Sabran ketika ditemui Sinar Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kedua-dua insan hebat itu cukup bertuah kerana dikurniakan kebolehan untuk ‘melagukan’ al-Quran dengan taranum yang indah.

    Sinopsis kisah mereka akan disiarkan dalam sisipan Sinar Islam esok.

    Sumber

  • Guru menang Win the Icon anjuran Volkswagen

    Guru menang Win the Icon anjuran Volkswagen

    




MUHAMAD Rizal bersama Volkswagen Beetle yang dimenanginya baru-baru ini.

    MUHAMAD Rizal bersama Volkswagen Beetle yang dimenanginya baru-baru ini.

    SELEPAS pencarian selama dua bulan, pertandingan Win the Icon berakhir apabila guru berusia 28 tahun, Muhamad Rizal Sadiman dinobatkan sebagai pemenang.

    Muhamad Rizal yang berasal dari Perak membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Volkswagen Beetle 1.2TSI.

    Peraduan yang berlangsung pada 1 Oktober hingga 30 November 2019 itu menerima 800 penyertaan berupa foto dan video.

    Para peserta yang menyertai pertandingan tersebut perlu melakukan sesi pandu uji model Volkswagen kegemaran dan mendokumentasikan pengalaman masing-masing.

    Penyertaan disertakan kapsyen paling kreatif dengan hashtag #BetterExperiencedThanExplained akan dipilih sebagai pemenang.

    Rizal yang berkesempatan memandu uji model Polo dan Tiguan berkata, Volkswagen telah memberikan pengalaman sebenar dalam pemanduan yang sukar untuk dijelaskan.

    “Keselamatan menjadi keutamaan buat saya memandangkan saya pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya dua tahun lepas akibat kegagalan pada sistem brek.

    “Menerusi video yang saya muat naik sebagai syarat penyertaan, saya menunjukkan prestasi Tiguan ketika jentera tersebut melakukan brek kecemasan dan saya benar-benar kagum dengan keupayaannya.

    “Sementara Polo pula menjadi salah satu kenderaan kegemaran kami sekeluarga,” ujar Rizal.

    Sumber

  • Rebut peluang sertai World #QuranHour secara bersemuka

    Rebut peluang sertai World #QuranHour secara bersemuka

    Adnan (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin, Salim Mydin Mohamed (kanan) mempromosikan World #QuranHour yang akan diadakan di Mydin Tunjong pada 26 April ini.

    Adnan (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin, Salim Mydin Mohamed (kanan) mempromosikan World #QuranHour yang akan diadakan di Mydin Tunjong pada 26 April ini.

    KOTA BHARU – Rakyat Kelantan diajak untuk merebut peluang menyertai program World #QuranHour secara bersemuka pada 26 April ini.

    Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim berkata, kesempatan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana program tersebut jatuh pada 10 terakhir Ramadan yang kaya penuh dengan berkat.

    “Program ini akan berlangsung di Mydin Tunjong. Kami menyasarkan lebih 500 peserta akan menyertai program ini yang terdiri daripada pengunjung pasar raya tersebut.

    “Setelah dua tahun diadakan secara dalam talian disebabkan Covid-19, ini merupakan kali pertama ia diadakan secara bersemuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

    Katanya, jika sebelum ini, acara World #QuranHour ini hanya berlangsung di masjid-masjid sahaja.

    Beliau berkata, ia secara langsung membuka lembaran baharu sekali gus dapat menarik lebih ramai untuk hadir ke program berkenaan.

    Menurutnya, penganjuran kali ini yang bertemakan ‘Dunia Bersujud’ diyakini mampu tampil lebih hebat sekali gus memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

    “Orang ramai diharap dapat menggunakan peluang ini sebaiknya sebagai membuktikan tanda insaf kepada ALLAH dengan ujian Covid-19 dan banjir luar biasa yang telah berlaku.

    “Sesungguhnya dengan ujian-ujian lepas yang dikategorikan sebagai azab kecil memerintahkan manusia menerusi firman-Nya di Ayat 21 Surah As-Sajdah,” katanya.


    Sumber

  • Belajar taranum al-Quran bukan ikut musim

    Belajar taranum al-Quran bukan ikut musim

    KALAM ALLAH SWT memang sudah sedia indah. Jika dibaca dalam ‘lagu’ yang cukup menenangkan, ia menerbitkan halwa telinga yang sedap didengar. Malah, ia mampu menghidupkan hati dan mendidik rohani manusia.

