KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2026 – HSS Holdings Berhad (“HSS Holdings” atau “Kumpulan”), sebuah syarikat produk bakeri yang terlibat terutamanya dalam penyumberan, perdagangan dan pembuatan produk bakeri, hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (“S2TK2026”), dengan merekodkan hasil sebanyak RM25.7 juta dan keuntungan kasar (GP) sebanyak RM4.5 juta. Hasil yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding RM48.1 juta pada suku sebelumnya (“S1TK2026”), yang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya. Sebaliknya, S2TK2026 mencerminkan corak permintaan bermusim yang lebih rendah, selaras dengan keadaan perniagaan yang lazimnya berlaku ketika tempoh luar puncak. Kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.4 juta bagi S2TK2026, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.6 juta pada S1TK2026. Prestasi suku tersebut terjejas terutamanya akibat hasil yang lebih rendah dalam tempoh luar puncak serta pengiktirafan perbelanjaan sekali sahaja berjumlah kira-kira RM2.9 juta berkaitan penyenaraian HSS Holdings di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 Jun 2026. Sekiranya perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja tersebut tidak diambil kira, Kumpulan akan mencatatkan PBT terlaras kira-kira RM0.5 juta bagi S2TK2026. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (“1HFY2026”), Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM73.8 juta dan keuntungan kasar sebanyak RM14.3 juta. Pengarah Urusan HSS Holdings, Encik Goh Chen Chang, berkata prestasi S2TK2026 perlu dilihat berdasarkan sifat bermusim perniagaan Kumpulan, memandangkan suku sebelumnya menerima manfaat daripada permintaan yang lebih tinggi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya. Selain faktor bermusim, keputusan kewangan yang dilaporkan bagi suku tersebut turut dipengaruhi oleh perbelanjaan sekali sahaja berkaitan proses penyenaraian HSS Holdings. Beliau berkata, selepas kejayaan penyenaraian, fokus Kumpulan kini adalah untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pertumbuhan seperti yang digariskan dalam prospektus. Sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan bagi memperkukuh keupayaan pengeluaran, termasuk memperkenalkan barisan pengeluaran biskut baharu, menaik taraf barisan pengeluaran biskut sedia ada, melaksanakan automasi di bahagian belakang bagi proses pengeluaran terpilih serta membangunkan barisan pengeluaran kek automatik baharu. Pelaburan tersebut dijangka membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, mempertingkat kecekapan operasi serta memperluaskan rangkaian produk Kumpulan. Prospek pasaran produk bakeri Malaysia juga kekal positif dengan industri tersebut dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh akan datang. Berdasarkan Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas yang didedahkan dalam prospektus HSS Holdings, pasaran produk bakeri Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 7.8% antara 2026 hingga 2030, sekali gus mencecah nilai kira-kira RM34.80 bilion menjelang 2030. Mengulas mengenai prospek Kumpulan, Encik Goh berkata pertumbuhan pasaran produk bakeri membuka peluang kepada HSS Holdings untuk memperkukuh kehadirannya serta meningkatkan bahagian pasaran. Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada inovasi produk, pengembangan pasaran, pembangunan jenama dan penambahbaikan operasi bagi mengukuhkan daya saing serta menyokong pertumbuhan jangka panjang HSS Holdings. Post navigation Kuala Lumpur Bakal Jadi Hab Kopi Asia Menerusi Festival Kopi dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 GTA Holdings Lancar IPO RM71.75 Juta, Perkukuh Pengembangan MRO Penerbangan