Category: ATTRACTION

  • Berkahwin dengan tunangan orang lain

    Berkahwin dengan tunangan orang lain

    BERTUNANG ibarat mengikat janji antara seorang lelaki dan wanita untuk menjadi pasangan suami isteri.

    Ia juga menjadi tanda bahawa seseorang wanita itu adalah milik orang.

    Begitupun, dari segi hubungan pasangan itu, ia tidak halal seperti pasangan suami isteri yang sudah akad nikah.

    Sebaliknya, hubungan mereka sama sahaja dengan lelaki dan wanita bukan mahram yang lain sehinggalah saat mereka diijab kabulkan.

    Namun, bagaimana pula jika wanita yang bertunang tadi dipinang oleh lelaki lain, lalu mereka terus berkahwin. Apakah hukumnya berbuat demikian?

    Dalam hal itu, perlu difahami bahawa hukum meminang pinangan orang lain adalah haram dan berdosa kerana ia bersangkutan dengan larangan daripada Rasulullah SAW.

    Pun begitu, jika telah berlakunya akad nikah, para ulama berselisih pendapat tentang hukumnya.

    Pandangan pertama menyatatakan, hukumnya adalah sah mengikut jumhur ulama yang terdiri daripada Mazhab Hanafi, Syafie, Hanbali dan satu riwayat daripada Maliki.

    Mereka mengatakan bahawa akad pernikahan tersebut sah dan diterima selagi menuruti rukun dan syarat-syarat pernikahan.

    Bagi pandangan kedua yang dinukilkan oleh salah satu pandangan dalam Mazhab Maliki, hukumnya adalah tidak sah dan pernikahan itu wajib dibatalkan sama ada kedua-duanya telah melakukan hubungan suami isteri atau tidak.

    Satu lagi pandangan pula menyatakan, perkahwinan itu perlu dibatalkan jika belum berlaku hubungan suami isteri sepertimana pandangan termasyhur di sisi Mazhab Maliki.

    Bagaimanapun, jika sudah berlaku hubungan suami isteri itu, maka perkahwinan itu tidak perlu dibatalkan.

    Kesimpulannya, berpeganglah kepada pandangan jumhur ulama yang merupakan pandangan terkuat dalam perkara itu.

    Ketahuilah bahawa larangan meminang tunangan orang lain sebenarnya tidak memberi kesan kepada kesalahan akad nikah.

    Ini kerana, bertunang merupakan perkara yang didahulukan sebelum akad nikah.

    Meskipun begitu, ikatan pertunangan bukanlah syarat dan rukun akad nikah.

    Oleh itu, akad nikah tetap sah walaupun pasangan berkenaan tidak melalui proses pertunangan.

    Pun demikian, janganlah kita tergesa-gesa meminang tunangan orang lain sekali gus mengetepikan perasaan orang lain.

    (Sumber: Portal kemusykilan agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)

    Sumber

  • Bawa baton sejauh 13,281km – Sinar Harian

    Bawa baton sejauh 13,281km – Sinar Harian

    LAZIMNYA, di Malaysia kita hanya biasa mendengar sukan lari berganti-ganti seperti 4 x 100 meter (m), 4 x 200m ataupun 4 x 400m.

    Namun, jika Sinar Turbo mengatakan terdapat acara yang mempraktikkan konsep yang sama, namun melibatkan motosikal dan lebih uniknya membabitkan ratusan penunggang wanita tempatan, adakah pembaca dapat mempercayainya?

    Peredaran masa nampaknya membuktikan segala yang aneh bukan satu yang mustahil.

    Kunjungan Sinar Turbo pada program yang dinamakan Women Riders World Relay (WRWR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor menemukan acara berkenaan baru-baru ini.

     SUASANA meriah dengan aksi dan gelagat penunggang wanita

    SUASANA meriah dengan aksi dan gelagat penunggang wanita

    Ya, terus terang, ia sangat mengagumkan dan tidak keterlaluan untuk ditelah, ia merupakan yang julung-julung kalinya dan paling unik pernah diadakan di Malaysia.

    Menjelaskan lebih lanjut, Duta WRWR Malaysia, Tina Sharman memberitahu, WRWR telah bermula di negara ini pada 27 Februari tahun lalu. Katanya, acara berkenaan berlangsung secara berterusan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

    Di negara ini, WRWR diselaras dan dianjurkan oleh pihak Ripple Relay Malaysia.