    Ditambah pula dengan kelunakan suara seorang qari atau qariah mengalunkan kalamullah. Hati sesiapa pun akan tersentuh tatkala mendengarnya. Jiwa pula seolah-olah terbuai dengan bait-bait keindahan lantunan taranum ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh mereka.

    Meskipun ramai yang lancar ketika membaca al-Quran, namun bukan semua orang dianugerahkan kebolehan untuk mengalunkan taranum.

    Begitupun, ALLAH SWT mengurniakan bakat itu kepada dua insan terpilih yang ditemui Sinar Islam pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu kota baru-baru ini.

    Mereka ialah johan qari majlis tilawah berkenaan, Ustaz Muadzeen Ackil dan johan qariah, Ustazah Lailasari Sabran.

    Kedua-dua mereka bakal berentap mewakili Wilayah Persekutuan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi yang dijadualkan berlangsung sekitar 13 hingga 21 Februari ini di Kota Kinabalu, Sabah.

    Ujar kedua-dua insan hebat itu, bergelar qari dan qariah bukan tugas mudah. Mereka bukan sahaja perlu pandai bertaranum dengan alunan lagu yang sedap dan berstruktur, tetapi juga wajib menjaga dari segi bacaan mereka terutama tajwid, fasahah dan suara.

    Kepada Sinar Islam, dua insan yang elok budi pekerti itu senada dengan berkata: “Ini adalah kalam ALLAH dan ilmu-NYA, ia perlu dijaga dengan sebaiknya. Jadi, mohonlah kepada ALLAH agar diberi kemudahan kepada kita setiap kali ingin mengalunkan ayat suci al-Quran.”

    Dengar kaset

    Rentak bicara dimulakan dengan Ustazah Lailasari, 56. Ujar beliau, sebelum menyertai musabaqah, wanita itu akan melazimi dirinya untuk menunaikan solat hajat dan solat sunat taubat memohon kepada ALLAH agar memudahkannya untuk bertaranum.

    USTAZAH LAILASARI

    USTAZAH LAILASARI

    “Sebelum naik ke pentas, perlu tenangkan diri. Minum air dan makan gula-gula untuk membuka ruang-ruang suara,” ujar beliau sambil menambah yang dirinya akan mengelak untuk makan buah kegemaran, durian apabila menghampiri pertandingan.

    Akui guru di Sekolah Rendah Agama Al-Bukhari Segambut Dalam di Kuala Lumpur itu, beliau begitu meminati taranum al-Quran sejak kecil lagi. Namun, beliau hanya berpeluang untuk mempelajarinya secara formal selepas usianya menginjak 40-an.

    “Pada zaman 1970-an, tiada kemudahan (guru taranum) seperti hari ini. Tambahan pula, saya duduk di kampung dan tiada pendedahan sangat mengenai perkara itu. Saya kerap mendengar kaset-kaset qari mengalunkan ayat suci al-Quran dan mengumpul berkotak-kotak kaset berkenaan. Setiap kali hendak memasak atau buat kerja apa pun, saya akan pasang kaset itu.

    “Apabila saya berpindah ke ibu kota, barulah saya berpeluang untuk mempelajari dan mengikuti kelas taranum oleh agamawan yang mahir dalam bidang ini seperti Ustaz Nik Azizan Al-Farisi.

    “Sehingga ke hari ini, saya masih lagi belajar dengan agamawan yang lain. Ya, ilmu ini tak (akan) habis (sampai bila-bila). Saya sedar, ada banyak kelemahan lagi yang perlu dibaiki untuk menambah mutu pembacaan saya,” terang beliau.

    Berkongsi pengalamannya mempelajari taranum pada usia yang agak lanjut, Ustazah Lailasari bersyukur usahanya telah dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

    “Disebabkan taranum itu adalah minat saya, jadi tidaklah susah sangat untuk mempelajarinya. Tambahan pula, banyak kaset-kaset yang mengalunkan bacaan al-Quran saya dengari saban hari. Syukur alhamdulillah ALLAH SWT beri keberkatan ilmu yang saya pelajari.

    quot;Saya juga menyertai banyak musabaqah tilawah al-Quran. Walaupun hanya dapat tempat saguhati, tetapi saya tidak berputus-asa mencubanya kerana menganggap ia sebagai proses pembelajaran saya,” tambah beliau.

    Sebagai individu yang dekat dengan al-Quran, Ustazah Lailasari sering mengamalkan sayyidul istighfar dalam kehidupannya seharian.

    “Hendakkan beroleh kejayaan, kita perlu pelbanyakkan istighfar, barulah ALLAH berikan apa yang diminta,” jelas beliau yang mengajar al-Quran dari rumah ke rumah dan secara individu.

    Kuasai tajwid, fasahah

    Apa yang direntas oleh Ustazah Lailasari turut sama dilalui oleh Ustaz Muadzeen, 54. Cuma Imam Ratib di Masjid Muadz bin Jabal itu cukup bertuah apabila berpeluang mempelajari ilmu taranum sejak darjah satu lagi.

    USTAZ MUADZEEN

    USTAZ MUADZEEN

    “Ilmu taranum telah diperkenalkan oleh arwah bapa saya. Beliau seorang bilal masjid dan pandai mengaji al-Quran. Sejak kecil lagi, saya memang sudah meminati dan cenderung ke arah al-Quran. Kemudian, saya melanjutkan pengajian taranum di peringkat menengah di Pondok Pesantren, Indonesia.

    “Apabila pulang ke Malaysia, saya sambung talaqi dan musyafahah dengan guru yang bersanad seperti Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari dan lain-lain. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi berguru dengan yang mahir dalam bidang ini. Hendak baca al-Quran kena bertalaqi bukan sekadar hanya ingin masuk pertandingan tilawah sahaja, tetapi banyak sebenarnya yang kita perlu pelajari dalam seni taranum dan pembacaan al-Quran,” jelas beliau.

    Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu turut menguasai tujuh jenis taranum iaitu bayati, hijaz, soba, nahwand, rast, sikah dan jiharkah yang lazimnya digunakan oleh qari di seluruh dunia.

    “Pokok pangkalnya, jika ingin mempelajari taranum, perlu menguasai dahulu tajwid, tahsin, fasahah dan suara dengan taranum (lagu). Semua itu akan diaplikasikan dalam bacaan kita. Bukan apa, kita tidak mahu lagu saja sedap, tetapi tajwid dan fasahah pula ‘lari’.

    “Apa pun, kita kena ingat bahawa membaca al-Quran mestilah secara tartil (bacaan perlahan, tenang dan melafazkan setiap huruf dengan makhraj yang tepat). Dalam mana-mana pertandingan tilawah pun, elemen-elemen itu akan diambil kira,” ujar beliau yang turut mengendalikan kelas talaqi al-Quran di Masjid Muadz bin Jabal.

    Sepertimana resam seorang qari menjaga pemakanan demi memelihara kelunakan suara, begitulah yang diamalkan oleh Ustaz Muadzeen. Sejak dulu lagi, beliau tidak minum minuman berais atau air daripada peti sejuk.

    “Begitu juga dengan makanan. Saya akan makan makanan yang telah dipanaskan (jika ia baru dikeluarkan daripada peti sejuk) dan elakkan makanan berminyak kecuali apabila bertugas menjadi jurunikah pada majlis perkahwinan. Namun, sebolehnya saya akan elakkan,” katanya yang turut mengamalkan pengambilan satu sudu madu dengan air suam selepas bangun daripada tidur.

    Akhlak al-Quran

    Lebih empat dekad mendalami ilmu taranum al-Quran, hidup Ustaz Muadzeen terasa seolah-olah tidak lengkap jika sehari tidak membaca atau mendengar kalam ALLAH berkumandang.

    Jelas, filosofi suci beliau ialah ‘tiada hari tanpa al-Quran.’

    Sesibuk mana pun, bapa kepada seorang cahaya mata itu akan memperuntukkan masanya untuk mendengar bacaan tokoh qari terkenal, Sheikh Mustafa Ismail.

    “Kelazatan al-Quran ini apabila kita zauq (rasa) iaitu tahu hukum, makhraj, sifat dan taranum. Apabila kita membacanya, terasa bertambah nikmatnya. Sambil mengajar talaqi di masjid, saya akan turut sama membacanya. Apabila di dalam kenderaan, saya juga akan dengarkan bacaan ayat suci al-Quran,” terang beliau.

    USTAZ MUADZEEN (depan, tiga dari kiri) mengiuti majlis khatam al-Quran kelas talaqi al-Muadzinin di ibu kota tahun lalu.

    USTAZ MUADZEEN (depan, tiga dari kiri) mengiuti majlis khatam al-Quran kelas talaqi al-Muadzinin di ibu kota tahun lalu.

    Kepada satu soalan, Ustaz Muadzeen berkata: “Sebagai ahli al-Quran, banyak perkara yang perlu dijaga. Bukan sekadar al-Quran sahaja, tetapi juga tingkah laku kita.Tambahan pula, saya begitu ‘dekat’ dengan masjid, maka lebih ramailah orang perhatikan kita. Jadi, cara berpakaian, pergaulan dan imej kita, semuanya perlu dijaga. Namun, percayalah dengan adanya al-Quran, kalam ALLAH itu akan membimbing kita dan menjadi benteng untuk memelihara diri.”

    Beliau turut menitipkan pesanan buat anak muda yang ingin berjinak-jinak dengan seni taranum al-Quran. Nasihat beliau, berjumpalah dengan guru untuk mempelajari talaqi bagi mendalami ilmu berkenaan.

    “Seperkara lagi, jangan hanya pelajarinya ketika musim musabaqah tilawah saja kerana ia bukan mengikut musim. Ketahuilah bahawa mempelajari cabang ilmu ini memerlukan minat. Paling penting adalah istiqamah dan belajar dengan guru yang bersanad,” pesan beliau.

    Baik Ustaz Muadzin mahupun Ustazah Lailasari, kedua-dua insan itu membulatkan tekad untuk menyebar luaskan ilmu milik ALLAH SWT itu supaya lebih ramai akan menerima manfaatnya.

    ‘Biarpun 1,000 kali dibaca, kita tak akan jemu’

    Umat Islam berada dalam kealpaan sebenarnya andai mukjizat terbesar Rasulullah SAW hanya dibiarkan tidak terusik di rumah kita sehingga berdebu dan berhabuk.

    Kitab suci al-Quran tidak sewajarnya hanya menjadi sebahagian perhiasan rumah atau diletakkan bagi mengisi bahagian rak-rak buku kita, sebaliknya ia merupakan wahyu ALLAH yang perlu kita dalami tanpa henti ilmunya, sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

    Rasulullah SAW tidak meninggalkan umatnya tanpa sebarang pedoman kerana al-Quran adalah cahaya terang yang bersinar sepanjang zaman dan akan sentiasa dapat dibaca serta dihayati sejak dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

    Disebabkan itulah kalam ALLAH iaitu al-Quran menjadi mukjizat terbesar berbanding dengan yang lain, demikian kata Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Abd Rauf Hassan.

    ABD RAUF

    ABD RAUF

    Jelas Abd Rauf, kalamullah itu akan berkekalan sehingga ke akhir zaman sepertimana yang dijanjikan ALLAH SWT.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan KAMILAH yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

    Biarpun 1,000 kali al-Quran dibaca, tambah beliau, kita tidak akan pernah berasa jemu dengannya.

    “Begitulah kemuliaan kalam ALLAH ini. Berbanding kita baca ayat dalam surat ataupun akhbar secara berulang-ulang, kita rasa ia seolah-olah sama saja. Namun, apabila membaca ayat ALLAH, tidak terdetik rasa sebegitu.

    “Umpamanya, kita membaca Surah al-Fatihah sejak berusia lima tahun dan hingga umur kita 80 tahun pun, kita masih tetap membacanya tanpa jemu. Inilah satu kemuliaan yang ALLAH SWT berikan supaya kita dapat merasakan itulah mukjizat sebenarnya. Bahkan, al-Quran itu dijadikan sebagai panduan untuk kehidupan kita bagi memberikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” kata beliau ketika ditemui Sinar Islam selepas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Dalam pada itu, jelas Abd Rauf, ada beberapa adab yang perlu dipelihara ketika membaca al-Quran. Ia termasuklah sebelum, semasa dan selepas membaca kalam ALLAH tersebut. Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang kadangkala alpa memegang al-Quran tanpa berwuduk, sedangkan, ia merupakan perkara asas.

    “Bagi orang yang menjual al-Quran, mengemas atau mengangkat al-Quran tanpa wuduk, tindakan itu sebenarnya kurang beradab. Selain itu, bukan sembarangan tempat boleh kita membaca kalamullah ini. Jangan sesekali membacanya di tepi longkang, tepi pasar atau di tempat riuh-rendah.

    “Sebaiknya, bacalah (al-Quran) di tempat-tempat yang tenang dan suci serta bersih. Bacalah dalam keadaan kita menutup aurat dan menghadap kiblat,” ujar beliau.

    Apabila membacanya pula, jelas ahli akademik itu, hayatilah dengan khusyuk dan jangan ada sebarang gangguan. Ini kerana, membaca al-Quran itu ibarat kita bertawasul iaitu berkomunikasi dengan ALLAH.

    “Ingatlah bahawa apa yang kita baca itu adalah kata-kata ALLAH. Seperkara lagi, apabila telah selesai membacanya, letakkan al-Quran di tempat yang sepatutnya dan tinggi. Jangan letak di hujung kaki katil,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

    Sumber

  • ‘Rekaan Katana tambat hati saya’

    ‘Rekaan Katana tambat hati saya’

    DALAM dunia ini, ada kepelbagaian manusia yang mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza. Sesetengah individu yang meminati lukisan sanggup membeli sebotol warna akrilik pada harga ratusan ringgit demi memastikan kanvas kosong berubah menjadi calitan seni yang memukau.

    Terdapat juga individu yang sanggup mengembara ke Tunisia dan Bosnia Herzegovina semata-mata mahu membeli peta kuno sebagai memenuhi minatnya menyimpan peta setiap negara.

    Tidak kurang juga mereka yang obses dengan kenderaan. Bagi memenuhi selera luar biasa, pelaburan wang yang tinggi bukan satu masalah yang mengusutkan kepala.

    Hal itu dibuktikan oleh seorang ahli perniagaan yang juga seorang mekanik motosikal, Mohd Asri Ramli, 46.

    Kegilaannya terhadap jentera retro mendorong beliau membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk memiliki sembilan unit Suzuki Katana pelbagai model.

    SUZUKI Katana

    SUZUKI Katana

    Berdasarkan rekod, harga setiap unit motosikal berkenaan mencecah lebih RM60,000.

    Pemburu jentera retro itu memberitahu Sinar Turbo, bukan sekadar membeli motosikal semata-mata, malah beliau akan memastikan semua jenteranya dilengkapi aksesori berkaitan yang biasanya tidak mudah diperoleh di Malaysia.

    “Sebenarnya kalau diizinkan, saya mahu menghidupkan dunia sukan permotoran retro di negara ini kerana saya percaya ramai yang berminat dengan motosikal segmen lama ini,” katanya membuka bicara.

    Sebelum pergi jauh, Sinar Turbo bertanya kepadanya, apa menariknya Katana pada matanya?

    Seperti sudah menelah persoalan yang ingin dilontarkan, Mohd Asri atau dikenali sebagai Arrie Retro menerangkan kepada penulis mengenai historiografi Suzuki Katana terlebih dahulu.

    Katanya, Katana ialah salah satu senjata Jepun. “Ia berupa pedang panjang yang mesti digenggam dengan dua belah tangan dan cukup tajam dan sifat itu diterjemahkan pada motosikal Suzuki Katana,” katannya.

    Dari tahun ke tahun, Arrie berkata, rekaan jentera Katana semakin ‘mengancam’.

    

BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

    BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

    “Namun apa yang boleh saya katakan, ia (rekaan) mampu menambat hati sesiapa sahaja termasuk saya. Itu sebab saya terus jatuh hati dan tak lokek mengeluarkan belanja besar untuk memiliki setiap keluaran baharu motosikal ini,” katanya berterus terang.

    Bercerita lanjut, lelaki itu berkata, setiap model yang tampil di pasaran cukup unik kerana menggabungkan ciri-ciri estetik, ergonomik dan aerodinamik yang didambakan oleh peminat jentera retro.

    “Sekitar tahun 1990-an, ramai penunggang dan peminat motosikal berkuasa tinggi memilih model seperti Cagiva atau Aprilia, namun saya pula sebaliknya. Saya tetap dengan ‘pendirian’ untuk terus setia dengan variasi Suzuki Katana, ” kata bapa kepada enam zuriat itu.

    

TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

    TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

    Arrie memberitahu, pembelian pertama model itu dilakukannya pada tahun 1999.Kemudian, ia terus mendorong dirinya mengumpul variasi lain motosikal jenis sama.

    Dengan nada ceria, beliau berkata:”Setiap kali saya melihat deretan Suzuki Katana 250cc, 400cc, 650cc, 750cc dan 1,100cc yang diatur sempurna di depan kedai milik saya, perasaan saya terus gembira dan puas hati yang teramat sangat.”

    Minat yang sangat mendalam ahli perniagaan itu terhadap dunia pemotoran retro diterjemahkannya dengan membuka sebuah kedai atau pusat sehenti yang diberi nama Retro Station.

    Retro Station

    Retro Station antara lain menawarkan bengkel membaik pulih motosikal, menjual alat ganti motosikal, mengecat motosikal, penjualan aksesori dan perkhidmatan lain yang mana kesemuanya berkonsepkan retro.

    Bukan satu tetapi beliau membuka dua premis. Masing-masing di Masjid Tanah, Melaka yang telah beroperasi sekitar tahun 2009 dan satu lagi cawangan di Taman Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur.

