KDYMM Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba di Muzium Tekstil Merdeka yang terletak di Presint Merdeka 118 bagi menyempurnakan perasmian pembukaannya, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memelihara dan meraikan kekayaan warisan tekstil Alam Melayu.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2026 — PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), secara rasmi membuka Muzium Tekstil Merdeka (MTM), sebuah destinasi kebudayaan baharu yang memberi tumpuan kepada usaha memelihara, mengkaji dan mengangkat warisan tekstil Alam Melayu kepada generasi masa kini dan akan datang.

Pembukaan rasmi muzium tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan. Turut hadir ialah tokoh-tokoh kenamaan termasuk Tan Sri Dr. Ungku Zeti Ungku Aziz, YB Puan Hannah Yeoh, Tan Sri Shamsul Azri dan Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, selain ahli Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan PNB dan PNB Merdeka Ventures.

Terletak bersebelahan Stadium Merdeka yang bersejarah di dalam bangunan Look at 118, MTM mengangkat tema “The Malay World in Threads and Tales” sebagai asas penceritaannya. Muzium ini mempunyai aspirasi untuk menjadi antara muzium tekstil terkemuka di Asia, selain berperanan sebagai pusat rujukan global bagi pengajian, penyelidikan dan penghayatan terhadap tekstil Alam Melayu.

KDYMM Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan Muzium Tekstil Merdeka, disaksikan oleh (dari kiri) Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Tan Sri Dr. Ungku Zeti Ungku Aziz, Pengerusi Pengasas dan Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor Asia School of Business; YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); Tan Sri Shamsul Azri, Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Dato’ Seri Raja Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB); dan Dato’ Rick Ramli, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB. Muzium ini merupakan destinasi kebudayaan baharu yang didedikasikan untuk memelihara dan meraikan kekayaan warisan tekstil Alam Melayu.

Muzium berkenaan menampilkan lapan galeri bertema yang diinspirasikan daripada motif Bunga Pecah Lapan. Setiap galeri meneroka pelbagai aspek evolusi tekstil Alam Melayu, termasuk budaya benda, seni pertukangan, simbolisme, kerohanian, politik, kesusasteraan serta masa depan tradisi tekstil. Pengalaman pengunjung turut diperkaya menerusi gabungan artifak asli, teknologi interaktif dan elemen pelbagai deria.

Dalam titahnya, Raja Permaisuri Agong menegaskan bahawa setiap negara mempunyai warisan yang perlu dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Seri Paduka Baginda berharap MTM dapat menjadi pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting kepada masyarakat, selain menjadi sumber inspirasi khususnya kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

Seri Paduka Baginda turut menyeru golongan muda supaya terus menghargai warisan dan budaya negara agar khazanah berharga tersebut tidak hilang ditelan zaman. Penekanan terhadap generasi muda ini dilihat penting bagi memastikan pengetahuan mengenai seni, tradisi dan nilai yang terkandung dalam tekstil Alam Melayu terus berkembang serta diwarisi.

Antara tarikan utama MTM ialah koleksi peribadi Allahyarhamah Puan Azah Aziz yang menjadi teras kepada penubuhan muzium tersebut. Tokoh budaya berkenaan dikenali atas sumbangannya dalam bidang pendidikan serta usaha memelihara tradisi tekstil dan warisan seni Malaysia. Koleksi yang disumbangkan oleh keluarga beliau kepada PNB itu merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat meninjau galeri-galeri di Muzium Tekstil Merdeka sambil menghayati koleksi tekstil serta kisah-kisah yang mengetengahkan kekayaan warisan budaya Alam Melayu.

Penubuhan MTM turut mendapat inspirasi daripada karya penting Allahyarhamah Puan Azah Aziz, Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat. Edisi bahasa Inggeris karya tersebut yang dilancarkan pada 2025 pula membantu memperluaskan pengenalan terhadap warisan tekstil Melayu kepada khalayak antarabangsa.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, berkata Merdeka 118 bukan sekadar sebuah mercu tanda seni bina, sebaliknya turut mencerminkan kepercayaan PNB bahawa pembangunan negara merangkumi usaha memelihara warisan, kisah dan identiti bersama yang membentuk kehidupan rakyat Malaysia merentasi generasi.

MTM turut melengkapkan rangkaian tarikan di presint Merdeka 118, yang merangkumi The Look at 118, The View at 118, 118 Mall yang bakal dibuka serta Stadium Merdeka yang telah dipulihara. Kesemua tarikan tersebut membentuk sebuah destinasi bersepadu yang menggabungkan elemen warisan, budaya, beli-belah, gastronomi dan pengalaman bertaraf dunia.

Kini dibuka kepada orang ramai, MTM mengalu-alukan rakyat Malaysia serta pengunjung antarabangsa untuk meneroka sejarah, menghayati seni dan memahami kekayaan warisan tekstil Alam Melayu. Dalam fasa awal pembukaannya, kunjungan adalah secara berkumpulan mengikut slot yang ditetapkan dan pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana muzium belum menerima kunjungan tanpa tempahan.

Untuk maklumat lanjut mengenai waktu operasi, tempahan tiket dan pameran yang sedang berlangsung, layari laman web Merdekatextile.com atau ikuti saluran media sosial @MerdekaTextileMuseum.