Bidas Dakwaan KARYAWAN, RIM Menegaskan Hasil Muzik Melonjak dan Gesa Ahli Berdaftar dengan Badan Hak Cipta

Isu kebajikan penggiat seni tidak boleh diselesaikan secara retorik tanpa rekod pendaftaran sah.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mendedahkan senarai keahliannya bagi membolehkan semakan status pendaftaran dibuat bersama Badan Pengurusan Kolektif (CMO) seperti Recording Performers Malaysia (RPM).

Langkah tersebut disifatkan kritikal kerana royalti hanya dapat diagihkan kepada pelaku atau pencipta yang berdaftar secara rasmi di bawah kerangka undang-undang sedia ada. RIM berpandangan KARYAWAN perlu proaktif membimbing ahli menyertai CMO yang sah dan bukannya menunding jari terhadap proses pengagihan.

Pada masa sama, RIM memperbetulkan fakta salah yang mendakwa Public Performance Malaysia (PPM) adalah anak syarikat atau milik RIM. PPM merupakan entiti bebas dengan tadbir urus dan lembaga pengarah tersendiri. Ketidaktepatan fakta seumpama ini didakwa hanya mengeruhkan pemahaman industri.

Mengenai tindakan undang-undang mencabar Garis Panduan Hak Cipta 2025 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), RIM menjelaskan tindakan semakan kehakiman oleh MACP, PPM dan RPM bukanlah penolakan terhadap ketelusan. Sebagai ahli badan bertaraf antarabangsa seperti CISAC, IFPI dan SCAPR, ketiga-tiga CMO tersebut terikat dengan piawaian audit antarabangsa. Semakan kehakiman difailkan semata-mata bagi menyelesaikan peruntukan tertentu yang bermasalah demi melindungi kepentingan semua pihak secara adil.