Bagaimana jika jalan keluar dari perkahwinan… adalah dengan mencarikan jodoh baru untuk suami sendiri? Itulah dilema yang dihadapi oleh Haiza dalam Calon Isteri Buat Suami, sebuah drama penuh emosi yang menampilkan gandingan mantap Siti Hariesa dan Jazmy Juma. Menemui penonton mulai 8 April 2025, drama ini akan mengisi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam, dan boleh distrim secara percuma di iQIYI pada jam 8.00 malam.
Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd., drama bersiri 25 episod ini diarahkan oleh Bahri Umar dan ditulis oleh Sophilea, menyentuh tema cinta tanpa diduga, pengorbanan yang memeritkan, dan kekeluargaan yang mencabar keikhlasan. Selain Siti Hariesa dan Jazmy Juma, barisan pelakon turut dimeriahkan dengan nama-nama hebat seperti Trisha Ooi, Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, Emelda Rosmila dan ramai lagi.
Drama ini mengisahkan Haiza, lakonan Siti Hariesa, yang nekad memulakan hidup baharu di Kuala Lumpur selepas putus tunang. Tanpa disangka, pertemuannya dengan Datin Yasmin membuka peluang besar apabila beliau ditawarkan pekerjaan dan satu perjanjian yang luar biasa: Haiza harus mengahwini anak Datin Yasmin, Nazim (lakonan Jazmy Juma). Namun ada syarat: untuk bebas dari perkahwinan itu, Haiza perlu mencarikan isteri lain yang lebih sesuai untuk suaminya sendiri.
Apa yang bermula sebagai satu perkahwinan atas dasar terpaksa mula berubah bila Haiza dan Nazim mula menyimpan rasa sayang. Namun, kehadiran sepupu Nazim, Dayana (lakonan Trisha Ooi), yang datang membawa tuduhan mengejutkan, menguji kekuatan hubungan mereka apatah lagi ketika Haiza disahkan hamil. Apakah mereka mampu mempertahankan cinta yang lahir daripada perjanjian, atau akan terkulai dalam gelombang fitnah dan curiga?
Menurut Jazmy Juma, kolaborasinya dengan Siti Hariesa di set sangat berharga. “Kami banyak berbincang dan saling menyokong demi memberikan babak-babak yang berkesan. Saya percaya penonton akan merasai keserasian kami di layar,” ujarnya. Tambah Jazmy, penglibatan pengarah dalam memperhalusi setiap adegan menjadikan pengalaman ini lebih istimewa.
Untuk penonton VIP iQIYI, anda boleh menikmati episod terkini seawal jam 8.00 malam, manakala pengguna biasa boleh menonton secara percuma selepas 48 jam. Muat turun aplikasi iQIYI hari ini melalui App Store atau Google Play untuk tidak ketinggalan.
Sejak dilancarkan di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI mencatat lonjakan pengguna sehingga 15 kali ganda dan kini menjadi antara platform penstriman Asia nombor satu di negara ini.
Ikuti segala perkembangan Calon Isteri Buat Suami melalui laman sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube.