Louis Cheung Kembali ke Malaysia Menerusi Konsert “This Is Louis” Live in Malaysia 2027

Penyanyi, penulis lagu dan pelakon Hong Kong, Louis Cheung (张继聪), bakal kembali ke Malaysia menerusi konsert “This Is Louis” Live in Malaysia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac 2027, jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Dibawakan oleh Resorts World Genting dengan Jazzy Group sebagai penganjur konsert, persembahan ini menjanjikan sebuah malam yang menggabungkan muzik, cerita dan kenangan, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengenali sisi peribadi Louis di sebalik perjalanan kerjayanya.

Dikenali dengan gaya tersendiri dan personaliti yang bersahaja, Louis telah membina pengikut menerusi penglibatannya dalam bidang muzik, filem, televisyen dan teater. Antara karya muziknya yang dikenali termasuk “Mad U So”, “循环线” (Circular Line), “David Harleyson” dan “玻璃窗的我” (Behind the Glass Window).

Selain menghasilkan karya sendiri, Louis turut mempunyai pengalaman menulis lagu untuk artis lain, termasuk Eason Chan (陈奕迅), Kay Tse (谢安琪) dan MIRROR. Karya-karyanya merangkumi pelbagai suasana, daripada lagu yang ceria dan bebas kepada komposisi yang lebih menyentuh perasaan.

Walaupun semakin mendapat perhatian menerusi lakonannya di layar dan pentas, muzik kekal sebagai sebahagian penting dalam perjalanan seninya. Menerusi konsert “This Is Louis”, peminat bakal dibawa menelusuri perkembangan kreatifnya melalui lagu-lagu daripada pelbagai fasa kehidupan, termasuk karya terdahulu dan komposisi terbaharu.

Dengan tema cinta, keluarga, hubungan dan perkembangan diri, persembahan ini turut memberi gambaran tentang pengalaman serta inspirasi di sebalik lirik yang dihasilkan. Peminat juga berpeluang mendengar perkongsian anekdot peribadi dan sisi humor Louis yang menjadi sebahagian daripada personalitinya.

Bagi mereka yang lebih mengenali Louis menerusi lakonan, konsert ini menjadi peluang untuk melihatnya daripada perspektif berbeza sebagai seorang pemuzik dan pencerita. Lagu-lagu yang pernah didengari sebelum ini bakal dihidupkan semula melalui pengalaman dan sudut pandangnya hari ini.

Tiket konsert ditawarkan pada harga RM928 bagi kategori VIP, RM828 (PS1), RM628 (PS2), RM428 (PS3) dan RM228 (PS4), tidak termasuk fi pemprosesan sebanyak RM4 bagi setiap tiket.

Jualan awal atau Early Bird akan dibuka pada 19 November 2026, jam 12 tengah hari, dengan diskaun sebanyak 25% untuk kategori VIP hingga PS3, sementara stok masih tersedia. Selepas tempoh jualan awal berakhir, pemegang Genting Rewards Card pula boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak 10 peratus bagi kategori VIP hingga PS3 apabila membuat pembelian menggunakan wang tunai, kad kredit atau penebusan Genting Points.

Peminat boleh mendapatkan tiket serta maklumat lanjut menerusi laman web rasmi atau mengikuti saluran media sosial rasmi Resorts World Genting dan Jazzy Group.