    Perbualan rancak Sinar Turbo bersamanya membuatkan penulis memberanikan diri bertanyakan tentang cabaran besar menjadi pengumpul jentera retro sepertinya yang sudah pasti kos yang dikeluarkan barangkali lebih mahal daripada membeli sebuah kereta Kancil.

    

SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

    SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

    Sambil merenung penulis, Arrie berkata, beliau tidak menafikan pernyataan itu.

    “Saya akui, harga barangan atau alat ganti kenderaan retro memang tinggi dan sedikit sebanyak bikin peminatnya rasa ‘sesak’ sedikit.

    “Justeru, nasihat saya kepada mereka yang sudah berjinak ataupun sedang menjinakkan diri agar mengukur kemampuan sendiri. Ubah suai motosikal memang perlukan jiwa dan mental yang kental terutama membabitkan wang.

    “Namun, bagi saya, tidak perlu terlalu bergantung pada alat ganti baharu atau tulen semata-mata, perkara paling penting adalah menghidupkan kembali ‘bangkai’ ke jalan raya,” katanya.

    

GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

    GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

    Beliau yang sememangnya dikenali sebagai pemilik Suzuki Katana dalam kalangan geng jentera retro berkata, kadangkala beliau berdepan dengan perasaan serba salah. Mengapa?

    Masakan tidak, ada dalam kalangan kenalan termasuk yang tidak dikenalinya menyatakan hasrat untuk membeli Suzuki Katana miliknya pada harga yang jauh lebih tinggi.

    Pun demikian, Arrie berkata, beliau terpaksa menolaknya kerana amat menyayangi koleksi peribadinya itu.

    “Ada rakan saya anggap saya gila kerana masih menyimpan motosikal itu walaupun pulangannya memang lumayan jika dijual. Biarpun bernilai tinggi, namun wang ringgit bukan segala-galanya. Sepanjang lebih 20 tahun mengumpul koleksi model ini, saya rasa satu kepuasan dan semua orang tak mampu faham sebenarnya, ” katanya merendah diri.

    Jangan tidak percaya, selain motosikal Suzuki Katana, lelaki penuh karisma itu juga memiliki pelbagai lagi aksesori jentera dua roda asli seperti jaket, sut perlumbaan keluaran tahun 1996 dan topi keledar yang mencapai nilai harga RM10,000 sebuah.

    Secara keseluruhan, Arrie memiliki hampir 100 buah jentera retro pelbagai jenama dan varian sepanjang penglibatannya.

    Kepada Sinar Turbo, beliau berkata, pihaknya kini aktif menganjurkan pelbagai perhimpunan motosikal retro seluruh Malaysia. Antara program yang paling mendapat sambutan ialah Santai Retro PD yang dianjurkan pada tahun 2012.

    TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

    TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

    “Kini, ia menjadi acara wajib tahunan setiap pertengahan tahun di Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebenarnya, pelbagai program telah dirancang rapi dan sehingga kini saya memfokuskan pada dunia pemotoran tanah air termasuklah pembabitan dalam program Bike Week.

    “Apa saja program yang memerlukan kehadiran saya, saya akan beri sokongan penuh termasuk jika diajak menjelajah ke seluruh Malaysia. Minat saya ini sukar digambarkan dengan kata-kata,” tuturnya.

    ERA kewujudan Katana

    1980: Model konsep Katana 550 dan 1100 diperkenalkan di Cologne, Jerman.

    1981: Suzuki GS550 dan GSX1100S Katana dikeluarkan. Kemudian diikuti dengan GSX750S dan GS650G. Semuanya dinamakan Katana.

    1982: Suzuki memperkenalkan XN85 Turbo. Seperti namanya, ia memang dilengkapi pengecas turbo. Walaupun tidak dilabel sebagai Katana tetapi ia mempunyai ciri yang hampir sama dengan Katana.

    1984: Lampu pop-up yang terkenal ditambah pada Katana GSX750S.

    1985: Katana GSX1100S dihentikan untuk pasaran Eropah bagi memberi laluan kepada GSX-R yang baharu, namun ia masih dipasarkan di Jepun kerana mendapat permintaan yang tinggi.

    1991: GSX250S diperkenalkan sebagai Katana yang paling kecil.

    1992: Suzuki memperkenalkan GSX400S Katana. Sayangnya, kedua-dua model 250cc dan 400cc itu bertahan hingga tahun 1994 sahaja.

    2001: Pengakhiran sejarah Katana yang panjang. Walaupun ada produk lain yang menggunakan nama Katana sehingga tahun 2008, namun ia sudah kehilangan beberapa ciri asal Katana, khususnya rekaan fairing dan warna perak gelap.

    Sumber

  • Hayati makna Ramadan menerusi amalan membaca

    Hayati makna Ramadan menerusi amalan membaca

    Pelajar KKSY sedang membaca buku selama 10 minit semasa Jom Baca @ KKSY 2022 sedang berlangsung. - Foto  KKSY

    Pelajar KKSY sedang membaca buku selama 10 minit semasa Jom Baca @ KKSY 2022 sedang berlangsung. – Foto KKSY

    SELAYANG – Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menganjurkan program Jom Baca sebagai satu inisiatif agar budaya membaca akan dapat diteruskan dan disuburkan dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan kakitangannya.

    Pegawai Perhubungan Awam KKSY, Nur Izzati Ismail berkata, program berkenaan turut mengundang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengulas bukunya berjudul Ramadhan al-Mubarak: Fadhilat dan Hukum Puasa bersama-sama pelajar dan kakitangan KSSY.

    Menurutnya, program tersebut diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun, baru-baru ini.

    Tambahnya, ia turut dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dan tempoh 10 minit yang diambil untuk membaca, selain memberi peluang kepada warga KKSY dalam menghayati bulan Ramadan dengan lebih mendalam dengan ulasan yang diberi oleh Zulkifli.

    Mohd Ruzi (tengah) bersama pelajar sempena program Jom Baca @ KKSY 2022. - Foto KKSY

    Mohd Ruzi (tengah) bersama pelajar sempena program Jom Baca @ KKSY 2022. – Foto KKSY

    “Tema yang diangkat bagi penganjuran kali ini adalah #bangkitbaca #bersyukur, selari dengan senario Malaysia dalam fasa peralihan endemik, yang mana semua keluarga Malaysia perlu bangkit dari segi ekonomi malah dalam ilmu dan pembacaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Dalam pada itu, Nur Izzati berkata, KKSY #Quran Hour 2022 turut dijalankan serentak dengan program tersebut bersempena dengan World#Quran Hour 2022 yang akan dijalankan di peringkat dunia pada 24 Ramadhan 1443H pada Selasa depan bertemakan Berinteraksi dengan Al-Quran: Menuju Dunia Berbudi dan Penyayang.

    Pelajar KKSY membaca surah Al Sajdah sempena Quran Hour KKSY 2022. - Foto KKSY

    Pelajar KKSY membaca surah Al Sajdah sempena Quran Hour KKSY 2022. – Foto KKSY

    Turut hadir pada program ini, Pengarah KKSY, Mohd Ruzi Hamzah dan Timbalan Pengarah Akademik KKSY, Rahayu Mokhtar.

    Sumber

  • ‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

    ‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

    KEPERCAYAAN khurafat dalam kehidupan manusia seakan sudah sebati dan sukar untuk dipisahkan. Sebenarnya, ‘penyakit’ itu bukan sahaja melanda dalam kalangan masyarakat Melayu, malah rata-rata agama dan bangsa di dunia.

    Menyingkap mengenai perihal khurafat, ia mempunyai dua unsur utama iaitu musibah atau bala dan tuah atau nasib yang baik.

    Sebagai contoh yang paling klise bagi orang Melayu iaitu sesiapa yang memotong kuku pada waktu malam, akan mewarisi kepapaan. Begitu juga kepercayaan ‘ibu duit’ yang dikenal pasti boleh melariskan perniagaan.

    Jikalau diimbau sejarah zaman jahiliah, kepercayaan khurafat memang sudah tertanam dalam minda masyarakat Arab. Terlalu banyak ‘teori’ yang direka dan pastinya semuanya mengarut belaka. Peliknya, perkara-perkara seumpama itu masih ‘diwarisi’ oleh sesetengah masyarakat pada zaman moden kini.

    Antara salah satu yang masih dipercayai orang Arab adalah mengenai bulan Safar yang dikatakan sebagai satu lambang nasib yang tidak baik. Anak perempuan yang dilahirkan pada bulan tersebut dikatakan membawa bahana dalam keluarga dan bermacam-macam lagilah anggapan yang songsang.

    Sesungguhnya, kedatangan Islam di dunia Arab telah membawa seribu rahmat.

    Islam dengan jelas mendidik dan membawa mereka melaksanakan apa sahaja berpandukan cahaya wahyu ILAHI, lantas menyisih segala kepercayaan khurafat yang tidak berasaskan panduan syariah.