    “WRWR menggunakan baton sebagai simbolik yang akan bertukar tangan daripada sekumpulan penunggang wanita ke penunggang seterusnya.

    “Untuk memahami dengan lebih jelas apakah WRWR, kita hanya perlu membayangkan acara larian olah raga 400 meter lari berganti-ganti (yang melibatkan pelari menggunakan kudrat) namun WRWR membabitkan motosikal berganti (yang melibatkan penunggang dan motosikal pilihan),” katanya ketika ditemui di SIC baru-baru ini.

    

TINA bersemangat mengangkat baton yang merupakan simbolik WRWR. Acara itu diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom dua tahun lalu.

    TINA bersemangat mengangkat baton yang merupakan simbolik WRWR. Acara itu diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom dua tahun lalu.

    Menyingkap historiografi sukan baharu tersebut, ia mula diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom, Hayley Bell sekitar Ogos dua tahun lalu dengan satu matlamat utamanya iaitu mahu menggalakkan penyertaan wanita dan mencetus semangat golongan itu dalam arena permotoran.

    Kekecewaan Hayley dan rasa tidak puas hatinya gara-gara sikap berat sebelah ditambah dipandang lekeh oleh kaum lelaki terhadap penunggang wanita dikatakan telah menguatkan azamnya untuk merealisasikan konsep motosikal berganti.

    Hasilnya, WRWR telah diiktiraf sebagai satu acara bermotor berganti pertama di dunia. Ia telah diadakan secara besar-besaran melibatkan 100 buah negara dengan lebih 15,000 wanita menyertainya.

    

ACARA penutup WRWR yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan sebanyak 190 buah motosikal mengambil bahagian.

    ACARA penutup WRWR yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan sebanyak 190 buah motosikal mengambil bahagian.

    Cetus rasa berani

    Tina yang menunggang motosikal Harley Davidson merangkap marshal wanita Harley Davidson pertama di Malaysia berkata, dalam menjayakan WRWR, pihaknya dibantu oleh Group Committee yang bertindak mempromosi acara itu dalam kalangan penunggang wanita tempatan.

    “Kami akan pastikan pengurusan penunggang-penunggang dan perjalanan baton di Malaysia berjalan lancar dan sukses.

    “Syukur, acara itu mendapat sambutan luar biasa sekali gus melengkapkan relay kami dengan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei. Pertukaran baton terakhir dilakukan pada 30 November lalu di premis Harley Davidson Kuala Lumpur,” katanya.

    Memang tidak dapat dinafikan, masyarakat masih memandang skeptikal terhadap wanita yang lasak dan hal itu diperakui oleh Tina.

    

LASAK DAN JELITA. Itu ungkapan paling wajar ditujukan kepada para penunggang wanita yang menyertai WRWR di SIC baru-baru ini.

    LASAK DAN JELITA. Itu ungkapan paling wajar ditujukan kepada para penunggang wanita yang menyertai WRWR di SIC baru-baru ini.

    “Ya, itu realiti yang mana wanita memang tidak digalakkan untuk menunggang motosikal atas banyak faktor antaranya soal keselamatan dan budaya.

    “Namun, bagi kami, idea Hayley itu mampu membentuk wanita dan menarik minat wanita supaya mereka tampil dengan lebih berani dan mencabar diri dalam konteks sukan permotoran wanita,” ujarnya dengan nada penuh optimis.

    Ternyata, ‘perjuangan’ mereka tidak sia-sia apabila WRWR telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada penunggang wanita di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

    Bukan itu sahaja, katanya, pelbagai kelab permotoran wanita menonjolkan diri dengan penuh semangat menyahut cabaran WRWR.

    

TINA (kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (tengah) yang hadir memberi sokongan penuh kepada acara yang melibatkan semua penunggang wanita.

    TINA (kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (tengah) yang hadir memberi sokongan penuh kepada acara yang melibatkan semua penunggang wanita.

    “Mereka merentas pelosok Malaysia dengan motosikal pelbagai jenama iaitu daripada yang berkuasa rendah seperti 155cc hinggalah berkuasa besar 1600cc seperti Harley Davidson, Ducati, BMW, Triumph, Yamaha, Kawasaki, Vespa dan juga Benelli.

