Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) terus mengukuhkan posisinya sebagai platform utama pencarian dan pengiktirafan bakat muzik bebas tempatan. Dalam satu majlis pengumuman eksklusif di ESI Hub, Spacerubix, penganjur secara rasmi mengumumkan 15 finalis terbaik bagi tiga kategori utama: Pop, Rock dan Hip Hop, sekali gus menghampiri detik kemuncak edisi kelima ini.
ALI24 kekal sebagai medan penting yang meraikan karya dan suara asli dari komuniti muzik indie Malaysia. Dengan barisan juri profesional dan berpengalaman seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid dan Wing Meng, pemilihan dilakukan secara teliti untuk mengenal pasti karya paling menonjol dan autentik.
Meneruskan tradisi edisi terdahulu, ALI24 menawarkan jumlah hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM36,000 untuk tiga kategori utama Pop Terbaik, Rock Terbaik dan Hip Hop Terbaik. Selain itu, dua anugerah khas iaitu Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita turut dipertandingkan, memberi penghargaan kepada kreativiti dan persembahan cemerlang yang mencuri perhatian sepanjang tahun.
Daripada 630 penyertaan lagu yang diterima dari seluruh negara, hanya 15 karya berjaya mara ke pentas akhir. Para finalis ini akan mempersembahkan lagu mereka secara langsung di hadapan barisan juri dan pemerhati industri dalam acara kemuncak Pentas Akhir ALI24 pada 27 Julai 2025.

Menurut Ahmed Faris Amir, Penerbit Eksekutif ALI, “Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Anugerah Lagu Indie konsisten menjadi ruang inklusif yang meraikan kepelbagaian dan keunikan muzik indie tempatan. Dengan 630 penyertaan tahun ini, jelas membuktikan bahawa muzik indie semakin diterima dan berkembang pesat dalam ekosistem muzik arus perdana.”
Jennifer Thompson, selaku Penerbit Eksekutif Bersama, turut menambah, “Penilaian dilakukan berdasarkan 70% markah juri profesional dan 30% undian awam di laman rasmi anugerahlaguindie.com.my. Kriteria utama termasuk keaslian, mutu produksi serta kekuatan lirik dan melodi.”
Anugerah Lagu Indie 2024 mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan, serta Gaya Hidup Rakan Muzik, Rakan Muda, dan radio rasmi Rakita 107.9. Media rakan strategik termasuk Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS, turut memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Pentas Akhir ALI24 secara langsung di saluran YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie pada 27 Julai 2025, jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Raikan semangat muzik indie Malaysia bersama kami!