Dari kiri: Surrinder Jessy, Presiden Soroptimist International Damansara; Mohd Fadzrel Bin Abu Bakar, wakil daripada Yayasan MR D.I.Y.; Puan Siti Adibah binti Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL); Datuk Hj Hamzah Abd Wahab, Pengerusi Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti; dan Tuan Ramacantiran a/l M. Ananthan, Pengetua Sekolah Tunas Bakti.

Yayasan MR D.I.Y. terus memperkukuh komitmennya terhadap pendidikan dan kelestarian menerusi inisiatif membaik pulih serta mengagihkan semula komputer riba kepada pelajar yang memerlukan di seluruh negara. Program ini membuktikan bagaimana teknologi korporat yang tidak lagi digunakan mampu diberi nafas baharu untuk menyokong pembelajaran digital, sekali gus mengurangkan pembaziran sumber dan sisa elektronik.

Susulan kejayaan penyerahan komputer riba bersama rakan komuniti Soroptimist International Damansara kepada Sekolah Tunas Bakti pada 1 Julai 2026, Yayasan MR D.I.Y. telah berjaya membaik pulih dan mengagihkan sebanyak 176 buah komputer riba yang sebelum ini digunakan dalam operasi syarikat sepanjang tempoh dua tahun lalu. Inisiatif ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengakses pembelajaran dalam talian, menyiapkan tugasan akademik, menjalankan penyelidikan serta meningkatkan kemahiran digital mereka.

Melalui pelaksanaan program ini, komputer riba yang telah dibaik pulih disalurkan kepada pelajar daripada komuniti yang memerlukan di 20 buah sekolah merentasi lima negeri. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan jurang digital dalam kalangan pelajar, malah memastikan mereka mempunyai akses kepada peranti yang semakin penting dalam dunia pendidikan masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Dr. Zaleha Mohd Mydin berkata, akses kepada teknologi masih menjadi cabaran bagi sebahagian pelajar dan keluarga. Beliau menjelaskan bahawa setiap komputer riba yang dibaik pulih bukan sahaja memberi peluang baharu kepada pelajar untuk terus belajar, malah mencerminkan amalan penggunaan semula secara bertanggungjawab yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Komputer riba yang telak dibaik pulih daripada Yayasan MR D.I.Y. untuk para pelajar di Sekolah Tunas Bakti, Asrama Sentosa, Setiap kotak melanbangkan satu langkah ke arah masa depan yang lebih inklusif secara digital.

Bagi memastikan setiap peranti berada dalam keadaan terbaik, Jabatan Teknologi Maklumat (IT) MR D.I.Y. menjalankan proses baik pulih secara menyeluruh sebelum komputer riba diserahkan kepada penerima. Pengagihan pula dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai rakan komuniti Yayasan MR D.I.Y. bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sejak diperkenalkan pada Mac 2025, program ini telah menyumbangkan sebanyak 176 unit komputer riba yang dibaik pulih dengan nilai melebihi RM300,000. Inisiatif tersebut memberi manfaat kepada lebih 8,000 pelajar di seluruh Malaysia serta membantu mengelakkan kira-kira 530 kilogram sisa elektronik daripada dilupuskan, sekali gus menyokong amalan ekonomi kitaran dan pemeliharaan alam sekitar.

Melalui usaha berterusan ini, Yayasan MR D.I.Y. membuktikan bahawa teknologi yang tidak lagi digunakan masih mampu memberi impak besar apabila dimanfaatkan semula. Dengan menggabungkan elemen pendidikan, tanggungjawab sosial korporat dan kelestarian, yayasan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa generasi muda sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.