Peminat muzik bakal menikmati pengalaman hiburan yang lebih besar apabila Ultra Kalcer Malaysia 2026 menghimpunkan 19 artis popular dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah festival muzik yang bakal berlangsung di KL Festival Park, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November 2026. Dianjurkan oleh Neptunes Presents, festival ini bakal menjadi ruang pertemuan peminat muzik serantau dengan gabungan persembahan daripada artis legenda, bintang popular serta bakat baharu yang membawa warna tersendiri dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia. Antara nama besar dari Indonesia yang bakal menghiasi pentas termasuk Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights. Tidak ketinggalan, barisan artis Malaysia turut menyertai festival ini menerusi persembahan daripada Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo. Menurut pihak penganjur Neptunes Presents, persiapan rapi sedang dilakukan bagi memastikan Ultra Kalcer Malaysia 2026 memberikan pengalaman festival yang istimewa kepada para pengunjung. Festival ini bukan sekadar meraikan muzik, tetapi turut mengetengahkan hubungan budaya dan kreativiti antara Malaysia dan Indonesia menerusi karya-karya yang dekat dengan hati peminat kedua-dua negara. Setiap artis yang terlibat juga sedang membuat persiapan bagi memberikan persembahan terbaik, manakala senarai lagu yang bakal dibawakan masih dirahsiakan sehingga hari acara berlangsung. Pemilihan KL Festival Park sebagai lokasi penganjuran dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik serta kemampuannya menampung lebih 20,000 pengunjung dalam satu masa. Tiket Ultra Kalcer Malaysia 2026 telah mula dijual sejak 4 September 2026 menerusi platform rasmi BBO Events, memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan sendiri gabungan muzik dan budaya Nusantara dalam satu festival. Dengan gabungan artis ternama, suasana festival yang meriah serta pengalaman muzik yang menghubungkan dua negara, Ultra Kalcer Malaysia 2026 dijangka menjadi salah satu acara hiburan yang dinantikan tahun ini. Post navigation Lokarya Bawa Kisah Harapan dan Emosi Menerusi Dua Single Baharu Sebelum Album Sulung