Memiliki tubuh badan yang cergas dan mengamalkan gaya hidup aktif tidak semestinya menjamin seseorang lelaki mempunyai tahap kesuburan yang normal. Masalah kualiti sperma boleh berlaku tanpa tanda-tanda ketara dan hanya diketahui apabila pasangan mengalami kesukaran mendapatkan zuriat.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan negara menurun kepada 1.5 orang anak bagi setiap wanita pada 2025. Dalam masa sama, faktor lelaki dianggarkan menyumbang sekitar 40 hingga 50 peratus daripada kes ketidaksuburan, sama ada secara bersendirian atau bersama faktor kesuburan wanita.
Dr Samantha Tee Mei Li, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), menjelaskan bahawa ramai lelaki yang mendapatkan pemeriksaan kesuburan berada dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an. Kebanyakan mereka kelihatan sihat tanpa simptom yang jelas.

Antara faktor yang boleh menjejaskan kualiti sperma termasuk varikokel, ketidakseimbangan hormon, diabetes, obesiti, merokok dan pengambilan alkohol berlebihan. Pendedahan kepada haba yang kerap serta penggunaan vape juga boleh memberi kesan terhadap kesuburan lelaki.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan testosteron dan steroid anabolik, khususnya dalam kalangan individu yang aktif dalam bina badan, boleh menyekat penghasilan sperma sehingga tiada sperma dikesan dalam air mani. Proses pemulihan selepas menghentikan penggunaan bahan tersebut mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Bagi mengenal pasti masalah ini, analisis air mani merupakan antara pemeriksaan utama yang boleh dilakukan. Ujian tersebut menilai jumlah sperma, keupayaan pergerakannya serta bentuk dan strukturnya. Keputusan yang tidak normal bagaimanapun tidak semestinya bermaksud seseorang lelaki itu mandul.
Sekiranya masalah kesuburan dikenal pasti, pilihan rawatan bergantung pada punca dan keadaan pasangan. Antaranya termasuk perubahan gaya hidup, rawatan hormon, pembedahan serta kaedah reproduktif berbantu seperti IUI, IVF dan ICSI. Dalam kes tertentu, sperma juga boleh diperoleh secara langsung daripada testis untuk digunakan dalam rawatan IVF bersama ICSI.
Dr Samantha turut menyarankan pasangan mendapatkan pemeriksaan kesuburan selepas 12 bulan mencuba untuk hamil tanpa menggunakan kaedah pencegahan kehamilan, atau selepas enam bulan sekiranya isteri berusia 35 tahun ke atas. Pasangan yang mempunyai masalah kesuburan diketahui atau wanita berusia lebih 40 tahun pula disarankan mendapatkan penilaian lebih awal.
Menurut beliau, kesuburan merupakan tanggungjawab bersama dan kedua-dua pasangan wajar menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti punca serta pilihan rawatan yang sesuai. Pemeriksaan awal bukan sahaja membantu mendapatkan gambaran tentang kesihatan reproduktif, malah membuka peluang untuk mendapatkan bantuan pada masa yang tepat.












