KUALA LUMPUR, 3 OGOS 2026 — TV AlHijrah menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi rangkaian pengisian khas yang berlangsung dari Ogos hingga September 2026. Sebanyak tujuh program disediakan dengan membawa mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW, perpaduan, keharmonian dan semangat cintakan tanah air, selari dengan usaha stesen penyiaran Islam itu untuk menyampaikan kandungan yang dekat dengan masyarakat.

Kempen Maulidur Rasul bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos 2026, manakala Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” berlangsung dari 29 Ogos hingga 16 September 2026. Kedua-dua kempen ini disusun bagi membawa penonton daripada penghayatan terhadap sunnah dan akhlak Rasulullah SAW kepada penerapan nilai tersebut dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata kedua-dua kempen berkenaan mengangkat nilai kasih sayang, amanah, keadilan, toleransi dan sikap saling menghormati yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang kukuh. Menerusi pengisian yang disediakan, TV AlHijrah mahu menggalakkan penonton mengenali, mencintai dan mencontohi Rasulullah SAW serta mengamalkan akhlak Baginda dalam usaha memelihara perpaduan dan kesejahteraan negara.

Antara program utama ialah Kapsul Jejak Cinta Rasul yang mengetengahkan amalan sunnah Rasulullah SAW dalam bentuk santai, praktikal dan sesuai dengan kehidupan moden. Program yang menampilkan bakat dalaman TV AlHijrah ini bersiaran setiap hari pada pukul 7:25 malam bermula 10 Ogos 2026. Sementara itu, NUR26 Hijrah Malam Cinta Rasul yang dihasilkan melalui kerjasama strategik Istana Budaya dan TV AlHijrah akan menampilkan tausiyah, selawat serta persembahan nasyid daripada barisan pengisi termasuk Inteam, Hijjaz, Zayne dan beberapa tokoh agama serta penggiat seni.

Pengisian sempena Maulidur Rasul turut merangkumi Quran@114 Khas Maulidur Rasul pada 25 Ogos dan Quran@114 Khas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Program tersebut mengetengahkan tadabbur ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan akhlak, sirah serta peranan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil ‘alamin, sekali gus menghubungkan penghayatan agama dengan kehidupan seharian.

Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pula, TV AlHijrah memperkenalkan Podcast 3 in 1 yang menampilkan Ustaz Don, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah dan Adam Corrie. Program bual bicara santai ini membawa mesej berkaitan Islam, perpaduan dan kecintaan kepada Malaysia menerusi pendekatan dakwah yang inklusif serta mudah didekati oleh masyarakat.

Kapsul Ulama Kemerdekaan turut menjadi antara pengisian istimewa yang mengangkat kisah perjuangan ulama sebagai antara pemangkin kepada kemerdekaan dan pembinaan negara. Dikendalikan oleh Ustaz Rozi Harun, program ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 7:25 malam bermula 7 September 2026, memberikan perspektif sejarah dan keagamaan mengenai sumbangan tokoh ulama kepada negara.

Dalam pada itu, Hijrah Berselawat Uniform kembali dengan menghimpunkan wakil badan beruniform negara untuk bersama-sama berselawat dan berqasidah dalam seragam masing-masing. Program yang menampilkan Inteam bersama wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera ini mengetengahkan nilai kerohanian, disiplin, pengorbanan serta patriotisme.

Melengkapi kempen tersebut ialah Kapsul Sebarkan Salam Perpaduan yang membawa konsep taayush atau keharmonian hidup bermasyarakat menerusi interaksi positif antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim. Program ini menampilkan Fahmi Zainal, Ady Huzaidi dan Daod Nurdin dalam pelbagai aktiviti harian seperti riadah, makanan, hobi serta kegiatan komuniti untuk menunjukkan bagaimana masyarakat daripada latar belakang berbeza boleh bekerjasama dan membina persefahaman.

Menurut Namanzee, keseluruhan pengisian ini mencerminkan peranan TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah berusaha menyatukan ummah. Beliau turut menekankan bahawa kecintaan kepada negara perlu dibina melalui kefahaman, rasa hormat dan tanggungjawab bersama, manakala semangat Malaysia MADANI perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, menghargai kepelbagaian dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Rangkaian program khas sempena Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini boleh disaksikan menerusi saluran TV AlHijrah serta platform digital rasmi TV AlHijrah. Dengan gabungan kandungan berbentuk keagamaan, sejarah, perpaduan dan patriotisme, kempen tersebut diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia sambil memperkukuh penghayatan terhadap nilai agama dan kecintaan kepada negara.