KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 – Astro sekali lagi mengangkat bakat dan nostalgia menerusi kemunculan semula program realiti popular Kilauan Emas, kali ini dengan pembaharuan menerusi edisi Kilauan Emas Selebriti. Program berkenaan bakal menemui penonton bermula 22 Ogos 2026, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105), serta boleh distrim melalui On Demand, Astro GO dan Sooka. Berbeza dengan musim terdahulu yang mengetengahkan peserta daripada orang awam, Kilauan Emas Selebriti 2026 menghimpunkan barisan selebriti veteran terkenal Malaysia yang bukan terdiri daripada penyanyi profesional. Bagi mengekalkan keaslian konsep pertandingan, setiap peserta mestilah warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas, tidak pernah menerima latihan nyanyian secara profesional, serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik. Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Kilauan Emas Selebriti bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian, sebaliknya membawa misi yang lebih besar melalui konsep “Talent That Gives Back”. Menurut beliau, setiap kemenangan mingguan akan disertai dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform hiburan yang turut memberi manfaat kepada komuniti seni tanah air. Beliau turut menjelaskan bahawa musim baharu ini memperkenalkan segmen khas “Telan Kaset”, yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tempatan pada setiap minggu. Segmen tersebut diwujudkan bagi mengimbau nostalgia penonton sambil menghidupkan semula kenangan terhadap lagu-lagu malar segar yang pernah mewarnai industri muzik tempatan. Sebanyak 10 selebriti veteran bakal bersaing di pentas Kilauan Emas Selebriti 2026 dengan membawa misi kebajikan menerusi setiap kemenangan yang diraih. Hadiah kemenangan mingguan akan disalurkan dalam bentuk sumbangan kepada golongan yang memerlukan, sekali gus menjadikan persaingan yang berlangsung lebih bermakna. Menghangatkan lagi program ini ialah kepulangan Raja Azura sebagai pengacara utama selepas pernah mengendalikan Kilauan Emas dari musim pertama hingga musim kelima. Beliau akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara, manakala barisan juri tetap menampilkan Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU. Setiap minggu turut menyaksikan kehadiran juri jemputan bagi memberikan penilaian kepada persembahan para peserta. Kilauan Emas Selebriti 2026 turut mendapat sokongan daripada Astro Gempak sebagai rakan digital dan SINAR selaku rakan radio rasmi. Program ini juga boleh distrim menerusi Astro GO, On Demand dan Sooka bagi memudahkan penonton mengikuti setiap episod pada bila-bila masa. Program ini dibawakan khas oleh Arabic Gold menerusi tema “Emas Tetap Emas”, yang melambangkan penghargaan terhadap pengalaman, jasa serta nilai individu yang terus bersinar walaupun usia semakin meningkat. Melalui kolaborasi ini, Kilauan Emas Selebriti 2026 bukan sahaja meraikan bakat dan hiburan, malah mengangkat semangat penghormatan kepada ikon-ikon veteran yang telah banyak menyumbang kepada industri seni negara. Post navigation DOLLA Enters a New Chapter with Powerful Single “G.O.A.T” Featuring F.Hero.