Hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia

Hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia

SETIAP insan diciptakan ALLAH SWT dengan kepelbagaian termasuklah dari segi warna kulit, bangsa dan sikap.

Apabila bercakap tentang sikap, ada dalam kalangan kita yang lebih suka meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu berbanding berusaha sendiri.

Golongan seperti itu beranggapan, meminta lebih mudah untuk meraih simpati daripada orang lain.

Hakikatnya, perbuatan meminta-minta itu tidak digalakkan dalam Islam kerana ALLAH mahu hamba-Nya berusaha.

Kerana apa? Sebab ALLAH SWT sudah mengurniakan pelbagai nikmat seperti badan yang sihat, tenaga, akal fikiran dan pancaindera yang sempurna untuk memudahkan kita mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api, lalu dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi atau tidak.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis itu sebenarnya mahu memotivasikan kita supaya berusahalah dengan tenaga sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Dalam hadis ini, ayat ‘membawa tali-tali dan pergi ke bukit’ membawa maksud supaya orang berusaha.

Bayangkan, jika kita hanya duduk diam, kita tidak dapat apa-apa, bukan?

Malah, Rasulullah SAW sendiri mencela sikap orang yang suka meminta-minta sebagaimana dalam hadis baginda:

“Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang lain sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, janganlah kita meminta-minta kepada orang lain.

Gunakanlah kelebihan yang ada pada diri kita untuk mencari rezeki.

Yakinlah bahawa usaha daripada hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia berbanding meminta-minta dan mengharapkan simpati orang lain.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *