‘Andai Tiada Dia’ Drama Terbaharu Astro Menggali Konflik dalam Perkahwinan

Astro

Astro dengan bangganya mempersembahkan drama bersiri terbaharu berjudul Andai Tiada Dia, yang membawa kisah mendalam mengenai konflik dalam perkahwinan dan perjalanan suami isteri dalam mengharungi cabaran hidup berumah tangga. Drama ini bakal menemui penonton mulai 21 Oktober, setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).

Terbitan syarikat produksi terkemuka, Global Station, Andai Tiada Dia mengangkat tema utama tentang pasangan yang berhadapan dengan tekanan untuk mendapatkan zuriat. Drama ini turut menyentuh isu-isu sensitif yang berlaku dalam institusi perkahwinan, seperti hubungan terlarang antara adik dan abang ipar, serta bagaimana seorang wanita berusaha untuk terus bertahan dalam menghadapi pengkhianatan suaminya. Melalui penceritaan penuh emosi, penonton akan dibawa menyelami pelbagai konflik perkahwinan yang dibentangkan sepanjang 36 episod, mengikut naik turun emosi watak-watak utama.

Sentuhan pengarah berbakat, Riza Baharudin, jelas menyerlah dalam drama ini, dengan gabungan elemen-elemen menarik dan kisah yang dapat menyentuh hati penonton. Drama ini dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, dan Zahiril Adzim, yang masing-masing membawakan watak-watak yang kompleks dengan penuh penghayatan. Menurut pengarahnya, Riza Baharudin, “Pelakon-pelakon dalam drama ini berjaya membawa watak mereka dengan sangat baik, seolah-olah benar-benar berada dalam situasi sebenar. Kerjasama erat mereka telah menyumbang kepada kualiti drama yang tinggi.”

Tambahnya lagi, drama ini turut mengetengahkan elemen-elemen Syariah sebagai panduan buat para penonton, seperti isu berkaitan hubungan antara bukan mahram, prosedur IVF, serta tempoh iddah. Elemen-elemen ini diserapkan ke dalam jalan cerita bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kepada penonton mengenai isu-isu hukum hakam yang berkait rapat dengan kehidupan seharian. “Dengan pengolahan yang teliti dan unsur-unsur Syariah yang dipatuhi, drama ini diharap dapat memberi impak yang mendalam serta menjadi tontonan bermanfaat kepada masyarakat,” ujar Riza.

Drama 'Andai Tiada Dia’

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, Andai Tiada Dia direka khusus bagi mencerminkan realiti kehidupan sebenar dalam kalangan penonton. “Drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai platform untuk membincangkan isu-isu penting dalam kehidupan berumah tangga. Kami mahu ia menjadi cerminan bagi mereka yang sedang melayari kehidupan bersama pasangan, mengimbau kembali pengalaman lampau, atau bagi mereka yang ingin memahami dinamika hubungan sesama manusia,” jelas Idlan.

Kisah Andai Tiada Dia memfokuskan kepada pasangan Suri (lakonan Ummi Nazeera) dan Haikal (Hisyam Hamid) yang telah 7 tahun mendirikan rumah tangga, namun masih belum dikurniakan anak. Suri yang tertekan dengan keadaan itu meminta kebenaran Haikal untuk menjalani prosedur IVF. Namun, Haikal yang sudah selesa tanpa kehadiran anak, enggan memenuhi permintaan tersebut. Kehidupan mereka berubah apabila adik kepada Haikal, Hisyam, meninggal dunia dan meninggalkan seorang bayi berusia 4 bulan. Suri tergerak hati untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat mereka. Konflik semakin memuncak apabila adik Suri, Intan (Mimi Lana), yang tinggal bersama mereka mula menjalinkan hubungan sulit dengan Haikal, merumitkan lagi keadaan rumah tangga Suri.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan drama penuh emosi ini, Andai Tiada Dia juga boleh distrim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka. Dengan barisan pelakon mantap dan jalan cerita yang penuh dengan liku-liku kehidupan, drama ini menjanjikan pengalaman menonton yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga penuh dengan pengajaran.

Untuk pelanggan baharu, Astro kini menawarkan JUALAN JIMAT BESAR dengan harga serendah RM41.99 sebulan, termasuk pemasangan percuma. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati hiburan terbaik di rumah anda. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut mengenai pakej dan cara melanggan Astro sekarang!

Info Drama ‘Andai Tiada Dia’

Sinopsis:

Setelah tujuh tahun mengharungi kehidupan perkahwinan tanpa kehadiran anak, Suri akhirnya merasai kebahagiaan yang diimpikan apabila membuat keputusan untuk membesarkan seorang bayi sebagai anak angkat. Kehadiran bayi tersebut memberikan harapan baru dalam hidupnya, mengisi kekosongan yang dirasainya selama ini. Namun, kebahagiaan yang dijangka akan bertahan lama itu tidak bertahan apabila Suri terpaksa berdepan dengan kenyataan pahit—suaminya, yang selama ini dipercayai, telah berlaku curang dengan adik perempuannya sendiri.

Watak:

Hisym Hamid sebagai Haikal
Ummi Nazeera sebagai Suri
Mimi Lana sebagai Intan
Zahiril Adzim sebagai Falah
Husna Mustaffa sebagai Erma
Lan Siro sebagai Ikhwan
Kodi Rasheed sebagai Rafiq
Mia Nasir sebagai Bainun