    Islam juga merupakan agama yang sangat menitik beratkan soal akidah yang mana segala perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau ghaib tidak boleh direka cipta. Segalanya mestilah berpandukan al-Quran dan sunah.

    Anggapan tidak munasabah

    Dalam komentar kali ini, saya ingin mengulas tentang kepercayaan orang Melayu mengenai ‘bunyi cicak’ yang dikatakan mengiakan percakapan seseorang.

    Saya berpendapat, ramai yang berdepan dengan situasi yang mana sedang kita bercakap dalam hati, tiba-tiba cicak mengeluarkan bunyi seolah-olah merestui apa yang diniatkan.

    Lebih teruk lagi, tatkala kita sedang berdoa seusai solat. Bunyi-bunyian yang dikeluarkan haiwan itu sememangnya mengganggu tumpuan kita. Begitu juga jikalau seorang mak dan nenek sedang berleter memarahi anak-anak. Apabila cicak bersuara, mereka antara lain akan berkata: “Hah, betul apa aku cakap, cicak pun setuju.”

    Sebenarnya, mitos tentang cicak tidak boleh dibuktikan dengan ilmu nyata seperti dalam kajian saintifik. Justeru, ia termasuk dalam kategori yang luar daripada logik manusia yang mana ia melibatkan perkara ghaib. Hal-hal seperti sedemikian tidak diketahui melainkan hanya ALLAH SWT.

    Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh ALLAH) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188)

    Ayat suci itu memberi kesimpulan bahawa segala benda sama ada memberi faedah atau kemudaratan bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH. Segala mitos ghaib yang wujud memerlukan pembuktian yang nyata berdasarkan wahyu ALLAH dan kalam Nabi Muhammad SAW yang sahih semata-mata. Sesungguhnya, tiada jalan lain lagi untuk membuktikannya.

    Pun demikian, tidak dapat dinafikan wujud beberapa hadis yang sahih menceritakan perihal cicak. Namun, ia tiada kaitan sama sekali dengan mitos dalam alam Melayu tersebut.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas menyebut: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan disebutnya sebagai fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan).” (Riwayat Muslim)

    Menurut hadis lain yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik RA: “Sesungguhnya Rasullullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Baginda bersabda: “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS.” (Riwayat al-Bukhari)

    Berdasarkan dua hadis berkenaan, umat Islam disunatkan membunuh cicak kerana reptilia itu mengganggu kehidupan manusia seperti membuang najis di dalam rumah atau masjid.

    JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

    JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

    Selain itu, cicak juga boleh merosakkan makanan selain menyebabkan pembaziran dan pada masa sama, menakutkan anak-anak kecil di rumah tatkala melihatnya.

    Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan sifat cicak itu sebagai makhluk perosak semenjak dahulu kala lagi yang mana binatang itu berusaha untuk menyemarakkan api yang dinyalakan oleh Raja Namrud untuk membunuh Nabi Ibrahim AS.

    Maka jelas, cicak ialah haiwan yang tidak membawa kebaikan dalam kehidupan manusia malah kita digalakkan ‘menamatkan riwayat’ cicak yang bermaharajalela di rumah kita.

    Sementelah, segala mitos tentang cicak yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu turun-temurun tidak pernah wujud dalam mana-mana ayat suci al-Quran mahupun hadis-hadis yang sahih. Pendek kata, cicak hanyalah satu haiwan yang memancarkan energi negatif kepada kita.

    ***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis

    Sumber

  • Software sering rosak? Mungkin boleh cuba cara ini

    Software sering rosak? Mungkin boleh cuba cara ini

    KEROSAKAN bahagian perisian khususnya sistem pengoperasian Windows menjadi berita buruk buat pengguna. Bayangkanlah lebih-lebih buat penuntut universiti yang terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membaikinya.

    Apa pun, pengguna perlulah ada ilmu sedikit mengenai sistem pengoperasian gajet masing-masing seperti platform PC seperti DOS, Windows XP, Windows Vista, Windows 7.

    Jika pengguna telefon pintar, fahami apa itu MAC OS, MAX OS X dan Cross Platform OS seperti Unix dan Linux.

    Panduan yang dikongsikan Muhammad Fairuz Abd Rauf dalam tip penjagaan perisian mungkin berguna. Siapa tahu harta kesayangan anda itu dapat diselamatkan.

    Ikuti perkongsikan video Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran Universiti Selangor (Unisel) tersebut dalam segmen Tanya Pakar IT minggu ini. Selamat mencuba!

    Sumber