SHAH ALAM, 19 Ogos 2026 — KRU Entertainment memperkenalkan Temasya Aneka, sebuah acara prapelancaran yang menampilkan 18 acara dan pelbagai tarikan yang bakal berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral sehingga penghujung 2026. Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha KRU Entertainment untuk memperkukuh Aneka Walk sebagai destinasi gaya hidup dan hab kebudayaan yang menghimpunkan elemen muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.

Temasya Aneka turut menjadi platform untuk memperkenalkan rangkaian program yang dirancang bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung sepanjang tahun. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim, pengisian acara secara konsisten merupakan antara strategi utama bagi memastikan Aneka Walk terus mempunyai tarikan baharu dan menjadi lokasi yang menggalakkan pengunjung untuk datang serta berkunjung semula.

Antara tarikan utama yang diperkenalkan ialah Kayangan, sebuah pengalaman yang menggabungkan persembahan kebudayaan dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Dato’ Chef Zam. Persembahan sulung bertajuk “Hikayat Nusantara” akan membawa penonton meneroka sejarah dan budaya Nusantara melalui gabungan penceritaan, persembahan secara langsung, muzik, tarian, elemen visual dan pengalaman gastronomi.

Kayangan dijadualkan menjadi persembahan mingguan utama di Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 4 September 2026. Konsep tersebut turut dirangka sebagai produk pelancongan berteraskan budaya yang menyasarkan bukan sahaja masyarakat tempatan, malah pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin merasai pengalaman seni, budaya dan makanan tradisional dalam satu lokasi.

Dalam usaha memperkukuh tarikan gastronomi, Temasya Aneka turut memperkenalkan beberapa penyewa terawal yang bakal mengisi destinasi tersebut. Antaranya termasuk Kek Lapis Warisan yang mengetengahkan kek lapis sebagai sebahagian daripada produk warisan tempatan, selain KRU Café yang akan membuka cawangan pertamanya di Aneka Walk, sekali gus menambah pilihan makanan dan minuman kepada pengunjung.

Pelaksanaan 18 acara sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio bagi membantu memperluaskan promosi program kepada khalayak yang lebih luas. Kerjasama tersebut turut merangkumi penyediaan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer melalui rangkaian radio serta platform media sosial Astro Audio.

Dengan gabungan acara kebudayaan, muzik, seni, gastronomi dan aktiviti komuniti, Temasya Aneka dijangka memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana di Aneka Walk serta memperkenalkan destinasi tersebut kepada pengunjung yang lebih luas. Inisiatif ini juga mencerminkan aspirasi KRU Entertainment untuk membangunkan Aneka Walk sebagai ruang yang bukan sahaja menawarkan hiburan, tetapi turut meraikan kepelbagaian budaya dan kreativiti tempatan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.anekawalk.com atau ikuti platform media sosial Aneka
Walk.

SENARAI ACARA TEMASYA ANEKA 2026

Bil.TarikhNama AcaraButiran
104.09.26 – 27.12.26KayanganPersembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu
204.09.26 – 06.09.26AnekaRasa “Warisan”Festival makanan dan minuman tradisional
311.09.26 – 13.09.26RockustikFestival muzik rock akustik
418.09.26 – 20.09.26Super UniverseFestival cosplay adiwira tempatan dan antarabangsa
525.09.26 – 27.09.26Art & Bloom MarketJualan barangan terpakai dan vintaj
602.10.26 – 04.10.26AnekaRasa “Fast & Delicious”Festival snek dan makanan segera
709.10.26 – 11.10.26FreestyleFestival muzik hip hop
816.10.26 – 18.10.26Game On!Expo sukan dan e-Sports
923.10.26 – 25.10.26ExplorersKarnival hobi dan aktiviti luar
1030.10.26 – 01.11.26SuperbikesExpo motosikal berkuasa tinggi
1106.11.26 – 08.11.26AnekaRasa “Taj Mahal”Festival makanan halal India
1213.11.26 – 15.11.26Sentral JazzFestival muzik jazz
1320.11.26 – 22.11.26Kids FestPesta kanak-kanak
1427.11.26 – 29.11.26Property+Expo hartanah
1504.12.26 – 06.12.26AnekaRasa “Creamilicious”Festival aiskrim, coklat dan pencuci mulut
1611.12.26 – 13.12.26Hallyu JammFestival muzik K-Pop
1718.12.26 – 20.12.26Hingga Ke JannahEkspo perkahwinan Melayu
1825.12.26 – 03.01.27Aneka Mega SaleJualan mega penghujung tahun