Meraikan Keindahan Ramadan dan Raya 2025 Bersama Media Prima

Dalam suasana keberkatan Ramadan dan kegembiraan Aidilfitri yang bakal menjelma, Media Prima melalui TV3, TV9, dan Tonton mempersembahkan kempen Ramadan Raya 2025 bertemakan ‘Indahkan Memori,’ yang menawarkan pelbagai hiburan eksklusif dan pengalaman istimewa bagi menyemarakkan semangat Ramadan dan Syawal di kalangan rakyat Malaysia.

Kempen Indahkan Memori diangkat untuk mengeratkan ukhuwah dan membangkitkan semangat kekeluargaan, dari berbuka puasa bersama keluarga hingga ke saat-saat perayaan Aidilfitri yang penuh makna. Ia mengajak kita untuk mencipta kenangan indah bersama orang tersayang, dari menikmati juadah bersama, menunaikan solat berjemaah, hingga mengimbau kenangan lama yang menjadi jambatan keakraban. Ramadan dan Raya bukan sekadar waktu beribadah, tetapi peluang untuk menyemai kasih sayang, kegembiraan, dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kempen Indahkan Memori ini dilancarkan dengan meriah di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur, dalam sebuah acara yang penuh keceriaan. Dihadiri oleh selebriti terkenal dan personaliti TV3, seperti Fahrin Ahmad dan Fiza Sabjahan, acara ini diserikan dengan kehadiran wajah-wajah popular daripada drama dan program RaRa 2025 seperti Eirma Fatima, Amir Ahnaf, Puteri Balqis, Ummi Nazeera, dan ramai lagi. Tajaan oleh Gardenia NuMee menjadikan acara ini lebih berwarna-warni, di mana para tetamu berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif, menikmati hidangan istimewa, serta memenangi hadiah menarik. Fasha Sandha turut mempamerkan kemahiran memasaknya dengan sesi memasak bersama NuMee yang menjadi tumpuan ramai. Suasana lebih meriah dengan kehadiran peminat pelanggan Tonton, yang turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif seperti TV Samsung 65” dan baucar tunai.

Tahun ini, kempen Indahkan Memori semakin meriah dengan penglibatan barisan selebriti sebagai ‘Friends of RaRa’ (Friends of Ramadan Raya), termasuk Fasha Sandha, Aidil Aziz, Aisha Amaira, Naz Rahman, Farah Nabilah, dan ramai lagi. Mereka bukan hanya mewakili kempen ini tetapi juga menyemarakkan kenangan manis mereka bersama Media Prima. Kehadiran mereka memberi nuansa kekeluargaan, menghubungkan generasi melalui kisah peribadi mereka, dan memperkukuhkan tradisi yang telah lama terukir.

Acara pelancaran juga diserikan dengan persembahan hebat daripada kumpulan Senario yang membawa penonton ke dalam dunia nostalgia dengan gelak tawa yang tidak terhingga. Kemeriahan semakin terasa apabila Zahid dan Shiha Zikir tampil dengan lagu-lagu Raya yang menghiburkan, diikuti oleh Jimi yang mempersembahkan lagu OST drama Sekam Di Dada. Tidak ketinggalan, Ernie Zakri dan Hariz Fahayet mengakhiri acara dengan medley lagu-lagu Raya klasik dan moden yang mengingatkan kita kepada suasana perayaan yang penuh kegembiraan. Fahimi Rahmat turut mempersembahkan lagu rasmi RaRa 2025, Raya Pop Pop, yang menyuntik semangat perayaan dengan melodinya yang menghiburkan.

Sepanjang Ramadan dan Syawal 2025, penonton akan dimanjakan dengan pelbagai program menarik di TV3, TV9, dan Tonton. Dari rancangan inspirasi dan bual bicara yang penuh pengajaran, hingga hiburan dan drama yang menyentuh hati, setiap program menyampaikan mesej yang bermakna untuk mengisi bulan penuh keberkatan ini.

Kempen Indahkan Memori turut memperkenalkan dinding interaktif yang pertama, bertempat di Setia City Mall, Setia Alam. Pengunjung berpeluang untuk menulis kenangan indah mereka tentang Ramadan dan Raya di kepingan kertas bertemakan ketupat. Ini akan membentuk sebuah kolaj memori kolektif yang menggambarkan keindahan kedua-dua perayaan ini.

Bagi para peminat, sesi Meet & Greet bersama selebriti kegemaran anda akan diadakan pada 22 Mac 2025, memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan bintang daripada program-program TV3, TV9, dan Tonton. Selain itu, drama Keluarga Itu akan mengadakan sesi iftar khas, di mana peminat boleh berbuka puasa bersama pelakon utama.

Jangan lepaskan peluang untuk merayakan Ramadan dan Syawal 2025 yang penuh keceriaan dan kebersamaan dengan Media Prima! Ikuti perkembangan terkini melalui laman media sosial rasmi kami di Facebook, Instagram, dan Twitter: @TV3Malaysia, @TV9Malaysia, @TontonMY. #IndahkanMemori – Abadikan setiap detik indah bersama kami!