Category: ATTRACTION

  • Sertai World #QuranHour di TV Alhijrah

    Sertai World #QuranHour di TV Alhijrah

    SHAH ALAM – Orang ramai boleh menyertai World #QuranHour di rumah masing-masing melalui saluran TV Alhijrah bermula jam 12 hingga 12.55 tengah hari pada Selasa.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, setakat ini sebanyak 15,000 lokasi seluruh negara telah didaftarkan sebagai lokasi World #QuranHour yang membawakan tema ‘Dunia Bersujud’.

    Menurutnya, jumlah ini melepasi angka 3,000 lokasi pada tahun lalu dan orang ramai digalakkan bersama-sama membaca surah Al-Sajdah di rumah masing-masing menerusi siaran langsung oleh TV Alhijrah.

    “Setakat ini, terdapat 20 lokasi di seluruh dunia yang mengesahkan akan menyertai World #QuranHour.

    “Jumlah lokasi dijangka bertambah lagi pada malam ini dan bagi menyemarakkan World #QuranHour, orang ramai boleh memuat naik gambar di lokasi masing-masing menerusi media sosial dengan meletakkan World #QuranHour sebagai tanda sokongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

    Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijadual mencemar duli bagi menghadiri Program World #QuranHour 2022 yang berlangsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Selain itu turut dijangka hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.

    Beberapa duta asing yang bakal turut serta termasuklah Duta Tajiskistan, Turki, Somalia dan Senegal.

    World #QuranHour merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

    Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022.

    Matlamat surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi dan Penyayang.

    World #QuranHour diadakan kerjasama rakan Sinergi Media Malaysia kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’.


    Sumber

  • Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

    Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

    SELESAIKAN masalah rumah tangga mengikut undang-undang keluarga Islam sedia ada termasuk mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    SELESAIKAN masalah rumah tangga mengikut undang-undang keluarga Islam sedia ada termasuk mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    MENJADI kelaziman kebanyakan orang untuk berkongsi kisah peribadi di media sosial masing-masing.

    Malah, segelintir orang tidak kisah untuk mencoretkan apa sahaja yang dilaluinya sama ada pengalaman indah, buruk atau menyedihkan menerusi platform berkenaan.

    Ia termasuklah kisah rumah tangga yang kurang enak didengar.

    Kadangkala niat perkongsian berkenaan sekadar untuk mendapatkan pandangan orang ramai tentang masalah rumah tangga atau keluarga yang dihadapi.

    Bolehkah kita berbuat demikian? Apakah pandangan Islam tentang perkara itu?

    Menjawab persoalan tersebut, keaiban adalah rahsia bersama antara suami dan isteri yang wajib dijaga.

    Ia bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang melarang seorang lelaki yang bersama isteri, kemudian menyebarkan aib pada keesokan harinya.

    Hadis itu dipakai secara umum sama ada untuk suami atau isteri yang mana kedua-duanya dilarang menyebarkan aib masing-masing.

    Media sosial bukanlah tempat untuk mengadu atau berbincang tentang hubungan suami isteri.

    Bahkan, Islam menyekat lebih awal lagi agar aib pasangan tidak dibincangkan bersama kawan-kawan atau teman-teman rapat.

    Jika wujud persengketaan, maka haram didedahkan atau berbincang melalui media sosial seperti Facebook, Telegram atau WhatsApp kerana sedikit demi sedikit, ia akan membuka aib pasangan.

    Sebaiknya, selesaikanlah masalah rumah tangga berkenaan melalui peruntukan undang-undang keluarga Islam melalui mahkamah di samping mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

    Sewajarnya apa yang berlaku dalam rumah tangga diselesaikan dengan cara yang dibenarkan Islam, bukan dengan berdiskusi di Facebook, Telegram dan lain-lain.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Shell batal caj tambahan TnG

    Shell batal caj tambahan TnG

    PERKHIDMATAN pembatalan caj TnG boleh didapati di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

    PERKHIDMATAN pembatalan caj TnG boleh didapati di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

    DEMI mengurangkan beban pengguna, Shell Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembatalan caj tambahan sebanyak 50 sen yang dikenakan untuk setiap perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘N Go (TnG).

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain berkata, perkhidmatan pembatalan cas tersebut terdapat di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan bermula 16 Januari lalu.

