KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2026: AVOCake Pukis & Delight tampil sebagai destinasi kulinari baharu di Malaysia yang mengetengahkan kepelbagaian sajian ikonik dan popular dari Indonesia. Berkonsepkan family dining, restoran ini menghimpunkan pelbagai hidangan dari seluruh pelosok Indonesia dalam satu lokasi. Kehadirannya memberi peluang kepada penggemar makanan Indonesia untuk menikmati cita rasa Nusantara yang autentik dalam suasana santai bersama keluarga dan rakan-rakan. Antara menu yang ditawarkan ialah Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging dan Set Sup Janda. Pelanggan turut boleh mencuba hidangan seperti Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai. Pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado pula menjadi antara tarikan istimewa yang melengkapkan pengalaman menjamu selera. Penubuhan AVOCake Pukis & Delight dicetuskan oleh minat mendalam pengasas dan Pengarah Bersama, Dr. Shamsiah Yaakob, terhadap warisan makanan Indonesia. Pengalaman beliau selama tujuh tahun menetap di Indonesia ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, membuka peluang untuk mempelajari pelbagai teknik penyediaan makanan tempatan. Pengetahuan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada usaha membawa cita rasa Indonesia kepada masyarakat Malaysia. Menurut Dr. Shamsiah, idea untuk membuka perniagaan makanan Indonesia mula tercetus pada tahun 2025 selepas melihat potensi untuk memperkenalkan hidangan yang dipelajarinya kepada pelanggan di Malaysia. Langkah pertama bermula dengan pembukaan sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban. Sambutan menggalakkan daripada pelanggan mendorong beliau untuk mengembangkan perniagaan dengan pembukaan sebuah lagi restoran di Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu. Pembukaan cawangan di Kuala Lumpur pula terhasil daripada kunjungan Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya ke restoran di Sikamat. Ratieh yang turut menjadi antara pelabur dan pembiaya restoran tersebut bersama beberapa rakan pelabur lain melihat potensi AVOCake Pukis & Delight untuk berkembang di ibu negara. Usahasama itu akhirnya membawa kepada pembukaan restoran yang menjadi wadah memperkenalkan kepelbagaian makanan Indonesia kepada lebih ramai pelanggan. Majlis perasmian dan pelancaran restoran turut diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti tempatan termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkenalkan pengalaman gastronomi Indonesia kepada masyarakat Malaysia. Dengan kepelbagaian menu dan konsep yang mesra keluarga, AVOCake Pukis & Delight menyasarkan untuk menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan Indonesia di Kuala Lumpur. Post navigation Anak Syarikat DPS Resources Meterai MoU dengan CEIG bagi Membangunkan Pusat Data dan Infrastruktur Tenaga di Melaka