RichWorks mahu peserta-peserta menyedari kebolehan diri sendiri, meskipun berdepan cabaran semasa seperti kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat.
HAMPIR 6,000 peserta menyertai program Nak Ubah Hidup 2023 (NUH2023) anjuran jenama mentorship usahawan nombor satu negara, RichWorks International Sdn.Bhd. (RichWorks) yang berlangsung di Setia City Convention Centre.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, program itu merupakan inisiatif Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dalam membantu bangsa usahawan dalam dan luar negara pada permulaan tahun 2023.
“Hari pertama Nak Ubah Hidup (NUH) menyaksikan sekitar 6,000 peserta hadir dengan penuh impian dan pengharapan.
“Penganjuran program ini sangat signifikan kerana RichWorks mahu peserta-peserta sedar potensi diri ini meskipun cabaran di luar seperti kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat. Cabaran ini semakin berganda akibat faktor luaran manakala faktor dalaman ekonomi membuatkan ramai orang terhimpit dengan pelbagai masalah,” katanya.
Cabaran-cabaran ini membuatkan Dr. Azizan dan RichWorks beriltizam untuk berterusan memberi sokongan dan bantuan berdasarkan kemampuan yang dimiliki.
“RichWorks mempunyai sistem mentorship paling berstruktur sehingga berjaya melahirkan ribuan orang yang berjaya berubah bukan sahaja terhadap bisnes masing-masing malah terhadap kehidupan mereka,” kata Radz kepada Bisnes Sinar baru-baru ini.
Tambah Radz, peserta-peserta NUH akan diberi reset fokus diri agar mereka lebih jelas terhadap potensi dan kemampuan diri.
RichWorks bersedia bekerjasama dengan agensi kerajaan mahupun kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan usahawan di seluruh negara pada 2023 yang dijangka lebih mencabar, kata Radz.
Terdahulu, RichWorks dipilih menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menjalankan program latihan keusahawanan.
Peserta-peserta yang hadir adalah dari seluruh pelosok negara malah ada yang datang dari Indonesia dan Singapura.
“RichWorks sentiasa ada bersama anda (RichWorks got your back) dalam apa keadaan cabaran ekonomi,” katanya.