ERYSHA EMYRA DIUJI HEBAT DALAM “AKU BUKAN USTAZAH 2”

Apabila kehidupan terus dilanda badai ujian, sejauh manakah kekuatan mampu bertahan? Kembali dengan kisah yang lebih mendalam dan menyentuh hati, Aku Bukan Ustazah 2 bersedia mengambil alih slot ‘Keluarga Itu’ mulai 10 Mei 2025, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam hanya di TV3.

Menampilkan semula watak-watak utama seperti Aminah, Adam dan Omar yang pernah mencuri perhatian penonton, musim baharu ini membawa penonton menyusuri perjalanan penuh liku tentang cinta, pengorbanan, penderitaan dan dendam yang belum terlerai. Diterajui pengarah berbakat besar, Idora Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, drama 35 episod ini menjanjikan pengalaman emosi yang lebih mencengkam berbanding musim terdahulu.

Kali ini, kisah Aminah – lakonan mantap Erysha Emyra disulami dengan elemen kesihatan mental, kekeluargaan dan pergolakan batin yang meruntun jiwa. Barisan pelakon hebat seperti MK K-Clique, Zahiril Adzim, Shaza Bae dan Haneesya Hanee turut kembali menggalas peranan masing-masing, memastikan setiap episod penuh dengan kejutan dan ledakan emosi yang sukar diramal.

Drama ini membuka tirai dengan kebahagiaan Aminah (Erysha Emyra) dan Adam (MK K-Clique) yang sedang menanti kehadiran anak kedua, sambil membesarkan anak sulung mereka, Raykal. Namun, segalanya mula tergugat apabila Omar (Zahiril Adzim) kembali muncul, mengungkit luka lama yang belum sembuh sepenuhnya. Kehadirannya membawa seribu persoalan – adakah dia benar-benar ikhlas, atau tersembunyi niat jahat di sebalik tutur katanya?

Dalam kekalutan emosi dan tekanan yang kian membebani, Aminah mula terperangkap dalam krisis dalaman yang memeritkan. Saat dia hampir tenggelam dalam penderitaan, hadir pula Dr. Syafiq (Nabil Aqil) sebagai penyuluh harapan yang berusaha mengembalikannya ke pangkal jalan.

Mengulas cabaran yang dihadapi, Erysha berkata, “Musim kali ini benar-benar mencabar kerana anda akan lihat sisi Aminah yang paling rapuh. Banyak babak yang menuntut emosi mendalam dan air mata. Saya harap penonton dapat merasai kepedihan yang dilalui Aminah dan menyelami setiap lapisan emosinya.”

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti sambungan kisah penuh dramatik ini dalam Aku Bukan Ustazah 2, bermula minggu ini di TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk kemas kini terkini tentang drama ini, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.