Durioo+, platform penstriman kandungan mesra keluarga yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, dengan sukacitanya mengumumkan penayangan rasmi siri animasi terkenal Ejen Ali Musim 1 bermula 21 Jun 2025. Kemunculan siri animasi penuh aksi ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Durioo+ menyediakan kandungan tempatan berkualiti tinggi yang menghiburkan serta selamat untuk tontonan seisi keluarga.
Ejen Ali, karya unggul terbitan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios, telah memikat jutaan penonton sejak pertama kali disiarkan. Dengan elemen aksi, teknologi futuristik dan nilai-nilai murni seperti persahabatan, kebijaksanaan serta semangat juang yang tinggi, siri ini bukan sahaja memberi hiburan malah turut menyampaikan mesej positif kepada penonton muda. Kejayaan besar filem susulannya, Ejen Ali The Movie 2, yang meraih kutipan box office mencecah RM55.1 juta baru-baru ini membuktikan bahawa jenama Ejen Ali memiliki tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia.
Sebagai tanda sokongan kepada dunia animasi tempatan, Durioo+ turut menghadiahkan sebanyak 200 tiket percuma kepada pelanggan terpilih untuk menghadiri tayangan perdana dan malam gala Ejen Ali The Movie 2 pada 19 Mei 2025 di IOI City Mall. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Durioo+ dalam memperkukuh ekosistem kandungan kreatif tempatan dan mendekatkan peminat dengan karya-karya kegemaran mereka.
Menurut Nuown Zainal, pengasas bersama Durioo+, “Ejen Ali merupakan salah satu animasi terbaik tanah air yang menampilkan mutu produksi tinggi dan nilai moral yang penting untuk anak-anak. Ramai ibu bapa sendiri yang mencadangkan agar Ejen Ali disiarkan di Durioo+ kerana mereka percaya siri ini mampu memberi pengajaran berguna di samping menghiburkan.”
Kemunculan Ejen Ali di Durioo+ turut memperkaya barisan animasi tempatan sedia ada di platform tersebut seperti Bola Kampung, Upin Ipin, Robozeta, Alif & Anis, Bubu Lala, dan BoBoiBoy. Ini sekaligus menjadikan Durioo+ sebagai salah satu pilihan utama bagi ibu bapa yang mencari hiburan berkualiti, bermanfaat dan selamat untuk anak-anak mereka seiring dengan slogan “fun and safe screen time”.
Dengan lebih daripada 18,000 video dalam katalog dan sokongan sehingga empat peranti serentak, Durioo+ menawarkan pengalaman menonton yang mesra keluarga. Ciri-ciri eksklusif seperti DuDeen alat pembelajaran doa interaktif serta kandungan pendek seperti DuMinis dan DuReels yang mendidik dan menyeronokkan, menjadikan platform ini pilihan pintar untuk keluarga moden.
Pelanggan baharu boleh mencuba perkhidmatan Durioo+ secara percuma selama 7 hari dengan akses penuh ke semua kandungan. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store atau dilayari menerusi www.duriooplus.com.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai dunia pengembaraan Ejen Ali di Durioo+ pengalaman menonton yang menyeronokan, selamat dan penuh makna untuk generasi muda masa kini.