Adilah mahu dikenali sebagai duta pakaian tradisional

Adilah mahu dikenali sebagai duta pakaian tradisional

MEMBINA kerjaya dalam bidang pengiklanan selama enam tahun, wanita ini tidak pernah kesal meninggalkannya demi membantu perniagaan milik ibunya.

Bagi Adilah Ahmad Khairudin, ia sebagai cabaran untuknya meneruskan legasi perniagaan keluarga yang dibina ibunya hampir 20 tahun itu.

Meskipun berlainan bidang, tunjuk ajar dan sokongan padu ibunya, Syarifah Naemah Syed Hassan menjadi tulang belakang buat Adilah menguruskan butik pakaian tradisional, Poya sejak lapan tahun lalu.

Kini, setelah hampir dua dekad, Poya yang mula bertapak di Pusat Membeli Belah Bangsa (Bangsar Shopping Center) dan Empire Shopping Gallery di Subang Jaya, semakin dikenali terutamanya dalam kalangan golongan elit.

Wanita berusia 36 tahun ini sentiasa bersemangat dan optimis dalam mengejar cita-citanya yang mahu dikenali sebagai duta pakaian tradisional Melayu.

‘Poya’ sempena nama panggilan ibu

Berkongsi keunikan nama butiknya, Poya, Adilah berkata, ia diambil sempena nama ibunya yang mesra dipanggil sebagai ‘Pohya’ dalam kalangan keluarganya.

Menurut Adilah, Poya menawarkan busana tradisional dengan pilihan fabrik, penggunaan warna yang pelbagai serta material yang berkualiti tinggi.

Antara yang ditawarkan adalah busana tradisional seperti baju kurung, baju kurung moden, baju kurung cekak musang, baju kurung kedah dan baju kebaya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan selain baju kemeja batik untuk lelaki dan kanak-kanak lelaki.

Bermula dari rumahMengimbas permulaan Poya, Adilah memberitahu segalanya bermula kerana sikap ibunya yang gemar berniaga bagi mencari pendapatan sampingan meskipun bekerja di sebuah bank.

“Ibu bermula dari rumah yang dijadikan ruang pameran barangan yang dijual. Pelbagai barangan perhiasan wanita dan kelengkapan rumah dijual.

“Pada ketika itu, ibu selalu ke luar negara, antaranya ke Korea dan Indonesia untuk mendapatkan barangan. Kawan-kawannya akan datang ke rumah untuk membeli,” katanya yang diajar untuk melayani pelanggan oleh ibunya sejak di bangku sekolah lagi.

Bertitik tolak dari situ, ibunya mendapatkan gerai jualan untuk berniaga dan akhirnya diberi peluang untuk membuka perniagaan di Bangsar Shopping Center pada tahun 2000.

Namun kata Adilah, mereka haruslah menjual pakaian tradisional berdasarkan permintaan memandangkan tiada butik pakaian seumpama itu di pusat membeli belah pada ketika itu.

“Dengan modal daripada Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), ibu menyahut cabaran membuka butik pakaian tradisional. Meskipun, tidak tahu menjahit, ibu yakin boleh lakukan,” katanya yang berbangga ibunya memiliki semangat dan daya juang yang tinggi.

Tambahnya, sokongan daripada ahli keluarga juga banyak membantu.

“Kami bermula dengan baju kurung pahang dan mencari tukang jahit yang mahir untuk menjahit pakaian tradisional ini. Seiring perjalanan masa, pelbagai jenis pakaian dihasilkan dan ilmu mengenai pakaian tradisional juga semakin bertambah.

“Alhamdulillah, bermula dari situlah Poya semakin dikenali dan dilihat sebagai peneraju yang membawakan seleksi pakaian tradisional siap pakai untuk wanita moden,” katanya ketika ditemubual Sinar Harian di butiknya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Cabaran

Akui Adilah, pemakaian busana tradisional pada majlis-majlis tertentu pada ketika ini sedikit sebanyak memberi cabaran untuk perniagaannya terus berkembang.

Wanita kini memakai pakaian tradisional hanya pada waktu tertentu seperti hari raya, perkahwinan, majlis makan malam dan sebagainya.

Justeru katanya, rekaan yang dihasilkan oleh Poya kini mengikut aliran zaman, namun masih mengekalkan identiti tradisional tersebut.

“Bagi memastikan ia mengikut aliran zaman, rekaan pakaian di Poya juga mempunyai konsep kontemporari. Tapi masih kekalkan identiti tradisional.

“Walaupun Poya menghasilkan baju kurung, kami sentiasa lakukan peningkatan terutamanya dari sudut potongan dan jenis fabrik.

“Meskipun pakaian tradisional ia perlu sentiasa variasi. Ini perlu bagi menarik perhatian khususnya generasi muda untuk lebih gemar memakai pakaian tradisional ini,” katanya.

Menurut Adilah lagi, selain menawarkan pakaian tradisional, Poya juga menawarkan khidmat nasihat untuk pelanggannya dalam mendapatkan pakaian bersesuaian dengan majlis yang dihadiri.

Ini kerana katanya, pelanggan di Poya bukan hanya masyarakat Melayu sahaja, sebaliknya berbilang bangsa terutamanya di butik Poya di Empire Shopping Galery.

Diri adalah dutaBagi memastikan busana tradisional tak lapuk dek zaman, Adilah menganggap dirinya sebagai ‘duta’ dalam mempromosikan pakaian itu.

“Untuk pastikan pakaian tradisi ini dikenali, saya sendiri perlu mempromosinya. Saya pakai baju tradisional ini dan mahu diingati dengan pemakaian saya yang akhirnya mendorong lebih ramai berminat untuk memakai pakaian tradisional ini,” katanya.

Adilah berkata, dengan pakaian tradisional ia boleh dipakai sepanjang masa tanpa bimbang berbanding pakaian yang mengikut trend.

Platform dalam talian

Selain jualan di dua buah butik, Poya juga tidak ketinggalan menggunakan platform dalam talian bagi menarik pelanggan khususnya generasi baru.

“Bila saya mengambil alih perniagaan ini, saya wujudkan laman sesawang dan media sosial untuk Poya. Ini lebih memudahkan untuk meluaskan lagi pasaran Poya termasuk menggunakan platform Zalora,” katanya yang turut menggunakan pengalamannya dalam bidang pengiklanan untuk meluaskan lagi jaringan pasaran.

Kata Adilah, platform dalam talian menjadi segmen terpenting untuk Poya dan akan diperkukuhkan lagi.

“Kita mendapat ramai pelanggan menerusi media sosial. Tetapi mereka juga datang ke butik untuk melihat dan merasai sendiri fabrik sebelum membeli,” katanya.

Menurutnya, pelanggan daripada kategori umur pertengahan lebih gemar datang ke butik berbanding generasi muda yang gemar membeli-belah di atas talian.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan Poya kekal relevan, Adilah berkata, pemilihan fabrik dan cetakan yang ikonik menjadi keutamaannya.

“Untuk pastikan Poya kekal, kami perlu mencipta fabrik yang cantik dan cetakan lebih ikonik. Ini perlu bagi memastikan pakaian tradisional tampak bergaya dalam masa sama kekal identiti tradisi,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *