Gemerlapan Bunga Api 360 Darjah di Kuala Lumpur Tower Semarakkan Malam Ambang Merdeka 2025

Kuala Lumpur Tower bakal menjadi pusat perhatian sambutan Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2025 dengan menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung. Tahun ini, suasana malam di ibu negara akan diserikan dengan panorama cahaya yang mempesona melalui persembahan bunga api 360 darjah yang dilancarkan serentak dari tiga lokasi berbeza, sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam sejarah Kuala Lumpur Tower. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil menonjolkan kemeriahan, semangat kebersamaan dan keindahan kepelbagaian budaya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Acara istimewa ini akan berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 12.30 tengah malam dengan pelbagai pengisian menarik. Kemasukan untuk pemegang tiket bermula pada jam 9.00 malam diikuti persembahan busking oleh The Sky Band pada jam 9.30 malam. Detik kiraan mundur akan diadakan pada jam 11.30 malam sebelum pertunjukan bunga api memukau memenuhi langit Kuala Lumpur tepat jam 12.00 tengah malam, diakhiri dengan penutup acara pada jam 12.30 tengah malam. Sebanyak 1,200 tempat duduk disediakan di tiga zon tontonan iaitu Observation Deck bagi 400 tetamu, Sky Terrace untuk 300 tetamu dan Tower Terrace yang memuatkan 500 tetamu. Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi www.kltower.com tertakluk kepada terma dan syarat.

Pertunjukan ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian acara berunsur patriotik anjuran Kuala Lumpur Tower sepanjang bulan Ogos dan September bersempena Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025. Program lain yang turut memeriahkan sambutan termasuk Light Up Malaysia Colours of Unity, Pertandingan Lagu Patriotik Gema Merdeka, Pertandingan Padu Tarik dan Tebar Canai serta Sayembara Puisi Kemerdekaan. Semua program ini dirancang untuk mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum, mengangkat kepelbagaian budaya dan memperkukuh imej Kuala Lumpur Tower sebagai ikon kebanggaan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Encik Khairil Faizal Hj Othman, menyatakan bahawa sambutan kali ini benar-benar istimewa kerana buat pertama kali pengunjung dapat menikmati persembahan bunga api dari tiga lokasi serentak, memberikan sudut pandangan penuh 360 darjah yang mengagumkan. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Kuala Lumpur Tower berhasrat menghadiahkan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung dan mengundang rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa untuk bersama-sama merasai malam penuh warna di mana semangat patriotisme berpadu dengan keindahan langit ibu kota, menjadikan Malam Ambang Merdeka 2025 sebagai satu detik bersejarah yang sukar dilupakan.