Industri muzik tanah air menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila syarikat rakaman Icon Records (M) Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment Malaysia bergabung tenaga menganjurkan sidang media pelancaran karya istimewa berjudul Yang Tinggal di Heritage Club, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. Kolaborasi mega ini bukan sekadar projek promosi biasa, sebaliknya menjadi platform pertemuan tiga figura seni berpengaruh dengan identiti muzik tersendiri iaitu Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman, di samping memperluaskan capaian mesej yang sarat dengan nilai kehidupan. Dicipta oleh Malique bersama komposer Tripdisz, Yang Tinggal membawa naratif kemanusiaan yang mendalam mengenai kehilangan, pengorbanan, peperangan dan sisa harapan yang masih bertahan dalam jiwa manusia. Kekuatan penceritaan lagu ini digerakkan oleh gabungan idea kreatif Malique dan lontaran vokal beremosi Zizi Kirana, selain diperkaya dengan sentuhan koir Voices of Bilad al-Sham daripada Cinta Salam Malaysia yang memberikan dimensi spiritual serta kesan audio yang meruntun jiwa pendengar. Di sebalik kemegahan susunan muziknya, terselit sebuah kisah penuh emosi apabila rakaman vokal Yasin Sulaiman dilakukan ketika beliau masih berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta. Proses rakaman luar biasa dalam ruang yang serba berbeza daripada studio konvensional itu memberikan jiwa dan keaslian yang cukup peribadi terhadap keseluruhan lagu. Selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan, kehadiran Yasin di hadapan rakan media melengkapkan kitaran perjalanan karya tersebut bermula daripada suara yang dirakam di sebalik dinding rawatan, sehinggalah kini beliau berdiri teguh meraikannya di alam bebas. Sidang media ini turut menjadi detik penting bagi pembukaan fasa baharu kerjaya seni Yasin di bawah naungan Icon Records. Pengarah Icon Records, Iman Tang, menegaskan bahawa kerjasama ini bukan bersifat sementara atau tertumpu kepada sebuah single sahaja, sebaliknya merupakan perancangan jangka panjang untuk memberi ruang kepada Yasin kembali berkarya mengikut kematangan dan kekuatannya sebagai pencipta lagu serta penerbit. Usaha ini bertujuan memastikan Yasin mempunyai platform yang positif dan terancang untuk membina semula langkah seninya secara berperingkat. Bagi Yasin sendiri, Yang Tinggal membawa pengertian yang amat mendalam tentang sebuah kembara hidup. Ia membuktikan bahawa di sebalik setiap kepayahan dan kehilangan, masih ada ruang untuk suara, seni dan harapan melangkah ke hadapan. Karya ini menjadi manifestasi bahawa apa yang masih tinggal bukanlah pengakhiran, melainkan sebuah permulaan untuk menyusun semula lembaran hidup yang baharu. Post navigation Kudrat 1968: High Council Cetus Fenomena Baharu, Gegarkan House of Kudrat Universal Music Malaysia & Rakan Strategik Takluk Pentas AIM 25 di Sarawak