AHR, UMW anjur pembersihan pantai, penanaman pokok bakau

ATTANA Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR) dan UMW Holdings Berhad (UMW) mengadakan kerjasama menganjurkan program pembersihan pantai dan penanaman pokok bakau di Tanjung Tuan, Port Dickson pada Sabtu, sebagai salah satu daripada inisiatif ‘Sayang Earth’.

Program yang melibatkan 100 sukarelawan itu diadakan menerusi Inisiatif Pucuk Hijau (UGS).

Menurut satu kenyataan bersama AHR dan UMW, program tersebut bertujuan menjaga kepentingan konservasi pokok bakau dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap eko-sistem sumber alam itu.

Katanya, pokok bakau amat penting untuk eko-sistem di pesisiran pantai yang menyediakan pelbagai faedah ekologi.

“Pokok itu menyediakan habitat kepada pelbagai spesis, menjaga daripada keruntuhan tanah, pengasingan karbon, memastikan pantai tidak rosak, sebagai pemegang enap cemar dan memerangkap mendapan kesan daripada pergerakan air di permukaan khususnya di Port Dickson.

Dari kiri; Ron Hasni Yusoff dan Zailani Ali (tengah) bergambar pada program pembersihan pantai dan penanaman pokok bakau' di Tanjung Tuan, Port Dickson.

Dari kiri; Ron Hasni Yusoff dan Zailani Ali (tengah) bergambar pada program pembersihan pantai dan penanaman pokok bakau’ di Tanjung Tuan, Port Dickson.

“Oleh itu, usaha pengumpulan secara kolektif ini telah menghasilkan satu pemuliharaan dan pengembangan terhadap hutan bakau dan pesisiran pantai murni bagi meningkatkan ekosistem yang sihat dalam jangka masa panjang,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerjasama dalam satu pasukan dapat memberi kesan yang maksima.

“Mereka menggali lubang dan menanam anak benih secara strategik selain menjalankan kerja-kerja pembersihan di sepanjang pesisiran pantai.

“Port Dickson sangat terkenal dengan bandar resort pesisiran pantai, lokasi indahnya dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara yang mencari tempat untuk berehat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan UMW, Zailani Ali memberitahu, sejak bermulanya inisiatif UGS, hampir 22,000 pokok bakau telah di tanam di kawasan tersebut.

“Ia termasuk pokok yang ditanam hari ini. Kami juga berterima kasih kepada semua sukarelawan yang membantu mengutip sampah di pesisiran pantai sekali gus memelihara marin dan hidupan luar.

“Matlamat hari ini tidak hanya untuk menghijaukan semula Malaysia tetapi juga membentuk kepekaan dan kesedaran terhadap alam sekitar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff pula menjelaskan, kolaborasi sukarelawan antara rakan-rakan sekerja sewaktu pembersihan dan penanaman pokok bakau di pesisiran pantai itu amat memberikan inspirasi.

“Kami menyaksikan satu bentuk perpaduan dan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, memecah halangan daripada hierarki dan bekerja bahu ke bahu bagi membentuk satu perbezaan yang ketara.

“Majlis ini bukan hanya menyumbang kepada konservasi pokok bakau tetapi turut memupuk persefahaman yang mendalam terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan para peserta,” katanya.

Sumber