    “Saya selaku duta kecil, gembira dengan komitmen semua kelab terlibat yang telah berjaya membawa baton mengelilingi Malaysia sejauh 13,281 kilometer (km). Ini merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan,” kata anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

    Keselamatan jadi keutamaan

    Bersembang dengan Tina membuatkan ego lelaki penulis tercabar dek melihat kesungguhan dan kecekapannya mengawal motosikal berkuasa besar, Harley Davidson.

    Tidak terhenti setakat itu sahaja, soal keselamatan kerap kali diucapkannya sepanjang sesi wawancara berlangsung.

    “Saya tidak pernah berkompromi soal keselamatan. Dalam apa perkara yang saya lakukan terutama ketika menunggang motosikal, saya akan pastikan semuanya lengkap dan tersedia,” katanya.

    Menariknya tentang wanita lasak itu lagi, beliau turut aktif dalam memberi kesedaran tentang pentingnya berpakaian lengkap ketika berada di atas jalan raya, menjalankan kempen keselamatan khusus untuk wanita dan bertindak sebagai pengulas teknikal motosikal berkuasa tinggi.

    Berbalik semula kepada penganjuran WRWR, Tina berharap dengan adanya aktiviti sebegitu, ia mampu membuka mata orang ramai tentang kemampuan seorang wanita.

    “Besar harapan saya agar tidak lagi sesiapa yang memandang rendah terhadap golongan Hawa.

    “Seperkara lagi, saya juga harap pengusaha kelengkapan motosikal (riding gear) tidak memandang sepi dan bersifat adil dengan penunggang wanita untuk mendapatkan aksesori atau alatan yang diperlukan sama seperti kebebasan kami memilih pakaian di pusat beli-belah,” ujarnya penuh harapan.

    KELAB permotoran yang terlibat dalam Women Riders World Relay

    • Ladies of Harley Davidson Malaysia
    • Desmo Owners Club Malaysia
    • Bikes & Roses
    • Momxys MG
    • Queen Riders Malaysia
    • Lady Bikers Johor
    • Malacca Lady Bikerz
    • Bad Girls Throttle
    • GIVIBella
    • Throttle Riot
    • Unicon Bikers
    • Pulas Throttle
    • Kawasaki Lady Bikers

    Sumber

  • Jadikan al-Quran standard kehidupan – Sinar Harian

    Jadikan al-Quran standard kehidupan – Sinar Harian

    PUTRAJAYA – Umat Islam diseru untuk menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai standard kehidupan harian, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

    Menurutnya, al-Quran bukan sekadar menjadi panduan hidup beragama dengan amalan ibadah semata-mata, tetapi kehidupan seharian secara holistik.

    “Hari ini orang bercakap mengenai standard kehidupan, tetapi garis panduan yang terbaik sebenarnya datang daripada ALLAH SWT.

    “Sempena Ramadan ini, kita manfaatkan mukjizat al-Quran dengan menyemai amalan baik iaitu berinteraksi dengan al-Quran. Kita ada hak berkaitan al-Quran iaitu membaca, bertilawah, bertadabbur, memahami makna dan pengertian, seterusnya mengamalkannya.

    “Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita memahami dan mengaplikasikan mesej al-Quran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

    Jakim sebagai Penaung program #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) meneruskan sokongan bagi program World #QuranHour kali ketujuh pada 24 Ramadan 1443H bersamaan 26 April ini, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Disember depan.

    Tiga program utama tersebut turut mendapat kerjasama daripada rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

    Hakimah berkata, World #QuranHour dilihat berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

    Tahun ini katanya, Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan pada kempen gerakan al-Quran dalam membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) sepanjang tahun ini.

    “Surah Al-Sajdah ayat 6 hingga 9 menceritakan bagaimana ALLAH SWT yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib, dan Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. ALLAH Maha Berkuasa menjadikan segala sesuatu dan menciptakan manusia daripada tanah.

    “Jika dilihat daripada sumber asal kejadian kita, tidak selayaknya mendapat penghormatan. Namun ALLAH meniupkan roh, memuliakan dan menjadikan kita sebagaimana sekarang ini, tetapi sangat sedikit dalam kalangan kita yang bersyukur.

    “Kesyukuran membawa kita bersujud kepada pencipta alam semesta. Ini adalah perkara yang sangat penting. ALLAH membekalkan kita dengan pelbagai sumber kehidupan termasuk pendengaran, penglihatan dan segala nikmat kita untuk menjalani kehidupan seabgai khalifah di muka bumi ini.

    “Sekiranya seseorang itu tidak sedar bahawa kebergantungannya hanya kepada ALLAH SWT semata-mata, dia seperti orang yang menzalimi diri sendiri. Dengan bersujud, hubungan kita dengan ALLAH maha pencipta menjadi lebih dekat,” ujar beliau.

    Katanya lagi, sujud memainkan peranan penting untuk mempamerkan rasa syukur kita kepada ALLAH SWT atas segala kurniaan-Nya. Penghayatan kepada al-Quran sebagai panduan hidup memberi kesan sangat besar kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

    ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

    Hakimah menambah, jika seseorang itu meninggalkan al-Quran, ini bermakna dia menjauhkan diri daripada agama. Hebatnya al-Quran daripada ALLAH SWT mampu melembutkan hati Saidina Umar Al Khatab yang terkenal dengan sifat tegas, garang dan keras hati.

    “Semoga kita mendapat petunjuk dan hidayah ALLAH untuk meneruskan kehidupan lebih baik di muka bumi dan di akhirat,” ujarnya.

    Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai World #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/REGWQH2022.

    Sumber

  • Bertasbih mengusir segala resah, gelisah

    Bertasbih mengusir segala resah, gelisah

    APABILA menerima pujian, sudah tentu perasaan seronok dan bangga terbit dalam diri.

    Ketahuilah segala kelebihan yang kita miliki sehingga dipuji oleh orang lain itu merupakan anugerah tidak terhingga yang dikurniakan ALLAH kepada diri kita.

    Justeru, jangan sesekali kita berasa bongkak.

    Sebaliknya, pujilah ALLAH SWT yang telah menjadikan kita dan mengurniakan kelebihan kepada kita.

    Semakin banyak kita bertasbih memuji ALLAH, ia sebenarnya lebih mendekatkan kita kepada Sang Pencipta, sekali gus mengingatkan diri bahawa segala pujian itu selayaknya untuk YANG MAHA BERKUASA.

    Bahkan, apabila kita mendekatkan diri kepada ALLAH sambil bertasbih, ia mampu memberikan ketenangan dan hati dan mengusir segala resah serta gelisah yang dihadapi.

    Firman ALLAH SWT: “Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan dan bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbihlah pula pada waktu-waktu malam hari dan pada waktu-waktu pada siang hari supaya kamu merasa senang.” (Surah Taha, ayat 30)

    Sesungguhnya, orang Mukmin yang melazimi tasbih kepada ALLAH akan diberi jalan keluar daripada pelbagai kesulitan.

    Ia sebagaimana ALLAH mengeluarkan Nabi Yunus daripada perut ikan.

    Seperkara lagi, dengan membasahkan lidah bertasbih memuji ALLAH, insya-ALLAH kita akan terhindar daripada tekanan perasaan apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.

    Apakah tasbih yang boleh kita lafazkan?

    Antara tasbih paling ringkas adalah subhanallah (Maha suci ALLAH).

    Selain itu, antara tasbih yang seringkali kita baca adalah:

    1. Subhanallahi walhamdulillah wala illaha illallahu akhbar (Maha suci ALLAH segala puji bagi ALLAH, tidak ada Tuhan selain ALLAH dan ALLAH MAHA BESAR)

    2. Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minadzolimin (Tidak ada Tuhan selain ENGKAU, MAHA SUCI ENGKAU sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang menzalimi diri sendiri)

    Bertasbihlah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan sebanyak mungkin.

    Semoga hati kita yang keras akan dilembutkan, jiwa yang memberontak marah akan kendur dan sifat sombong yang bersemayam dalam diri akan tunduk.

    (Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)

    Sumber

  • Tip atasi ancaman virus – Sinar Harian

    Tip atasi ancaman virus – Sinar Harian

    TERLALU banyak ancaman virus? Apakah cara terbaik untuk melindungi data meskipun memiliki perisian anti virus?

    Barangkali masih ramai yang tertanya-tanya mengenai ‘kemampuan’ perisian antivirus untuk kegunaan PC dan telefon pintar.

    Apa tidaknya, ancaman kehilangan data atau digodam masih boleh berlaku tanpa disedari.

    Jangan risau kerana pakar IT, Muhammad Fairuz Abd Rauf ada tip yang boleh diamalkan bagi mengelakkan perkakas atau gajet peribadi anda diserang virus.

    Ikuti perkongsian Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pekomputeran Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya itu dalam video yang disediakan. Selamat mencuba!

    Sumber

  • Pemimpin bersujud, satukan rakyat – Sinar Harian

    Pemimpin bersujud, satukan rakyat – Sinar Harian

    SHAH ALAM – Surah Al-Sajdah memberi panduan kepada umat Islam khususnya golongan pemimpin untuk menjadi lebih baik dan melakukan sesuatu bagi membantu golongan yang memerlukan.

    Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, pemimpin termasuk ketua negara, ahli perniagaan, suami isteri dan ibu bapa perlu memberi semula kepada masyarakat ke arah kebaikan.

    “Pemimpin ibarat ketua pegawai eksekutif negara yang ditugaskan untuk mentadbir negara. Mereka yang mendapat gaji dan elaun rumah serta kemudahan kenderaan, jadi perlu fikirkan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Bekerja di lapangan untuk membantu masyarakat bukan gimik atau menolong kerana mahukan sesuatu. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dipersembahkan kepada ALLAH SWT.

    “Kita perlu banyak bersujud dan tunduk kepada ALLAH Taala. Sebagai pemimpin di organisasi mahupun keluarga dan usahawan, pastikan jangan tamak. Jika kita sudah kaya, jangan bolot dan monopoli semua.

    “Sekiranya kita mampu melakukan semua bisnes, keluarkanlah zakat, infak dan wakaf bagi membantu orang lain. Kita boleh juga mengajar mereka berniaga agar membantu diri untuk kelangsungan hidup,” katanya.

    Beliau turut menekankan, ekonomi sangat penting dalam masyarakat.

    Jelasnya, sahabat Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman bin Auf dan Saidina Usman bin Affan merupakan antara orang paling kaya pada zaman itu namun kekayaan mereka memberi sumbangan kepada pembanguna ummah.

    “Kita perlu ada kerangka fikir untuk kaya, dan mahu ke hadapan. Jika kita perlu bersinergi dalam perniagaan supaya sektor ekonomi dapat dielakkan daripada perkara kufur. Ada orang terlalu susah, sehingga menyalahkan ALLAH.

    “Saya teringat pesan ulama dari Mesir iaitu Hassan Albanna. Kita mungkin sudah kaya dan ada wang banyak, tetapi kita perlu buat bisnes lagi kerana tidak semua orang ada ilmu seperti kita. Ada rezeki lebih, berinfak lebih.

    “Dalam Surah At-Taghabun, ayat 17, ALLAH SWT berfirman: ‘Jika kamu meminjamkan kepada ALLAH dengan pinjaman yang baik, nescaya Dia melipatgandakan (balasan) dan mengampuni kamu. Dan ALLAH Maha Mensyukuri dan Maha Menyantun’. Itu janji ALLAH, janji ditepati,” ujar beliau.

    Tambah Mastura, PPAS menyokong penuh program #QuranHour di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak 2015.

    Jelasnya, sebanyak 104 cawangan perpustakaan dan 43 agensi di seluruh negeri akan menyertai World #QuranHour secara hibrid pada 24 Ramadan 1443H, bersamaan 26 April ini.

    “Tahun ini, pihak PPAS mengikuti perkongsian para pentadabbur Surah Al-Sajdah daripada pakar yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah. Berpandukan surah tersebut, kita perlu bangkit, menginsafi dan muhasabah diri, seterusnya bersyukur dengan segala nikmat diberikan oleh ALLAH.

    “Sekarang bukan masa kita menuding jari untuk salahkan sesiapa. Sebaliknya, kita sebagai pemimpin perlu mencari solusi dan penyatuan. Kita mahu menyatukan semua masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

    “Jika semua orang bersujud, pasti mereka mampu menggunakan kedudukan masing-masing untuk membantu orang lain. Kita memberi dengan ikhlas, mudah-mudahan mendapat keampunan ALLAH SWT,” katanya.

    World #QuranHour disiarkan secara langsung dari lokasi perdana, Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kuala Lumpur pada 26 April ini.

    Program yang dianjurkan secara serentak ini juga boleh dikuti di TV AlHIjrah, ASTRO Oasis dan di FB Sinar Harian, QuranHour, dan TV AlHIjrah.

    Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di lokasi masing-masing dan mendaftar di https://bit.ly/REGWQH2022.

    Sumber

  • Kenali qari, qariah terkenal dunia

    Kenali qari, qariah terkenal dunia

    QARI dan qariah dikurniakan kebolehan untuk melagukan kalam ALLAH dengan taranum yang indah. -Gambar hiasan

    QARI dan qariah dikurniakan kebolehan untuk melagukan kalam ALLAH dengan taranum yang indah. -Gambar hiasan

    JIKA dahulu, apabila ingin mendengar alunan kalamullah yang lunak dan merdu, ia hanya boleh didapati apabila kita berguru dengan mereka yang mahir dengan seni taranum al-Quran.

    Paling tidak pun, ia boleh didengari melalui corong radio dan televisyen, selain kaset bacaan ayat suci al-Quran.

    Namun, dalam era milenial, ia boleh didapati secara meluas menerusi internet dan dimuat turun yang kemudiannya boleh disimpan dalam gajet masing-masing.

    Malah, qari dan qariah juga semakin dikenali ramai dengan kemerduan suaranya melagukan kalam ALLAH dengan taranum yang indah.

    Sepanjang tahun 2019, sebuah portal berita dan media digital di Kenya, https://www.tuko.co.ke menyenaraikan beberapa orang qari dan qariah terkenal dunia.

    Siapakah mereka? Ayuh kita saksikan video yang disediakan.

    Sumber

  • Perodua Bezza 2020, rekaan bertepatan selera rakyat Malaysia

    Perodua Bezza 2020, rekaan bertepatan selera rakyat Malaysia

    PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) membuka tirai tahun baharu 2020 dengan memperkenal kemas kini terhadap sedan segmen A paling laris di pasaran, Perodua Bezza 2020 di ibu negara, minggu lalu.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu G, X dan AV.

    “Ia masih kekal dengan penggunaan nadi 1.0 liter dan 1.3 liter,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bezza 2020 di Sentul Depot, Sentul West, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Seperti yang diperkatakan ramai, Sinar Turbo melihat, perubahan ketara yang dibawakan pada kenderaan tersebut lebih bertumpu kepada reka bentuknya.

    Rekaan luaran nampaknya lebih agresif dengan lampu utama yang lebih tirus, rekaan bampar yang baharu dengan perumah lampu kabus dan kemasan liang udara bersegi.

    Bampar belakang turut diberikan nafas baharu. Sementara ruang dalaman pula menampilkan panel meter yang beriluminasi putih.

    Antara kelengkapan asas yang ditawarkan pula termasuklah lampu utama diod, rim aloi, kit badan dengan layangan warna dwitona, kamera undur dan ciri keselamatan seperti Anti-lock Braking System dan Electronic Brakeforce Distribution.

    Untuk varian tertinggi pula, Perodua Bezza kini didatangkan dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang merangkumi ciri-ciri berikut:

    – Amaran Praperlanggaran

    – Sistem Brek Praperlanggaran

    – Sistem Amaran Pergerakan Hadapan

    – Kawalan Kesilapan Operasi Pedal

    ASA antara lain merujuk kepada sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko perlanggaran dan bukan ‘pengganti’ kepada pemanduan yang selamat.

    Pendek kata, setiap pemandu perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.

    Pada varian X, model baharu itu disertakan dengan kawalan kestabilan kenderaan dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

    “Dengan bahagian atas badan yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua, Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan kenderaan cekap tenaga pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada tahun 2016,” kata Zainal Abidin.

    Setiap pembelian Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 kilometer yang mana terdahulu.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perodua Bezza 2020 dan memandu ujinya, orang ramai boleh mengunjungi pusat jualan Perodua di seluruh negara. Boleh juga layari www.perodua.com.my untuk mengetahui perkembangan terkini Perodua.

    Berikut perincian untuk setiap varian Perodua Bezza 2020:

    i. Perodua Bezza G

    Mempunyai enjin 1KR-VE 1.0 liter, 67 kuasa kuda (hp)/91 tork nanometer (Nm) dan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Didatangkan dengan rim aloi bersaiz 14 inci, cermin sisi elektrik dan gril hadapan hitam berkilat dengan kemasan perak.

    ii. Perodua Bezza X

    Merupakan tambahan kepada ciri G, enjin 1NR-VE 1.3 liter 91hp/121Nm dan transmisi automatik empat kelajuan. Menariknya, rim aloi bersaiz 15 inci dan mempunyai sensor hadapan dan belakang.

    Ia turut sempurna dengan cermin sisi elektrik boleh lipat dan tambahan ciri kawalan kestabilan kenderaan dan kawalan cengkaman. Selain itu, jentera turut diperkemas dengan gril hadapan hitam berkilat dengan kemasan krom.

    iii. Perodua Bezza AV

    Sebuah kenderaan dengan penarafan ASEAN NCAP bertaraf lima bintang. Memiliki sistem kemasukan pintar dengan kunci pintar dan merupakan tambahan kepada ciri X. Dilengkapi dengan butang pandu mula dan ciri ASA 2.0.

    HANYA Perodua Bezza varian AV didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras.

    HANYA Perodua Bezza varian AV didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras.

    Terdapat dua warna baharu iaitu merah dan kelabu metalik, sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu coklat, biru dan putih metalik.

    Sumber

  • Selangor sokong penganjuran kempen #QuranHour

    Selangor sokong penganjuran kempen #QuranHour

    Muhamad Hafiz dan Mohd Zawawi ketika program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

    Muhamad Hafiz dan Mohd Zawawi ketika program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

    SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyokong penganjuran kempen Selangor #QuranHour sebagai inisiatif kepada generasi muda untuk mencari masa menghayati mesej dalam al-Quran.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kesibukan kerja menyebabkan seseorang itu sukar mencari masa untuk membaca dan mentadabbur al-Quran.

    Menurut beliau, golongan itu perlu memahami maqasid atau objektif penurunan kitab suci berkenaan yang bukan sekadar dibaca tanpa pemahaman yang baik.

    “Apa yang penting ialah maqasid daripada turunnya al-Quran yang mana bukan sekadar membaca, tapi perlu faham maksud dan tujuan ALLAH turunkan wahyu ini kepada kita.

    Bila sibuk bekerja, kita tidak ada masa untuk membaca al-Quran. Jadi harapnya (dengan penganjuran #QuranHour) kita akan ada masa khusus untuk mentadabbur al-Quran.

    Mohd Zawawi

    Mohd Zawawi

    “Kita mendokong program ini untuk dijadikan sebagai aktiviti tahunan dan sentiasa memberi galakan kepada generasi baru,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

    Sinar Harian sebelum ini melaporkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menganjurkan Selangor#QuranHour selama dua hari sempena Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 pada Ahad.

    Pengerusinya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, program itu berlangsung selama 24 jam menerusi bacaan 30 juzuk secara hafazan oleh 30 huffaz.

    Muhamad Hafiz atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz berkata, bacaan itu dibuat secara halaqah (lingkaran) menerusi kaedah bersemuka dan secara dalam talian.

    Beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat memaklumkan hafazan secara maya 24 jam tanpa henti berkenaan direkod dalam Malaysia Book of Records (MBR).

    Sumber

  • ALLAH tidak akan mensia-siakan sifat sabar kita

    ALLAH tidak akan mensia-siakan sifat sabar kita

    SEBAGAI Muslim yang sejati, kita dituntut supaya sentiasa bersabar hampir setiap waktu.

    Masakan tidak, hanya dengan sifat itulah segala rencam yang berlaku dalam kehidupan kita dapat direntas dengan baik.

    Cuba bayangkan, apa akan terjadi seandainya tiada sifat tersebut dalam diri?

    Sudah tentu, hidup kita sentiasa akan dipenuhi rasa amarah yang membuak-buak, malah hati juga tidak tenang setiap kali berhadapan dengan masalah.

    Benar, tahap kesabaran seseorang itu dengan orang yang lain tidak sama.

    Maka, sebab itulah ALLAH menurunkan ujian sesuai dengan kemampuan hamba-NYA kerana DIA MAHA MENGETAHUI.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

    Ketahuilah bahawa ALLAH tidak akan mensia-siakan sifat sabar kita dalam menghadapi ujian-NYA.

    Mereka dijanjikan dengan ganjaran yang bukan calang-calang.

    Apakah imbalan yang dimaksudkan? Kenapa signifikannya sifat sabar itu?

    Ikuti kupasan lanjut dalam sisipan Sinar Islam esok.


    Sumber