    “Shell memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh pengguna yang mana mereka terpaksa berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

    “Keadaan ini membuatkan Shell ingin membantu. Dengan membatalkan caj tambah nilai kad Touch ’N Go sebagai permulaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelanggan ketika mengisi minyak atau mengharung perjalanan jauh,” ujarnya dalam kenyataan media baru-baru ini.

    Menurutnya, Shell Malaysia sentiasa mencari jalan untuk memberi ganjaran kepada para pelanggannya.

    Shell turut memaklumkan, kempen ‘Nak Ekstra RM20,000’ kini berlangsung sejak 1 Disember 2019 hingga 9 Februari ini. Menerusi kempen tersebut, Shell menawarkan rakyat Malaysia hadiah utama mingguan bernilai RM20,000 dan 20 hadiah sagu hati bernilai RM1,000 setiap minggu.

    Setiap kali berbelanja sebanyak RM40 bagi bahan api, minyak pelincir dan juga produk Shell Select melayakkan pelanggan untuk menyertainya.

    Selain daripada inisiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.

    Sumber

  • World #QuranHour mampu naikkan imej Islam, pupuk budaya al-Quran

    World #QuranHour mampu naikkan imej Islam, pupuk budaya al-Quran

    Ismail Sabri (dua dari kanan) mengajak semua organisasi, masjid, surau dan individu meluangkan masa selama satu jam, bermula jam 12 tengah hari esok untuk berinteraksi dengan al-Quran menerusi program World #QuranHour.

    Ismail Sabri (dua dari kanan) mengajak semua organisasi, masjid, surau dan individu meluangkan masa selama satu jam, bermula jam 12 tengah hari esok untuk berinteraksi dengan al-Quran menerusi program World #QuranHour.

    SHAH ALAM – Program World #QuranHour mampu menaikkan imej Islam, sekali gus memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan, agar semua organisasi, masjid, surau dan individu meluangkan masa selama satu jam, bermula jam 12 tengah hari esok (Selasa) di lokasi masing-masing untuk berinteraksi dengan al-Quran khususnya surah Al-Sajdah yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

    “Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul bersama-sama dalam program World #QuranHour kali ke-7 yang bertemakan #DuniaBersujud.

    “Saya difahamkan World #QuranHour tahun ini telah memilih surah Al-Sajdah sebagai surah utama bagi mengajak orang ramai menghayati erti sebenar bersujud dengan penuh keyakinan kepada ALLAH SWT yang dapat membuang sifat ego atau sombong untuk berjaya di dunia dan akhirat.

    No Image Caption

    “Surah tersebut turut menjadi panduan untuk perubahan kerangka minda dan penyatuan ummah melalui aspek ekonomi dan pendidikan, sekali gus memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian dengan bersujud kepada ALLAH SWT,” katanya dalam satu ucapan sempena Program World #QuranHour yang akan berlangsung pada Selasa.

    Mengulas lanjut beliau berharap agar surah tersebut bukan sekadar dibaca, tetapi diamalkan dalam kehidupan kita.

    “Semoga usaha baik mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seperti yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinerginya ini akan dapat diteruskan sampai bila-bila dan dirahmati oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

    No Image Caption

    Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada WUIF kerana penganjuran World #QuranHour mampu memberi impak besar kepada segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam dalam meningkatkan kesedaran untuk mendampingi al-Quran.

    Beliau juga merakamkan penghargaan, kepada rakan sinergi WUIF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pusat Pelancongan Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Sinar Harian, TV AlHijrah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Majlis Permuafakatan Angkatan NGO-NGO Malaysia (MAPAM) di atas penganjuran World #QuranHour 2022.


    Sumber

  • Bapa keliru status sah taraf anak

    Bapa keliru status sah taraf anak

    HALIM (bukan nama sebenar) merupakan seorang duda. Sudah setahun beliau dan bekas isterinya, Suzana (bukan nama sebenar) bercerai.

    Perceraian itu begitu menyakitkan hatinya. Namun, segala keperitan itu ditanggungnya sendiri. Derita itu bukan disebabkan oleh perceraian tersebut, tetapi hatinya terluka disebabkan oleh sikap Suzana sendiri.

