KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2026 — TV AlHijrah, Turquoise Ventures dan Rasniaga Sdn. Bhd. memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menerbitkan dan menyiarkan program televisyen terbaharu, “Beyond The Road: South Africa”. Siri travelog motosikal tersebut menggabungkan elemen pengembaraan, gaya hidup, budaya, komuniti serta penelusuran warisan Islam di Afrika Selatan, sekali gus menawarkan perspektif berbeza mengenai pengalaman masyarakat Islam di negara tersebut. Menerusi kerjasama itu, Turquoise Ventures bertindak sebagai penerbit, TV AlHijrah sebagai penyiar rasmi manakala Rasniaga Sdn. Bhd. berperanan sebagai rakan strategik acara. Program ini akan mengikuti perjalanan 30 penunggang yang menggunakan 15 buah motosikal pengembaraan sepanjang 17 hari penggambaran, bermula dari Centurion sebelum merentasi beberapa lokasi menarik termasuk Clarens, Drakensberg, Hogsback, Great Karoo dan Garden Route, sebelum perjalanan berakhir di Cape Town. Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen TV AlHijrah untuk memperluaskan pendekatan penyampaian kandungan Islam agar terus relevan dengan perubahan minat dan gaya tontonan masyarakat. Menurut beliau, dakwah dan nilai Islam boleh disampaikan melalui pelbagai bentuk yang dekat dengan kehidupan, termasuk menerusi pengalaman mengembara dan pertemuan dengan masyarakat dari latar budaya berbeza. “Beyond The Road: South Africa” bukan sekadar memaparkan perjalanan motosikal dan destinasi, sebaliknya menjadikan setiap perjalanan sebagai ruang untuk mengenali masyarakat, memahami budaya serta menghayati nilai persaudaraan Islam merentasi sempadan. Pengalaman para penunggang akan menjadi elemen utama penceritaan, dengan setiap pertemuan dan destinasi membawa kisah tersendiri yang mengajak penonton melihat dunia daripada perspektif yang lebih luas. Siri yang mengandungi lapan episod berdurasi 30 minit setiap satu itu akan menggunakan pendekatan penceritaan berasaskan pengalaman sebenar. Visual udara sinematik, rakaman GoPro dari atas motosikal, suara dan refleksi penunggang serta interaksi bersama komuniti setempat akan digunakan bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih dekat dan realistik. Setiap episod pula akan dibangunkan menerusi enam segmen utama, iaitu Perjalanan, Destinasi, Komuniti & Budaya, Warisan Islam, Pengalaman Tempatan dan Refleksi Perjalanan. Pendekatan tersebut membolehkan penonton bukan sahaja menikmati keindahan lokasi yang dilawati, malah mengenali sejarah, kehidupan masyarakat Islam, masjid, makanan halal serta pengalaman komuniti setempat. Menurut Namanzee, antara kekuatan utama program tersebut ialah keupayaannya menghubungkan penonton Malaysia dengan komuniti Islam di luar negara menerusi pengalaman yang bersifat manusiawi. Kehidupan masyarakat Islam di Afrika Selatan yang membina komuniti serta mengekalkan warisan mereka dalam persekitaran berbeza turut memberikan gambaran bahawa nilai ukhuwah Islamiah tidak terhad kepada sempadan geografi. Program ini juga selari dengan aspirasi TV AlHijrah, “Satukan Ummah dengan Ilmu”, yang melihat proses pembelajaran bukan hanya berlaku melalui pendidikan formal, tetapi turut boleh diperoleh menerusi perjalanan, sejarah, pengalaman dan interaksi sesama manusia. Kandungan sebegini diharap dapat membuka perspektif penonton terhadap kepelbagaian kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Kerjasama antara tiga pihak berkenaan turut memperluaskan peluang menghasilkan kandungan gaya hidup Islam yang lebih pelbagai dengan menggabungkan unsur hiburan, pendidikan, inspirasi dan refleksi. Sebagai saluran televisyen Islam Free-To-Air berdefinisi tinggi pertama di Malaysia, TV AlHijrah terus memperkaya tawaran kandungannya merangkumi berita, hal ehwal semasa, dakwah, pendidikan, hiburan, gaya hidup, budaya dan kekeluargaan melalui siaran televisyen serta platform digital termasuk aplikasi AlHijrah Plus. Post navigation KONSERT KELATE KL 2026 DITUNDA, TARIKH BAHARU AKAN DIUMUMKAN KELAK KU FAIZ LANCARKAN SINGLE DEBUT “JURANG TAKDIRKU” SEBAGAI LANGKAH SULUNG DALAM INDUSTRI MUZIK