    Amat sukar untuk beliau melupakan peristiwa pahit tatkala hidup bersama Suzana sebagai pasangan suami isteri sebelum ini.

    Mereka bercerai ketika Suzana sedang mengandungkan anak sulung. Kandungannya ketika itu baru berusia dua bulan.

    “Saya mengandungkan anak orang lain,” kata Suzana kepada Halim sebelum mereka bergaduh besar.

    Ayat itu meskipun ringkas, namun sudah cukup ‘merentap’ jantung Halim. Hati lelakinya begitu perit, egonya mula memuncak. Terasa dirinya dayus kerana membiarkan isterinya bersama lelaki lain. Sepantas itulah, terpacul lafaz talak dari bibirnya.

    Perceraian itu kemudian disahkan di mahkamah syariah. Seingat Halim, itulah kali terakhir beliau bertemu Suzana. Lelaki itu sebenarnya sudah menutup ‘buku’ dan pintu hatinya untuk bersua dengan Suzana.

    KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    Namun, sangkaannya meleset. Memang sudah tidak dapat dielakkan ‘pertemuan’ yang datang tidak disangka-sangka. Takdir menemukan mereka semula. Suzana datang membawa seorang bayi perempuan setahun selepas mereka bercerai.

    Dadanya bertambah sesak saat mengetahui bayi yang diberi nama Melati (bukan nama sebenar) berbintikan namanya.

    “Itu bukan anak aku. Bayi itu tidak boleh berbintikan dengan nama aku,” tegas Halim.

    Namun, Suzana tidak mengendahkannya dan mengatakan Melati berhak berbintikan nama Halim kerana wanita itu diceraikan ketika tempoh idah mengandung.

    Bukan sekali pertemuan itu, tetapi berkali-kali kehadiran Suzana dan Melati ‘menghantui’ hidupnya. Malah, rakan-rakannya pula mula menyimpan prasangka terhadapnya kerana sikap tidak acuhnya terhadap anak berkenaan.

    Bagaimana mahu menerima kewujudan anak tersebut? Sedangkan gara-gara bayi itulah, ia menjadi punca Halim dan Suzana bercerai. Hatinya bertambah luka saat dikhabarkan oleh Suzana sendiri bahawa dirinya pernah terlanjur dengan lelaki lain ketika mereka masih bergelar suami isteri.

    Mujur Halim dikurniakan seorang sahabat yang prihatin. Atas nasihat rakannya itu, Halim melakukan ujian asid deoksiribonukleik. Ternyata bayi itu bukan zuriatnya. Lantas, lelaki itu memfailkan tuntutan bagi menentukan sah taraf bayi tersebut.

    Kes itu berlangsung hampir setahun kerana Suzana berdolak-dalih dalam hal berkenaan.

    Namun, akhirnya, mahkamah rendah syariah memutuskan bahawa anak tersebut tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada Halim. Beliau menarik nafas lega dengan keputusan berkenaan.

    Peri pentingnya penentuan nasab

    Menerima realiti bahawa Melati itu lahir dalam hubungan yang tidak sah sudah cukup memeritkan. Apatah lagi, nama anak itu berbintikan Halim. Ia seolah-olah mencurah garam ke atas luka yang sememangnya sudah parah.

    Meskipun niatnya sekadar mahu menutup aib, namun menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama daripada mengambil manfaat.

    Demikian pandangan yang dilontarkan Presiden Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof tentang kisah malang yang dihadapi oleh Halim.

    FAZRU ANUAR

    FAZRU ANUAR

    Ujar beliau, kepentingan umum tidak boleh digadaikan hanya kerana beberapa individu telah membuat kesalahan. Bahkan, nasab dan sistem keluarga perlu dipertahankan pada zaman yang mana ramai orang sudah mula bersekedudukan dan menormalisasikan tinggal sebumbung dengan bukan mahram.

    “Sebab itu zina disebut sebagai fahisyah iaitu benda yang keji dalam al-Quran yang perlu dijauhkan. Kesan jangka panjangnya sangat menakutkan,” katanya kepada Sinar Islam menerusi e-mel baru-baru ini.

    Jelas Fazru Anuar, isu tentang penentuan nasab tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap anak tersebut. Ia termasuklah isu berbangkit seperti wali pernikahan, warisan harta pusaka, hadanah dan berkaitan nafkah.

    “Umum mengetahui bahawa salah satu rukun nikah ialah wali. Ketiadaan wali yang layak untuk mengahwinkan seseorang wanita itu menjadikan perkahwinan berkenaan fasid (rosak). Begitu juga dalam isu pewarisan harta pusaka. Jika bapa meninggal dunia, anak yang tidak sah taraf tidak mempunyai hak kerana nasabnya tidak bersambung di sebelah bapa.

    “Dalam perkara berkaitan hadanah pula, anak yang tidak sah taraf hanya bersandarkan kepada ibu. Maka, hak hadanahnya juga adalah milik ibu dan saudara sebelah ibu secara mutlak.

    “Begitupun dalam bab nafkah, anak tidak sah taraf berkenaan ditanggung oleh ibunya, bukan bapanya walaupun mereka berkaitan secara biologi. Perkara itu termaktub di bawah Seksyen 80, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303),” terang beliau sambil menjelaskan bahawa Seksyen 11, Akta 303 memperuntukkan tentang garis panduan dalam penentuan anak sah taraf.

    Dalam pada itu, Fazru Anuar mengemukakan ayat al-Quran yang melarang menasabkan seorang anak kepada bukan bapanya.

    Firman ALLAH SWT: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai ‘maula-maula’ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah ALLAH MAHA PENGAMPUN,lagi MAHA MENGASIHANI).” (Surah al-Ahzab, ayat 5)

    Justeru, kepada mereka yang menghadapi keraguan berkaitan nasab terutama bekas suami, Fazru Anuar menasihatkan individu berkenaan membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

    “Selain mengemukakan keterangan, saksi dan bukti berkaitan anak tersebut, suami atau bekas suami juga boleh membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menguatkan keterangan.

    “Hasil ujian DNA itu hendaklah dikemukakan kepada hakim syarie untuk dinilai dan diputuskan. Selepas pengesahan nasab diperoleh di mahkamah tinggi syariah, bekas suami boleh membuat pembatalan nama yang ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ terhadap beliau di Jabatan Pendaftaran Negara.

    “Dalam penyelesaian isu bin atau binti, anak berkenaan boleh berbintikan Abdullah atau mana-mana nama dalam Asmaul Husna dengan berpangkalkan Abdul berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 pada tahun 1981,” jelas beliau.

    Sumber

  • Keselamatan bermotosikal – Sinar Harian

    Keselamatan bermotosikal – Sinar Harian

    ANTARA aktiviti sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 ialah pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

    ANTARA aktiviti sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 ialah pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

    PANDUAN dan perkongsian maklumat berterusan mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya amat penting terutama buat penunggang dan pembonceng motosikal.

    Prihatin keperluannya, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB), pengedar motosikal jenama Kawasaki di Malaysia menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 baru-baru ini.

    Bagi tahun ini, KMSB membawakan tema ‘Utamakan keselamatan, elakkan menggunakan telefon bimbit semasa menunggang’.

    Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya berkata, fokus utama KMSB adalah untuk memberi penekanan dan kesedaran kepada penunggang motosikal tentang aspek keselamatan dan cara tunggangan cermat di jalan raya.

    “Aspek keselamatan haruslah diutamakan setiap masa. Ia penting untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko kemalangan yang tidak diingini.

    “Kita kena sentiasa cermat di jalan raya memandangkan statistik menunjukkan jumlah rekod kematian akibat kemalangan penunggang motosikal terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media.

    Terdahulu kempen dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, di Plaza Tol Sungai Besi (Arah Selatan).

    Turut hadir Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim; Pengerusi Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Mohd Nasri Ishak.

    Kempen yang memasuki kali keempat itu dianjurkan bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

    Seperti tahun sebelumnya, Kempen Keselamatan Jalan Raya KMSB 2020 memberi tumpuan kepada pemeriksaan keselamatan pada 16 bahagian motosikal secara percuma.

    Tanpa mengira jenama dan model motosikal, pemeriksaan dilakukan oleh juruteknik terlatih KMSB.

    Sumber

  • Bawa mesej World #QuranHour melalui ‘flash mob’

    Bawa mesej World #QuranHour melalui ‘flash mob’

    SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Persatuan Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengadakan ‘flash mob’ Yakin, Sujud dan Tidak Sombong (YST) sebagai gerakan menuju World #QuranHour yang diadakan pada Selasa.

    Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) WUIF, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi berkata, ‘flash mob’ tersebut yang diadakan pada Jumaat lalu bertujuan membawa mesej yang terkandung dalam misi World #QuranHour pada tahun ini iaitu surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan.

    Ujar Muhammad Iqbal, pentas program Iftar Ala [email protected] telah dijadikan sebagai tempat ‘flash mob’ dengan membawa mesej World #QuranHour supaya ia dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada orang ramai yang datang ke sana.

    “Keunikan ‘flash mob’ ini adalah kita membawakan mesej ‘simple’ (ringkas) tetapi senang dihadam.

    “Diharapkan dengan flash mob ini orang akan mudah ingat dengan ‘key point’ (titik penting) yang kita ingin bawa dalam surah Al-Sajdah itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

    Mengulas lanjut, Muhammad Iqbal memaklumkan seramai 20 orang sukarelawan dari UiTM Shah Alam daripada pelbagai jurusan telah menyertai ‘flash mob’ berkenaan.

    Muhammad Iqbal

    Muhammad Iqbal

    Tambahnya, perkara utama yang dibawakan dalam mesej surah Al-Sajdah melalui gerakan ‘flash mob’ itu ialah yakin iaitu memupuk keyakinan orang ramai terhadap ALLAH SWT dan al-Quran.

    “Kemudian dengan keyakinan itulah, kita semakin tunduk dan semakin sujud kepada ALLAH SWT bahawa ALLAH SWT akan mengatur kehidupan kita dan kita mengikut arahanNya seperti yang terkandung di dalam al-Quran.

    “Yang ketiga, dengan kita mengakui bahawa ALLAH SWT adalah segala-galanya, kita tidak menjadi sombong kepada orang, alam dan paling penting kepada ALLAH SWT,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Presiden Persatuan Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Amirah Safiah Shaharuddin, 22, mengakui berbesar hati kerana dijemput untuk bersama-sama dengan WUIF menyertai ‘flash mob’ di Kompleks Karangkraf.

    Amirah Safiah

    Amirah Safiah

    Amirah Safiah berkata, ia merupakan satu pengalaman yang amat bermakna menjadi sebahagian daripada komuniti dalam menjayakan serta mempromosikan World #QuranHour pada tahun ini.

    “Insya-ALLAH apa yang semua sukarelawan harapkan adalah kami dapat sampaikan mesej yang memang menepati objektif program ini untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran termasuk surah Al-Sajdah untuk tahun ini,” menurutnya.

    Sementara itu, program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang diadakan bermula 4 April lalu sehingga 29 April ini turut memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana berbuka puasa seperti berada di Masjid Nabawi.

    Orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah boleh membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-2133315.

    Sumber

  • Penyusuan ibu, amanah ALLAH dalam membesarkan zuriat

    Penyusuan ibu, amanah ALLAH dalam membesarkan zuriat

    BETAPA pentingnya seorang ibu menyusukan anak kerana perkataan Radha’ah atau penyusuan ibu disebut sebanyak 11 kali dalam al-Quran. Ia merupakan amanah ALLAH kepada si ibu dalam membesarkan zuriatnya.

    Demikian kata Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada sesi perkongsian Meja Bulat Kajian Tentang Penyusuan Susu Ibu Berlandaskan al-Quran bertemakan The Golden Mercy di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan dan wakil RSG Medicare yang juga Sahabah Quran, Dr Mohd Asyakir Shamsuddin.

    ALLAH SWT berfirman: “Ingatlah pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lupa terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab ALLAH itu sangat pedih.” (Surah al-Hajj, ayat 2)

    Bertadabbur daripada ayat al-Quran tersebut memerihalkan tentang ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak. Cabaran pada akhir zaman, ada segelintir wanita yang tidak kisah tentang menyusukan anak sedangkan proses berkenaan dapat menyambung generasi dan mengeratkan hubungan antara ibu dan anak, ujar Fazrul.

    “ALLAH SWT memberi panduan kepada suami untuk memberi nafkah kepada isteri agar boleh fokus terhadap penyusuan anaknya. Jika tidak mampu, boleh memberi upah kepada ibu susuan anaknya seperti disebut dalam Surah al-Talaq, ayat 65.

    “Dalam Surah an-Nisa’, ayat 23 pula menjelaskan pengharaman mengahwini ibu susuan dan saudara susuan. Ini bermakna, penyusuan tersebut dapat meluaskan hubungan kekeluargaan. Ayat 2 dan 3 dalam Surah al-Talaq menyebut, sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH akan diberi jalan keluar dan diberi rezeki yang tidak terlintas di hatinya,” katanya berkongsi ilmu.

    Tambah Fazrul, dalam tempoh dua tahun si ibu menyusukan anak, ia memerlukan ketakwaan yang tinggi selain beribadah kepada ALLAH.

    “Si bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada ibu dan anak. Jika tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan oleh ibu bapa, maka lahirlah anak yang cemerlang, berbudi dan penyayang,” jelas beliau.

    Sementara itu, Timbalan Canselor Akademik dan Profesor Pediatrik, International Medical University, Prof Dr Zabidi Hussin dalam pembentangannya bertajuk ‘Pembentukan Personaliti melalui Penyusuan Susu Ibu’ berkata, sentuhan halus, deria bau, penglihatan dan pendengaran mampu membina emosi dan kasih sayang anak melalui penyusuan ibu.

    “Ketika sesi penyusuan ibu, ia akan ‘menyalakan’ semua saraf emosi anak. Pada masa sama, aktiviti otak di bahagian hadapan anak sedang rancak. IQ (Nilai Kecerdasan) anak yang mendapat susuan ibu lebih tinggi daripada anak yang tidak disusukan,” katanya.

    Sumber

  • X70 terima anugerah Kereta Terbaik 2019

    X70 terima anugerah Kereta Terbaik 2019

    X70 memenangi pengiktirafan berprestij pada Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18 baru-baru ini.

    X70 memenangi pengiktirafan berprestij pada Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18 baru-baru ini.

    MODEL kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang rasmi dilancarkan pada Disember 2018 dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019.

    Pengiktirafan berprestij pada Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18 itu merupakan pencapaian kali pertama model Proton.

    Dalam kenyataan medianya, Proton memaklumkan SUV segmen C serba mewah dan paling popular di Malaysia itu turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV lima tempat duduk saiz sederhana.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO), Dr Li Chunrong diberi penghormatan sebagai Individu Automotif Tahun Ini.

    “Melalui pengiktirafan ini sekali gus menjadikan Chunrong, CEO Proton ketiga yang menerima penghargaan berkenaan.

    “Selain itu, Proton Saga baharu yang menerima peningkatan baru-baru ini juga turut menerima anugerah sebagai Sedan Peringkat Permulaan atau Hatchback. Saga baharu menarik banyak perhatian sejak dilancarkan pada 6 Ogos tahun lalu,” kata kenyataan tersebut.

    Menurut Proton, sehingga kini, lebih 42,000 tempahan telah diterima dan sejak dua bulan terakhir 2019, Saga menjadi sedan segmen A yang paling laris di Malaysia.

    Kesimpulannya, pencapaian terbaru yang diraih Proton turut merangkumi peningkatan jualan sebanyak 55.7 peratus pada 2019 iaitu kepada 100,821 unit.

    Pencapaian itu termasuk penubuhan 120 cawangan 3S/4S yang paling banyak bagi mana-mana jenama kereta di Malaysia.

    Sumber

  • Tunku Azizah cemar duli hadir World #QuranHour 2022

    Tunku Azizah cemar duli hadir World #QuranHour 2022


    26 April 2022 12:20pm
    Masa membaca: 4 minit

    Tunku Azizah mencemar duli ke studio TV Alhijrah sempena Program World #QuranHour 2022 pada Selasa.

    Tunku Azizah mencemar duli ke studio TV Alhijrah sempena Program World #QuranHour 2022 pada Selasa.

    KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2022 yang berlangsung di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Tunku Azizah tiba di pekarangan bangunan TV Alhijrah pada jam 11.30 pagi bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Sajdah yang dipilih sebagai surah utama dalam program tersebut.

    World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Dunia Bersujud’ sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

    Program tersebut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    Ia turut mendapat kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Karangkraf Medicare Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabat Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

    Sumber